Snow

10.26.2011

Kita Tidak Pernah Berjumpa Dengan Orang Yang Salah

Gambar sekadar hiasan. Tak jemu melihat wajah yang tidak berdosa ini ^__^

Belajar adalah sesuatu yang sepatutnya berlaku setiap saat dan waktu. Hanya dengan belajar manusia boleh tahu. Tahu untuk bertindak dan merespon kerana mereka ada ilmu, diperoleh semasa pembelajaran.
Belajar bukan pula perkara yang semestinya menuntut wang walaupun saya tidak menolak pembelajaran kebanyakannya begitu, memerlukan wang dan di dalam kelas yang kondusif. Hakikatnya pembelajaran memerlukan pelaburan. Wang, masa dan rasa semuanya adalah pelaburan  dan pengorbanan untuk mendapat pengalaman yang kemudiannya dipanggil proses pembelajaran.

Manusia tercipta dengan sifat dinamik. Pelbagai perubahan hari demi hari, bersilih minggu dan tahun. Daripada seorang yang hanya pandai melukis boleh menjadi kartunis. Daripada seorang yang hanya pandai bernyanyi di bilik mandi akhirnya boleh menjadi penyanyi terkenal. Dan tidak kurang juga, yang asalnya sekolah agama dan ada ilmu ajaran Islam, boleh terjunam ke lembah maksiat. 

Begitulah perubahan manusia kerana mereka belajar dari rasa. Mereka mahu tahu, lantas mereka rasa mahu buat begitu. Cuma kita sebagai seorang Muslim, harus meletekkan dalam diri biar rasa dan mahu buat itu tidak berlawanan dengan ajaran Ilahi.

Kerana setiap Muslim dicipta dengan bersebab, jadi saya percaya setiap mereka ada manfaatnya buat kita. Walau tidak sebesar mana, tetapi masih ada. Pengalaman berhadapan dengan mereka yang tidak cukup kain untuk ditutup pada anggota seharusnya, kadang kala kurang beradab tingkahnya, lalu kita menjauh. Kita jarang-jarang mahu belajar sesuatu daripada mereka. Soalnya salahkah kerana berjumpa dengan mereka yang kononnya salah?

Saya percaya ramai memilih duduk menjauh. Bimbang diri sendiri yang terpengaruh. Saya juga selalu begitu. Namun saya yakin, Tuhan tidak pernah sekali menetapkan kita untuk berjumpa dengan orang yang salah. Setiap manusia adalah manusia. Kita tidak sempurna kerana kita jauh daripada sifat maksum. Kita nampak hebat kerana perbandingan kita adalah sebab luaran kita nampak lebih “baik”.

Silapnya apabila manusia jarang-jarang pandai menilai. Seharusnya pembelajaran daripada orang yang pakai tidak cukup kain dan laku yang kurang baik itu perlu berlaku. Bukanlah saya bermaksud kita menadah kitab, menuntut ilmu. Bukan begitu. Kerana hakikatnya kita manusia dan ada perkara yang mereka lebih tahu berbanding kita. Begitu juga dia. Belajar tentang kehidupan tidak mengenal siapa gurunya. Asalkan sahaja mereka manusia, pasti ada perkongsian daripada mereka.

Ya, tika ini saya mengajak pembaca menilai semula penilaian dan sisi pandang kita pada setiap orang. Bukan bermaksud kita memandang tinggi mereka yang kononnya ‘salah’ tetapi seharusnya diperhalusi mereka manusia yang ada betulnya. Ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada mereka.

Yakinlah walau sesiapa pun yang kita jumpa pasti ada sesuatu yang boleh kita ambil sesuatu daripada mereka. Itulah ilmu, yang mana memerlukan proses pembelajaran sebelumnya. Yakinlah kita tidak pernah berjumpa orang yang salah! Selamat melebar luaskan persaudaraan!
  

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails