Drama bersiri Nur Kasih sampai ke episod akhir jua. Penantian selama beberapa bulan terjawab jua pada malam kelmarin. Pengakhiran cerita yang rata-rata penonton harapkan terjadi juga. Nur kekal bersama Adam tanpa melukakan mana-mana pihak. Baik Aidil, ibunya apatah lagi Liya. Ramai juga blogger yang memasukkan entry berkenaan cerita 'Nur Kasih'. Tahniah kepada anda yang mengikuti cerita yang banyak mengandungi unsur positif dan 1001 pengajaran. Pasti ramai yang selepas ini men'download' cerita ini untuk menonton kembali episod yang terlepas dan tidak kurang juga yang menjadikan lagu 'Nur Kasih' nyanyian Yasin sebagai nada dering.Entry kali ini bukanlah untuk mengulas berkenaan cerita bersiri ini. Tapi mengambil sedikit intipati pengajaran di dalam perjalanan cerita tersebut.
Usai khatam menonton cerita Nur Kasih, kesempatan masa yang ada aku luangkan menonton cerita seterusnya. Bagi yang terus menerus menonton rancangan di TV3 pada malam tersebut, pasti tidak terlepas untuk menyaksikan satu lagi cerekarama yang penuh menyayat hati. Drama 'Taubat Nasuha' ini menampilkan para pelakon seperti Fauzi Nawawi, Sheila Rusly dan tiga orang kanak-kanak yang dilatih menghayati setiap watak yang dipegang. Bukan untuk memuji berlebihan. Sekadar meluahkan yang tersimpan dalam naluri hati kecilku ini.
Ujian Bagi Orang Yang BerTuhan
Baik 'Nur Kasih' mahupun 'Taubat Nasuha' kedua-duanya mempunyai kelebihan pada ciri-ciri pelakon, skrip dan penjiwaan watak yang cukup baik. Unsur-unsur positif yang cuba diketengahkan oleh pengarah cerita ternyata menjadi. Kita ketepikan dahulu soal Nur Kasih kerana apa yang penting di sini adalah moral of the story yang sama bagi kedua-dua cerita. Pengurusan hati. Ya, soalnya bagaimana watak-watak dalam kedua-dua cerita ini kembali ke Ya Robb apabila ditimpa segala musibah..
Perasaan marahku yang meluap-luap kepada Mizi (lakonan Fauzi Nawawi) ternyata menunjukkan lakonannya menjadi. Kehadiran tiga orang anak di sisi yang mempunyai keletah yang belum matang ternyata menguji kesabarannya. Apatah lagi mempunyai 'rekod' pernah didera dan dirotan oleh ayah sendiri menyebabkan barannya payah dikawal. Saban hari bila kesabarannya tercabar dengan kenakalan anaknya, kalau tidak ditarik telinga, dihantuk kepala, pasti akan keluarlah sumpah seranah yang tidak sesuai anak-anak di umur sebegitu mendengarnya. Bukan sahaja anak-anak, malah isteri sendiri turut menjadi mangsa kegurisan hati akibat tindak tanduk suami yang tidak rasional itu.
Pengakhiran cerita ini Mizi kehilangan insan-insan yang dirasakan menyusahkan hidupnya. Mizi akhirnya bertaubat dengan taubat nasuha. Walaubagaimanpun, insan-insan tersebut tidak mampu kembali lagi. Apa yang menarik hatiku, ujian Allah yang datang tidak bersapa itu, membuatkan kita perlu berfikir. Manusia perlu bertuhan untuk mereka mengadu segala sesuatu. Malangnya tidak ramai mencariNya tika dalam kesenangan. Memang benar, menilai susah senang seseorang perlu dengan mata hati. Bukan logik akal semata-mata. Apabila ujian datang bertimpa, segalanya perlu dipandang dalam sudut positif sebenarnya. Apabila Allah mendatangkan ujian, mengambil sesuatu yang kita sayang maka pasti Dia sebenarnya ingin menggantikan sesuatu itu dengan yang lebih baik. Kisah Mizi yang kehilangan isteri dan anak-anak akibat dibunuh, bukan bermakna Mizi kehilangan semuanya. Tetapi Allah menggantikan dengan hidayah Allah dan sifat sabar dalam dirinya. Siapa sangka Mizi yang dahulunya garang dan baran boleh berubah menjadi lembut hati dan penyabar selepas apa yang berlaku pada dirinya.
Pandanglah Dengan Mata Hati
Rasa kecewa, sedih keterlaluan, sakit hati apabila diuji menunjukkan kebergantungan dan keyakinan kita kepada Allah masih belum ampuh. Retak dan bila-bila boleh runtuh. Sebaiknya bagi orang yang beriman apabila mendapat ujian maka dia yakin bahawa Allah menimpakan sesuatu ujian untuk menguji tahap keimanan. Tidak layak bagi kita sebagai hamba mempertikaikan aturan kehidupan yang Allah tetapkan kerana kita hanya hamba. Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Pandanglah dengan mata hati setiap musibah itu. Ia pasti terselit pengajaran atau kebaikan yang ingin disampaikan. Terpulang pada kita untuk menilai dan mentafsir. Kiranya sabar itu menjadi ramuan, pasti resepi kehidupan kan terasa lazatnya bagi setiap hamba yang diuji. Selamilah hati anda, ketenangan dan kebahagiaan kan terasa apabila hati mampu bersabar, redha dan tawakal dengan Tuhannya.
Cerita dan Pengajaran
Cerita Nur Kasih mahupun Taubat Nasuha sudah berlabuh. Entah bila lagi watak dalam cerita tersebut boleh wujud kembali lantas membantu kita dalam menghidupkan perasaan kebergantungan kita pada Pencipta. Hati manusia perlu sentiasa ditazkirah. Ibarat kasut sekolah bukan sahaja perlu dibasuh bahkan dikapur biar nampak putih dan bersih. Akal juga perlu selalu diasah untuk selalu memikirkan berkenaan Pencipta kita. Ambillah pengajaran atas apa yang berlaku melalui cerita, pembacaan, mahupun nyanyian atau apa sahaja yang ada di bumi. Pasti terselit hikmah yang membuatkan kita terus untuk mengenali Yang Maha Agong..
Firman Allah yang bermaksud: Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang itu melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu (Surah Al-Taghabun:11)
Read more...