Snow

6.06.2011

Jagalah Hati, Harus Sentiasa Dicuci

Aktiviti harian kami sememangnya tidak lari daripada melihat huruf-huruf yang membina kata dan perkataan, kemudian langsung menjadi ayat-ayat yang tersusun indah membawa makna. Beruntung terasa apabila mampu membaca mutiara itu terlebih dahulu sebelum orang lain tahu. Ya, benar-benar bertuah kerana ia bukan sembarangan ilmu kerana ia datang daripada mereka yang benar-benar faqih bab ilmu itu. Dan sememangnya ilmu Allah juga. Alhamdulillah.

Satu perbincangan artikel saya baca, berkerut-kerut sambil memicit-micit dahi, cuba memahami maksud yang ingin disampaikan. Tambahan pula, saya bukan pelajar lulusan agama yang mahir istilah-istilah tertentu. Serasa tajuk perbincangan itu pernah saya baca sebelum-sebelum ini, tetapi susah benar mahu mengingat kembali poin-poin penting untuk menambahkan kefahaman dalam pembacaan artikel yang dibaca pada kali ini.  

Baru-baru ini seorang sahabat bertanya tentang dosa, apa yang dimaksudkan dengan dosa kecil, lantas saya menjawab dengan sedikit ilmu yang ada di dada, dosa kecil itu dosa yang tidak dilaknat Allah dan rasul. Ia bukan seperti dosa besar yang dilaknat seperti berzina, membunuh nyawa dan syirik kepada Allah. Walaubagaimanapun, dosa yang kecil itu boleh menjadi dosa besar lantaran terus-terusan melakukan dosa yang kecil. Bayangkan sahaja, setitik noktah hitam yang melekat di hati kemudian tidak dihapuskan kerana asyik dengan dosa yang kecil itu. Maka, lama-kelamaan hitamlah hati, kotorlah ia kerana dibiarkan tanpa mahu "dibasuh" dengan zikrullah bagi membersihkannya.

Lalu, saya menginsafi. Ini punca kepada kurangnya bertahan lama ilmu yang di dada. Imu itu cahaya, maka cahaya tidak akan menembusi hati yang sudah diselaput noda. Noda dari zina hati, zina lisan dan zina mata. Sungguh, walau tidak secara fizikalnya melakukan perbuatan terkutuk tersebut, tetapi ia sedikit sebanyak memakan hati yang secara fitrahnya mahu bersih dan dan dijaga rapi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikis titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Riwayat Ibn Majah)
Saya mengerti manusia yang hakikatnya tidak punya sifat maksum, seringkali tewas daripada meninggalkan dosa. Bukanlah kita seperti rasul yang sempurna dan terjaga daripada melakukan kesalahan. Kerana itu, saya percaya manusia yang terbaik itu bukanlah tidak pernah melakukan kesalahan tetapi yang bertaubat selepas berdosa, serta berusaha mengelak sebelum diri hanyut dengan keindahan dunia yang sementara. 

Kami meneruskan kerja-kerja. Dalam hati bertekad mahu mengumpul ilmu selagi peluang terbuka dan berada di hadapan mata. Ya Allah, izinkan kami memiliki hati-hati yang mudah ditembusi cahaya itu. Allahumma amin.






Read more...

Related Posts with Thumbnails