Snow

2.26.2010

Apa yang terlebih perlu berbanding berarak

Pagi ini saya bangun seawal jam 5.30pagi membersihkan diri sebaik mungkin. Memakai pakaian yang paling baik. Untuk apa? untuk bersama-sama dengan kawan-kawan sepejabat dalam perarakan Maulidurrasul peringkat Negeri Sembilan. Sesampai di perkarangan Wisma Negeri kelihatan kontinjen-kontinjen bersemangat berbaris, memakai baju berwarna seragam lengkap dengan banner masing-masing. Memantap Ukhwah Memperkasa Ummah..Tema itu yang dipilih pada tahun 1431 Hijrah ini..

Saya teruja untuk mengharapkan perarakan yang luar biasa mujarab. Biasalah peluang untuk berkumpul seramai mungkin sepatutnya digarab sebagai medan mendidik jiwa dan minda kakitangan yang datang dalam majlis perarakan tersebut. Tidak salah berarak dan berselawat tetapi apa yang lebih baik adalah penghayatan terhadap sambutan itu. Pada saya tidak menjadi masalah pihak atasan mewajibkan kakitangan memakai pakaian yang betul-betul menutup aurat (berkebaya diharamkan sama sekali, berselendang juga tidak dibenarkan, bertudung litup adalah terlebih perlu) kerana kuasa tertinggi yang dia ada.



Dari jauh saya melihat seorang perempuan berselawat tanpa memakai tudung. Tak kurang juga yang bertudung litup tetapi berani memakai kain terbelah menampakkan betis. Hati benar-benar sayu. Sayu kerana mengenangkan kasih Nabi terhadap umatnya yang tidak terbalas. Madu yang diberi tetapi sepah pula yang dibalas. Datang kerana terpaksalah wahai kaum Hawa sekalian?

Perarakan mengambil masa lebih kurang 30-40 minit. Penat dengan peluh yang mengalir melencunkan baju kami. Mengambil masa berehat seketika, mata memandang kepada pasangan-pasangan yang sempat berjumpa pasangan 'couple' masing-masing. Bermesra bagai mempunyai ikatan yang sah. Aduh musibah apakah ini? Jangan kalian burukkan majlis yang baik dengan agenda kalian yang melaghakan.

Apabila saya menghayati semula rahsia di balik selawat atas Nabi baru saya tahu mengapa tidak ada cinta terhadap Nabi di kalangan umatnya. Salah satunya adalah kerana kurang mengenali, kurang mengingati dan kurang menyebut serta kurang penghayatan terhadap tinggalan Nabi S.A.W.

Memetik kata-kata seorang penulis hebat, bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu, bila hati teringat, mulut akan menyebut! Sama seperti kita jatuh cinta dengan manusia. Begitulah sifirnya. Kita kenal, ingat dan cinta datanglah pula sebutan selalu nama si fulan yang kita cinta itu.

Semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah S.A.W lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Walaubagaimanpun, tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam. dan hidupkan sunnah Nabi seperti berpuasa sunat, bersedekah dan sebagainya. Moga ruh menyambut kelahiran Nabi kita bukan sekadar ditunjukkan melalui perarakan semata-mata..Ya Rasulullah kami ingin bersama bersamamu. Berikanlah syafaatmu tika di akhirat nanti..




Read more...

2.14.2010

Rancang Kewangan Kita




Dahulu saya belajar dalam ruang lingkup kewangan dan kini kerjaya saya masih berlegar di sekitar itu..Pengurusan dan Kewangan..Tetapi ilmu itu tidak pernah membuatkan diri cukup malah semakin jahil..terasa rakus untuk terus mencari dan menggali sedalam mungkin petroleum ilmu kewangan itu. Lebih-lebih lagi berkaitan ilmu kewangan islam.Saya masih teraba-raba dalam kegelapan pentas dunia kewangan. Saya tidak pernah memikirkan secara serius tentang hutang, tabungan, pelaburan, takaful, sehinggalah saya dipertemukan dengan sebuah buku " Ke Mana Wang Anda" hasil tulisan Ketua Perunding di Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd.

Harta merupakan antara perkara asas dalam kehidupan seorang manusia. Tiada harta maka agenda kehidupan yakni untuk beribadah padaNya dalam ibadah khusus dan umum akan tergendala. Tetapi perlu diingat manusia sebagai pemegang amanah dan Allah sebagai pemilik harta yang mutlak. Berperanan sebagai pemegang amanah menuntut kita supaya berjimat cermat dalam menguruskan kewangan dan tidak kikir dan kedekut dalam perbelanjaan. Soal rezeki sudah Allah janjikan dan tetapkan buat semua hambaNya cuma terpulang pada kita untuk berikhtiar seterusnya bertawakal padaNya.


Suka saya segar bugarkan minda dengan persoalan begini, bagi yang sudah bekerja tanyakan kembali..bagaimana dengan pinjaman kewangan kita (PTPTN dan MaRA)? Sudah selesaikah? dalam proses membayar atau langsung tidak pernah membayar? Bagaimana pula dengan simpanan akan datang? Ada bentuk tabungan yang terkumpul? Gaji bulanan adakah semuanya dibelanjakan atau masih ada digunakan untuk bayaran takaful bulanan?

Bagi yang masih di bangku pengajian, ada sedikit tips berguna untuk anda:

1. Tabungkan 20% yang diterima pada awal duit PTPTN atau MARA pada awal setiap semester
2. Beli polisi takaful untuk memberi perlindungan sekiranya terjadi kemalangan pada diri
3. Guna hanya kad prabayar (topup)
4. Elakkan daripada makan luar yang berlebihan terutama di awal kemasukan duit pada awal semester
5. Sesekali makan roti untuk menjimatkan wang
6. Untuk riadah elakkan daripada bermain bowling tetapi lebihkan pada berjoging dan bermain badminton bersama sahabat-sahabat
7. Amalkan berpuasa sunat, sekurang-kurangnya 3 hari dalam sebulan
8. Buka akaun yang berasingan untuk tabungan dan tidak menggunakan kad ATM
9. Bagi yang mempunyai kebolehan bercakap dan mempengaruhi bolehlah menjadi wakil takaful semasa 'semester break'

Andai kita masih dihimpit hutang dan tidak membayarnya atau kita masih boros dalam penggunaan duit yang tidak sepatutnya, inilah masa kita bertaubat dengan dosa kewangan. Caranya masih sama dengan bertaubat dari dosa-dosa yang lain.. SEDAR, TAUBAT, MENYESAL, JANGAN ULANGI LAGI.. inilah masa kita bermuhasabah dan merancang kewangan kita. Tuliskan dalam buku catatan khas aliran keluar duit walaupun hanya 50 sen supaya kita nampak aliran tunai yang mana yang boleh kita kurangkan bagi perbelanjaan hari seterusnya..Cubalah merancang kewangan kalian dengan lebih sistematik untuk kepentingan akan datang.

Sumber rujukan: buku Ke Mana Wang Anda karangan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir terbitan Galeri Ilmu

Read more...

2.06.2010

Gelora Iman Di Kala Usia Muda


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah di bawah teduhan RahmatNya pada hari (Kiamat) yang tiada sebarang lindungan melainkan lindungan RahmatNya adalah pemimpin yang adil, pemuda yang menggunakan masa remajanya beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah (mereka bertemu dan berpisah kerana Allah), lelaki yang digodai wanita bangsawan yang jelita kemudian dia berkata ‘sesungguhnya aku takutkan Allah’ , seseorang yang memberi sedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah S.W.T berseorangan sehingga berlinangan air matanya” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan selain daripada keduanya)

Menurut hadith ini, Allah telah mengurniakan sebaik-baik pertolongan kepada golongan terpilih yang mana pada masa yang ditawarkan itu, tidak ada lain yang boleh memberi pertolongan dan rahmat kepada manusia melainkan Allah jua.

Salah satu golongan yang dipilih oleh Allah adalah pemuda yang menggunakan masa remajanya untuk memperbesarkan dan beribadah hanya kepada Allah. Dalam keadaan manusia kini khususnya remaja yang semakin mengabaikan tarbiyah, masih ada yang yang diberi peluang menarik nafas dalam suasana menggalakkan untuk mendapat tarbiyah lantas faham dan menghayati akan makna beribadah hanya kepada Allah..

Mari kita soroti kisah golongan terdahulu, para sahabat nabi dan golongan selepasnya yang menjadi penyambung agama Allah. Dalam satu kisah dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Saad Bin Abi Waqqas r.a. katanya: “Rasulullah S.A.W mengembalikan adikku ‘Umair Bin Abi Waqqas kepadaku dari medan peperangan Badar kerana dia masih kecil”. Lalu Umair menangis memohon supaya dia boleh turut serta bersama-sama tentera islam yang lain. Lalu Rasulullah pun mengizinkan. (Kata Saad), “maka aku pun mengikatkan sarung pedang kepada tubuhnya. Dia telah menyertai peperangan Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku” dan akhirnya ‘Umair terpilih sebagai syuhada di medan peperangan Badar.. dan ketika itu umurnya baru sahaja 16 tahun!!



Hayati pula kisah Sultan Muhamad Al-Fateh yang menjadi Sultan Kota Konstantinopel seawal usia 19 tahun. Beliau cekap memanah, menunggang kuda, mahir menggunakan 7 bahasa dalam bertutur, serta mempunyai persiapan-persiapan ilmu peperangan yang lain. Dan masih segar dalam ingatan kita barangkali kisah di malam hijrah tatkala Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah dan pada itu umurnya antara 9-12 tahun!!! Kehebatan aliran iman yang mengalir dalam jiwa anak muda remaja dahulu boleh menyebabkan orang dewasa zaman kita tertunduk malu.

Ketahuilah bahawa kita diciptakan dengan suatu tugas yang amat penting dan waktu adalah "modal" untuk kita mengembangkan "perniagaan" untuk mengaut keuntungan di akhirat kelak. Rebutlah masa muda sebelum masa tua. Masa bujang sebelum berkahwin, masa mempunyai seorang anak sebelum sampai masa kita mengembangkan lagi zuriat. InsyaAllah.. Dan mungkin masih segar lagi dalam hati-hati kita…

“ Tanggungjawab yang kita pikul melebihi dari masa yang kita ada”

Diedit semula dari tulisan Ust Mohd Gunawan Che Abd Aziz

Kolumnis Majalah Solusi terbitan Telaga Biru

Dalam ruangan Fadhail ‘Amal (Kelebihan Beramal)

Majalah Solusi bulan Jan 2010



Read more...

Related Posts with Thumbnails