Snow

8.10.2010

Dan Engkau Hadir Jua


Malam itu bukan malam yang biasa. Ada riuh di luar sana. Sepertinya banyak perkara yang dibual bicarakan. Mereka yang muda berkumpul di hadapan kotak televisyen. Menanti dengan penuh minat siaran dari kotak yang bercahaya itu . Kelihatan di sebuah bilik seorang muslimat lengkap dengan telekung putih bersihnya, menekuni setiap bait bacaan Al-Quran. Sesekali bacaannya terhenti menandakan tempat waqaf. Nafas ditarik kembali bagi meneruskan ayat seterusnya. Tenang dan damainya dirasa.

12 tahun yang lalu begitu keadaannya dan saya bersama mereka yang berada di hadapan kotak televisyen. Mendengar dengan penuh teliti pengumuman yang akan disampaikan. Selepas tarikh diumumkan suasana bising. Gamat suara kami. Entah suka entah kecewa. Ah! Budak yang masih belum mengerti. Sejurus, ayah bingkas memanggil semua anak-anaknya. Emak yang tekun membaca Al-Quran tadi sudah lama berhenti. "Semua ke masjid!" Keras suara ayah, membuatkan kami bingkas ke kereta.

Itu perkara berbelas tahun dahulu. Dia hadir di saat diri kurang pengertian tentangNya. Terumbang ambing dibawa ombak kejahilan. Lalu tersadai di tengah lautan yang penuh ujian. Dan hari ini Dia masih lagi sudi menjengah hidup. Lambaiannya kian hampir. Syukur padaMU Tuhan.. mengurniakan Dia yang masih sama cuma kuharap natijahnya berbeza!

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Moga hadirnya Dia tahun ini memberi banyak perubahan yang positif dan keranaNya. Biarkan yang lalu sebagai pengalaman berharga. Tiada dahulu tiadalah proses pembelajaran kerana ia tiada mula. Sambutlah salam ramadhan dengan penuh syukur dan tawadhuk. Syukur kerana terpilih bersama, tawadhuk kerana ibadah yang dilakukan hanya untuk mendapat redha Allah. InsyaAllah.

Ramadhan Kareem!








Read more...

8.02.2010

Hamba Itu Perlu Berbaik Sangka Dengan Tuhannya

Kehidupan saya seperti biasa. Usai berkemas rumah saya menghadap komputer riba. Biasanya laman MukaBuku yang pertama sekali dibuka. Kalau tiada yang menarik, saya ambil buku-buku di rak yang masih belum dibaca. Hari-hari seperti ini, kadang-kadang bosan juga. Sudah hampir sebulan begitu. Virus kebosanan datang bertamu juga.

Semalam, saya dihimpit satu perasaan yang tidak selesa. Hampir padam semangat yang selama ini dibina. Ada perkara yang menghimpit seolah-olah membantutkan cita-cita murni yang saya impikan sebelum ini. Astagfirullahal ‘Azim. Cepat-cepat, saya padamkan dari ingatan. Tapi ketika itu, air sudah bergenang di pelupuk mata. Ya Allah, pandanglah Aku dengan kasih sayangMU..

Firman Allah: Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. (Surah Al-Baqarah: 152)

Semangat, kembalilah padaku! Itu sahaja yang saya minta.

Seketika, saya ditamu dengan mesej dari seorang teman. Dia bercerita tentang kehidupannya yang sepertinya dirundung dukacita. Entah dari mana datangnya kekuatan saya berbicara melalui hati saya. Ikhlas saya menyusun bait kata yang harapnya terkesan di hatinya.Walaupun ketika itu, kalaulah dia tahu saya tidak layak mahu menasihati dan berkongsi dengan dia.

Bertanya khabar berita, berkongsi cerita sedikit sebanyak menceriakan. Ada banyak mesej yang diakhiri dengan ayat “Haha”, “Hehe”, “Huhu” dan yang seumpamanya dalam perbualan kami. Harapannya moga perbualan diakhiri dengan masing-masing mendapat kekuatan semula dalam meneruskan hari-hari akan datang. Saya teruja! Alhamdulillah. Selepas memberi semangat saya pula mendapat semangat.

Saya teringat pesan seorang guru saya, kita adalah apa yang kita fikirkan. Andai fikiran kita positif, maka kita menarik banyak perkara positif dalam diri kita. Karier yang baik, pasangan hidup yang memahami, prestasi pelajaran yang memuaskan dan segalanya yang positif. Begitulah sebaliknya. Saya masih dalam usaha memikirkan perkara-perkara yang menyeronokkan supaya kehidupan itu dapat dinikmati dengan lebih bahagia dan mulia. Apa yang penting adalah meletakkan Allah sebagai matlamat. Kekayaan, keamanan, keseronokan hanya alat untuk mencapai hanya mardhotillah dalam hidup kita.

Sebelum menamatkan perbualan di mesej, sempat saya ‘forwardkan’ hadith qudsi yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim:

Allah berfirman :

Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya,Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).

Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya (lebih dekat lagi) sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan setengah berlari”

Hadith Qudsi (hadith yang dilafazkan oleh Rasulullah.S.A.W tetapi mengandungi firman Allah) Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim


Read more...

8.01.2010

Tudung vs Topi Keledar


Pakai tudung ini seperti pakai topi keledar..

Benarkah?

Ya. Topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung pula menjaga keselamatan akhlak.

Benarkah? Kalau begitu mengapa mereka yang bertudung masih tidak dapat menjaga akhlak?

Seperti topi keledar juga, Ada keadaan tertentu yang topi keledar tidak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju, pemandu cuai..Semuanya memakai topi keledar tetapi itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

Maksudnya?

Ada yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar. Antaranya memandu berhati-hati. jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya. Kaitannya dengan tudung, bertudung sahaja tidak cukup bahkan tingkahnya laku tidak liar, pergaulan terkawal, pandangan mata juga sentiasa dikawal. Sekiranya tidak , bertudung tidak mampu menjaga maruah dan akhlak.

Sekiranya begitu, di mana kelebihan bertudung?

Seperti topi keledar juga, ia memberi pelindungan sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang kekadang berlaku juga kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian sendiri tetapi kecuaian orang lain. Waktu itu siapa yang bertopi keledar, maka kuranglah sikit risikonya.

Tetapi tudung sekarang pelbagai fesyen?

Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mengikut piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar sudah baik tetapi cara pakai pula tidak kena. Tali dibiarkan longgar dan main sangkut-sangkut sahaja.

Kaitannya?

Pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara berbeza. Ramai bertudung tetapi tidak menutup aurat. Tutup aurat ada konsep dan falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman dan cara perlaksanaan mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ini macam-macam. Mungkin niatnya mahu 'glamour', mahu cantik dan bergaya.

Jadi salahkah bertudung mahu cantik? Islam itu indah bukan?

Tidak salah tetapi yang utamanya adalah kerana Allah. Atas dasar iman. Kemudian dibuat mengikut syariat. Mana patut ditutup, maka ditutup. Labuhnya dan singkatnya mesti menepati kehendak syariat. Dengan itu barulah maruah wanita itu terpelihara. Dan InsyaAllah selamat dari gangguan!.

Tapi kadangkala orang bertudung menghina orang tidak bertudung?

Orang bertudung mugkin boleh menghina orang tidak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika dia benar-benar menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sekali-kali memandang hina orang yang tidak bertudung.

Bagaimana pula orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada yang bertudung?

Ia umpama orang yang memandu dengan hemat dan cermat, tetapi tidak memakai topi keledar!

Wallahu'alam..

Diedit semula dari penulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Read more...

Related Posts with Thumbnails