Saban tahun, Malaysia
mengeluarkan jumlah graduan pelbagai bidang daripada institusi pengajian tinggi
dari dalam dan luar negara. Kelompok ibu bapa yang sedar akan kepentingan ilmu
kepada anak-anak semakin meningkat apatah lagi sejak kecil pasangan ibu bapa
selalu memberikan semangat dan galakan supaya anak-anak mereka berjaya sebagai
seorang doktor, jurutera, akauntan ataupun apa jua karier yang mampu memberi
sumbangan kepada masyarakat.
Lambakan jumlah graduan saban
tahun di Malaysia menyebabkan bakal graduan yang berada pada tahun akhir di
universiti cemas memikirkan peluang kerjaya mereka. Entahkan terus bekerja atau
terpaksa menganggur dalam tempoh yang lama. Entahkan di institusi kerajaan
mahupun swasta mereka berjaya ditempatkan.
Persediaan Rapi
Resume
merupakan perkara penting yang perlu dibawa ketika menghadiri sesi temu duga.
Di situlah letaknya maklumat yang menerangkan tentang diri. Pihak syarikat
menilai kebolehan dan potensi serta perkara apa yang boleh calon tersebut
berikan kepada syarikat sekiranya dia diterima bekerja. Mencari pekerja bukan
sekadar memenuhi jawatan kosong yang tersedia, tetapi juga mencari kelebihan
daripada calon yang syarikat tidak punyai; dengan harapan, melalui kelebihan tersebut,
syarikat mampu menambah baik pada sesuatu bidang dan jabatan khususnya dan
keseluruhan syarikat amnya.
Kerana
itu, calon-calon temu duga akan terus bersaing bagi membuktikan kebolehan diri
dan bakat yang mereka ada. Atas sebab itu, persediaan yang rapi adalah terlebih
perlu. Mahu dipanggil temu duga pun bukan senang, apatah lagi mahu diterima
bekerja. Segala-galanya memerlukan usaha sejak daripada mula.
Resume Akhirat dan Temu duga Munkar Nakir
Sedarkah kita kehidupan di
dunia juga merupakan persiapan dan persediaan untuk ditemu duga? Sama ada kita
berjaya atau gagal ditentukan melalui “resume” yang bakal kita berikan di alam
kubur kelak. Panel temu duga Munkar dan Nakir juga menyoal tanpa belas. Ketika
itu segala-galanya bergantung pada “resume” amalan yang sudah direkodkan segala
pencapaian kita sepanjang di dunia.
Walaupun hakikatnya segala
soalan Munkar dan Nakir merupakan soalan bocor; siapa Tuhan kamu, apa agama
kamu dan sebagainya, tetapi bukan hafalan pada jawapan yang menjadi sebab kita berjaya.
Sebaliknya bergantung pada amalan yang dilakukan di dunia. Adakah sudah cukup
segala persiapan kita untuk ditemu duga di alam sana?
Jabatan Syurga ataupun Jabatan Neraka
Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud: “Muka (orang yang kafir)
pada hari itu tunduk kerana berasa hina. Mereka menjalankan kerja
yang berat lagi berpenat lelah. Mereka tetap menderita dengan
neraka yang amat panas (membakar). Mereka diberi minum dari mata
air yang menggelegak panasnya. Tiada makanan bagi mereka (di
situ) selain daripada pokok-pokok yang berduri, yang tidak
menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. (Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah
dikerjakannya di dunia). (Surah al-Ghasyiah 88: 2-9)
Keadaan di syurga dan neraka jauh
berbeza. Allah mencipta dunia sebagai tempat untuk menguji hamba-Nya. Baik miskin
ataupun yang kaya, yang tua mahupun yang masih muda. Hanya dengan ujian itu,
manusia akan “menulis” pencapaian mereka di atas “resume”. Daripada pencapaian
itu juga, malaikat Munkar dan Nakir akan menetapkan di mana pula
pengakhirannya. jabatan syurga ataupun neraka.
Berusaha daripada Mula
Mati, sesuatu yang pasti dan
temu duga itu semua manusia akan tempuhi. Jadi, persoalannya bukan bagaimana
mahu lari daripada ditemu duga tetapi bagaimana menambah baik persediaan untuk
bertemu dengan penemu duga.
Berjaya diterima bekerja di
sesebuah syarikat setelah berjaya pada sesi temu duga merupakan hadiah terbaik
untuk diri sendiri. Seolah-olah pelaburan yang dibuat semasa pembelajaran di
universiti telah mendapat untungnya. Kegembiraan lebih dirasai apabila menerima
gaji pertama. Dengan duit itu, kita mampu memberikan hadiah kepada ibu bapa
terutamanya. Andai di dunia begitu gembira, di akhirat pembalasannya tidak
terbayang dek mata.
Hidup merupakan perjuangan. Untuk mendapat kejayaan memerlukan pengorbanan.
Begitulah bukti keadilan Tuhan. Siapa berusaha dia pasti berjaya. Siapa
mujahadah dia yang mendapat kepuasannya. Jadi pilihlah untuk membuat persediaan
pada awal waktu kerana yang pasti kita semua tidak akan terlepas daripada menjadi
calon temu duga itu! Moga kita berjaya dunia dan akhirat. Amin.
Read more...