Snow

7.28.2010

Mengapa Ukhuwah Kita Tidak Sekencang Dahulu


Saya berkira-kira. Sudah lebih setahun menamatkan zaman menjadi mahasiswa. Zaman mendapat tarbiyah di universiti, zaman berbuka puasa di pusat islam bersama, zaman makan bersuap beramai-ramai. Seronok mengenangkan zaman tersebut. Hati saya sentiasa bermotivasi untuk mengakrabkan diri dengan Tuhan. Sampailah masa saya mula melangkah, meninggalkan sahabat-sahabat yang banyak memahami.

Sudah setahun, saya dicari oleh seseorang yang baru menghabiskan zaman belajarnya di tempat yang sama. "Akak, Kenapa saya rasa seperti tidak sama seronoknya seperti dahulu? Terasa hambar jika ke sana walaupun berjumpa dengan mereka yang sama? Mudah sahaja jawapan saya. Belajarlah mencari lebih ramai kenalan dan sahabat. Jangan diharap pada mereka yang sama. Lebih ramai kenalan lebih banyak pengalaman baru. Begitu jawab saya. "Akak juga pernah berasa begitu, dik" getus saya

Saya cuba mengoptimakan penggunaan laman sesawang "Facebook" untuk menjejak kasih kenalan yang lama. Meng'upadate' setiap apa yang berlaku di tempat belajar saya dahulu dan sahabat-sahabat yang terlibat. Alhamdulillah. Sedikit perkembangan dapat diperoleh berbanding kalau hanya dengan menggunakan telefon semata-mata. Kemungkinan besar mesej saya tidak berbalas! Telefon saya tidak berangkat!

Zaman belajar yang ditinggalkan diganti dengan alam pekerjaan. Hal itu memungkinkan saya bertemu pelbagai lapisan manusia. Tua, muda, profesional dan separa-separa berakademik. Peluang untuk bersama saya cuba untuk belajar corak pemikiran mereka, bergaul dan berkongsi cerita. Pesan seorang sahabat, bergaullah dengan kebanyakan orang. Masuklah pada mereka yang damba kasihNya Tuhan, yang teraba-raba kasihNya Ilahi. Hebat benarkah saya kalau hanya ingin berada di kalangan mereka yang "nampak baik-baik sahaja"? Tapi sahabat juga yang masih saya damba. Bezanya sahabat dan kawan!

Sahabat, andai diri ini, sudah dilupai untuk bertanya khabar. Jangan lupa masukkan nama saya dalam deretan kalam doa yang kalian panjatkan pada Ilahi. Moga apa yang ditulis hanya satu perasaan. Kerna saya yakin diri ini masih dalam ingatan. Moga ukhuwah kita masih sekencang dahulu...

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain." [QS 49:12]










Read more...

7.26.2010

Malulah Andai Sudah Tidak Punya Rasa Malu

Pagi itu saya masih dengan tugas biasa. Memastikan rumah sentiasa dalam keadaan kemas dan sedap mata memandang. Mendengarkan leteran emak sudah membuatkan saya pening kepala. Bukan saya membenci insan tersebut. Tidak sekali. Tetapi sebaiknya biarlah emak berada dalam terkawal, gembira, berbau yang wangi-wangi dan paling penting saya tidak lagi pening kepala!

Emak keluar awal pagi itu membeli barang keperluan menjahit bagi melangsaikan kerja-kerja menjahit yang masih tertunggak dan saya meneruskan tugas-tugas yang masih berbaki. Sedang leka 'bermain' air di sinki, terdengar suara memberi salam.

"Assalamualaikum". Suara pelat-pelat memberi salam itu kedengaran untuk kali kedua bila salam pertamanya tidak bersambut. Sampai di pintu, seorang budak lelaki berseluar separa buku lali menunjukkan barisan giginya yang putih bersih. Baju tidak berlengan menampakkan lagi gebunya budak lelaki sekitar umur 4 tahun itu.Comel! "Waalaikumussalam, shah". Bungkusan darinya bertukar tangan. Bau nangka masak menusuk hidung saya. Bukan sekali kami diberi rasa buah nangka Cik Wok, bahkan setiap kali pokok berbuah dapat jua kami dijamu. "Terima kasih",sambil saya tersenyum.

Shah lantas menghulur tangan minta salam dan cium di tangan saya. Gembira diperlakukan begitu. Saya ajak si cilik ini ke dapur mencari makanan ringan kalau masih ada tersimpan. Kotak Big Apple Donut masih tersimpan isinya. Saya tanya Shah kalau dia mahu? Tangan yang mulanya pantas mendapatkan tiba-tiba terhenti.. "Tak naklah" Lalu dia ke pintu yang masih terbuka. Sebelum memakai selipar, seperti biasa tangannya dihulur sekali lagi minta salam dan cium di tangan. Dari jauh saya lihat si kecil itu terkedek-kedek berjalan dengan kakinya yang tidak berapa panjang. Comel!

Saya terpegun dengan sikap budak sebesar itu sudah diterap perasaan malu. Ya! malu dalam berhubung sesama manusia. Atau kata lainnya masih ada hormat. Shah bukan dari keluarga biasa-biasa. Dilahirkan sebagai orang Indonesia kemudian diambil oleh keluarga angkat yang duduk di sebelah rumah saya. Orang Malaysia asli.Hebat didikan mereka. Berbudi bahasa. Diajar supaya tidak menerima sembarangan dari orang lain. Apatah lagi meminta-minta. Seperti yang biasa kita lihat sikap budak-budak kebanyakan kini. Langsung sudah luput rasa malu. Lebih malang lagi mereka yang sudah mencecah usia baligh tiada perasaan malu tersebut.

Kisah Shah dan kecomelannya saya ketepikan dahulu. Mari berkenalan dengan sikap malu. Malu membawa maksud memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan dan hormat-menghormati, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah. Saya memerhati kehidupan akhir zaman dengan kesedihan. Bangsa yang tidak kenal asal-usul, tidak kenal diri sendiri serta sejarah yang pernah menimpa umat-umat terdahulu dalam lipatan sejarah. Semuanya angkara telah luput perasaan malu dalam tiap hati mereka.

Sampai masa untuk mengenal diri dan kenal pencipta diri dengan lebih penghayatan. Apa pentingnya harta kalau tidak kenal yang memberi harta. Apa pentingnya pangkat kalau itu cara mendapat pujian dan pingat. Apa pentingnya kecantikan kalau kecantikan ditunjuk-tunjuk buat gangguan si kaum lelaki! Malulah pada pemilik segala kesempurnaan. Maha Suci Allah daripada memiliki kekurangan.

Hadis riwayat Anas bin Malik,Rasullullah saw bersabda:
"Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah."(Tirmidhi)

Semoga kita masih diberikan perasaan malu oleh Allah. Mintalah pada Allah andai malu sudah tidak menjadi perhiasan dan perisai seorang manusia kerana hilangnya malu bukti kelemahan iman. Nau'zubillahi Min Zalik..

Read more...

7.16.2010

Mereka Sudah Kita Bila Pula



"Salah seorang sahabat kita telah mengalami kebakaran rumahnya di Kelantan. minta sahabat-sahabat dapat memberi sedikit sumbangan dan kata-kata semangat untuk beliau"..mesej yang saya terima saya sudahi dengan bisikan kata kasihannya dia...

Tidak lama selepas perkara itu, maklumat baru pula yang saya terima berkenaan seorang sahabat seperjuangan dijemput Ilahi. Luluh hati mendengar walau tidak pernah bersua muka, walau nama itu pertama kali didengar saya. tapi disebabkan kita bersaudara dalam agama, saya bersimpati atas kehilangan jasadnya di bumi ini. Tersentak dan menangisi kehilangan mereka yang menyumbang untuk agama. Bukan tidak redha tapi jiwa hamba yang perlu untuk bersedih itu meronta untuk ditunaikan haknya.

Kehidupan tidak selalunya indah.Ada surut dan pasangnya. Sama seperti air di lautan. Bila sampai masa air pasang, ombak bergulung menerkam tanah berpasir datang bersama ribuan buih di lautan dan sampai masa air surut, maka berlarianlah sang pengail ikan menggali pasir di tepi pantai mencari umpan buat ikan. Hilanglah kegagahan sang ombak dalam menakluki lautan. Manusia berpangkat, kaya harta, cantik rupa atau bijak akalnya tidak mampu menghalang kerja tuhan.

Lihat pada uniknya ciptaan Tuhan pada jari manusia. Setiap satu berbeza. Lebar dan panjang, kegunaan dan kelebihan. Begitu juga kehidupan dan takdir. Tidak selalu untuk kita berada di jalan atau zon yang selesa. Kehidupan pasti berbeza.Kadang-kadang perlu berduka, bersedih untuk mengenal erti kehidupan. Falsafah 5 jari memungkinkan kita menilai kehidupan dari sudut hamba kepada yang Maha Hebat. Tiada manusia sempurna. Kita sekadar melakonkan watak dalam slot dan plot sebuah kisah kehidupan. Apa yang pasti kita semua 'dipandu' sekiranya ingin 'dipandu'. Ya Al-Quran dan As-Sunnah sudah ditinggalkan Rasulullah S.A.W. Ulama juga sudah ada buat jadi pewaris nabi. Bukan silapnya orang lain kalau hati masih tuli dari menerima peringatan Ilahi.

Buat mereka yang menjadi insan terpilih, maka syukurilah atas segala nikmatmu sebelum sampai masa diuji. Hitunglah banyak mana kesyukuranmu bersama mereka sebelum mereka diambil kembali. Perbaikilah amalan dan betulkan niat kerja buat kita. Moga ia diterima Allah sebelum nyawa ditarik kembali. Hati ini umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap seseorang. Jadi sekiranya hati manusia gelap maka pudar dan samar jugalah pada kelakuan manusia tersebut. Mudahnya, hati boleh jadi gelap, terang ataupun samar. Tetapi gelap, terang dan samarnya bulan bukan kerana cahaya bulan tersebut tetapi kerana cahaya matahari. Begitu juga hati yang gelap, samar atau terangnya bukan kerana hati kita sendiri tetapi kerana apa yang kita niatkan. Jadi berhati-hatilah dengan apa yang diniatkan..moga Allah terima segala amal kita dan mereka di sana yang mendahului kita.Al-Fatihah..



Read more...

Related Posts with Thumbnails