Snow

12.11.2009

Kerja Ikhlas Lillahi Ta'ala


Situasi 1:
Alamak, sudah jam 5.00 petang. Menyelak helaian kertas tebal yang perlu di 'key in' maklumat di PC, menyebabkannya mendengus kecil. Alahai, balik lambat lagi hari ini. Seminggu dua ini, kehidupan hariannya banyak tertumpu pada kerja. Balik sahaja dari rumah, pasti masa bersama keluarga semakin kurang. Mana tidaknya jam 7.00 malam, sampai sahaja di rumah, badan mula letih dan mata minta direhatkan. Meting dan meting yang berterusan membuatkan segala kerja perlu dibereskan dengan kadar segera. Almaklum bila menjadi anak buah, arahan dari pihak atasan harus diturut sehabis baik. Terasa rugi apabila terpaksa mengambil 'overtime' memandangkan masa tamat kontrak kerja pada bulan in juga. Maka 'burn' sahaja 'overtime' yang dibuat itu. Aduhai, rugi-rugi..

Situasi 2:
Hari Jumaat tiba juga. Apabila sampai ke hari Jumaat, hati ini pasti melonjak-lonjak gembira. Almaklum, hendak cuti lah katakan. Seperti biasa hari jumaat 'menghidangkan' saya dengan pakaian pekerja lelaki yang nampak sedikit 'alim'. Berbaju melayu.. Mungkin tidak ramai tetapi ada. Waktu tengahari, saya ke kantin. Mencari-cari makanan buat isi perut yang mula berbunyi minta diisi. Sedih melihat ada di kalangan orang lelaki yang sengaja meninggalkan solat Jumaat. Tanpa segan silu melepak sambil makan bersama kawan-kawan. Jam 3.00 petang, seorang anak buah diajak bosnya ke tapak projek. Ada seorang yang menegur. sudah tahu hendak ke tempat projek, kenapa pakai baju melayu. Rasanya lebih baik teguran buat yang meninggalkan solat Jumaat daripada teguran pada pakaian yang tidak membuka aurat. Aduhai, manusia-manusia..

Situasi 3:
Antara amalan yang paling baik adalah solat pada waktunya. Begitu yang dipesan Nabi. Dunia dan akhirat perlu seiring. Kita tanam benih tika hidup ini, buat bercucuk tanam di akhirat kelak. Kehidupan sebagai pekerja, kadangkala apabila kerja 'overload' bagai tidak cukup tangan dibuatnya. Ramai pada kita memandang enteng solat pada awal waktu. Asal solat. Cepat atau lambat, tidak diambil kira kerana kerja juga perlu dibereskan segera. Penghayatan tentang konsep ubudiyyah malah hikmah pensyariatan solat masih ramai yang tidak mengetahui (rujuk entry saya sebelum ini: Solat Semai Budaya Kerja Cemerlang). Akhirnya solat yang wajib terasa terlalu berat untuk dibuat. Solat sunat Dhuha di awal pagi di waktu pejabat apatah lagi. Yang pastinya, ibadah apabila biasa ditinggalkan, maka untuk memulakan kembali pasti susah. Aduhai hati oh hati..

Kesimpulan
Kerja Lillahi Taala meletakkan segala apa yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah. Kebanyakan orang yang sentiasa bersungut membuat kerja, meletakkan pujian dan habuan daripada manusia sebagai matlamat. Sebaliknya manusia yang bersungguh dan banyak bersabar, menganggap kerja adalah tanggungjawab, amanah yang perlu dilakukan sehabis baik. kerana setiap kerja dan masa yang dilakukan dan dihabiskan akan disoal di akhirat nanti. Saidina Ali ada mengatakan, bahawa orang yang ikhlas itu sama ada orang memujinya atau mengejinya, sama ada di belakang atau di hadapannya, ibadah atau kerjanya tetap sama. Penat adalah perkara biasa. Asal kita bekerja dengan hati terbuka dan berlapang dada dengan semua pekerja termasuk bos kita yang memberi arahan kerja pasti penat kita berbaloi dan hanya seketika.

Apabila bekerja kerana Allah juga, dalam erti kata yang lain, redha Allah yang diutamakan. (selain daripada ingin mencapai objektif syarikat seperti keuntungan, peningkatan prestasi dan mutu kerja) Sambil lewa dalam melakukan suruhan Allah apatah lagi meninggalkan solat dengan sengaja pasti mengundang kemarahan Allah. Maka membuatkan kita semakin jauh dengan redha Allah. Ikhlas bekerja kerana Allah sebenarnya perlu dipupuk. Perlu diajar. Ibarat budak usia setahun jagung yang baru belajar solat. Dipukul jika ditinggalkan solat. Di usia itu, sudah pasti takut dipukul oleh sang ayah lebih mengatasi daripada solat ikhlas kerana Allah. Keikhlasan diberi Allah pada mereka yang solihin dan mukminin. Ianya kurniaan yang paling berharga. Dan sudah pasti Allah berikan keikhlasan bekerja pada mereka.

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails