Snow

11.21.2010

Indahnya Hidup Menuju Kejayaan



Menjelang pagi yang nyaman, sekitar jam 7.30 pagi, ketika sang suria baru menampakkan wajahnya. Kita bangun mengerjakan solat Dhuha. Dalam pada solat itu, kita minta dimudahkan urusan, kelancaran serta limpahan rezeki. Selesai Dhuha, air muka kebahagiaan kembali menyirami wajah. Kita berasa bahagia lantas bersiap menuju ke tempat kerja.

Beberapa jam kemudian, Zohor pula tiba. Azan berkemundang di setiap ceruk kota. Matahari mula bergerak perlahan-lahan di atas kepala. Hiruk pikuk kota dirasa. Tubuh terasa letih sesudah setengah hari memerah keringat dan otak. "Marilah menuju kejayaan, marilah menuju kemenangan". Ya itulah waktu yang paling tepat untuk menstabilkan semula emosi.

Dirikanlah Solat Zuhur. Lupakan segala masalah yang bersarang di fikiran untuk seketika. Lepaskan beban hidup buat sementara waktu. Biarkan yang datang hanya kebahagiaan yang menyelimuti jiwa. Berwuduklah. Rasakan sentuhan air-air yang sejuk yang menyegarkan. Nikmatilah!

Asar pula menjengah tiba. Sebelum kembali ke teratak usai selesai bekerja, sekali lagi kita dipanggil. Dipanggil untuk menuju kejayaan. Menuju kebahagiaan. Selajur itu, tubuh mula bersegera. Ya, bersegera dengan izinNya jua untuk menyahut panggilan itu. Sekali lagi tika air itu diusapkan ke muka, dingin serta menenangkan yang menjengah tiba. Masalah menjadi ringan, adakala lupa seketika.

Maghrib dan Isya, tika mentari mula menyembunyikan sinarnya. Ia datang sebagai ruang masa untuk mengadu kepada pencipta. Saat Rabiatul Adawiyah, wali Allah itu diseksa dengan kejam semasa menjadi hamba, malamlah saat terbaik untuk mengadu segala hajatNya. Seluruh jiwa dan jasad mengadu dan minta yang terbaik.

"Tuhan, aku tidak tahu apa yang terbaik yang Kau tetapkan padaku. Perjelaskan laluanku, bimbinglah langkahku, tunjuki jalan yang terbaik untukku".

Indahnya bersamaMu, mencari ruang untuk bersamaMu walau seketika, Kau ketuk hatiku, Kau beri kegembiraan dan bahagia dalam hidupku selalu. Ya, selalu.. walau ku tidak selalu bersamaMu. Terima kasih ya Allah






Read more...

11.03.2010

Ini Pilihan Saya. Anda Bagaimana?

Hari ini saya mendapat mesej daripada seorang teman. Katanya mahu menunggu catatan terbaru dalam blog saya yang seterusnya. "Seronok baca tulisan Mirah!" Begitu bunyinya. Lantas saya malu. Alamak, ini kes perli!. Saya faham benar dengan karenah diri saya. Soal kering idea sepatutnya ditolak tepi. Idea itu muncul dalam setiap perkara yang kita lalui sama ada kita perasan ianya boleh dijadikan cerita dan pengajaran. Ataupun hari-hari yang berlalu itu tidak mencoretkan pengalaman yang boleh dijadikan persediaan untuk hari seterusnya. Bukankah kita mahu hari esok bukan seperti sediakala? Bermakna kita mahukan hari esok lebih membawa bahagia dan ceria? Baiklah, saya mulakan dengan sebuah cheritera.

Hidup adalah satu pilihan. Terjaga sahaja dari lena, kita boleh memilih untuk bangun, atau terus tidur. Mandi atau berus gigi dahulu. Kerja atau ponteng kerja. (Saya mengambil ayat seseorang). Semuanya melibatkan pilihan. Benar bukan? Kita berhak memilih dan kemudian hasilnya bergantung pada takdir. Memilih kehidupan saya seperti ini adalah suatu pilihan maka terimalah hasilnya atas setiap pilihan yang dibuat. Ini adalah takdir.

Dahulu, saya suka menilai pilihan seseorang dengan melihat manusia tersebut. Jika saya melihat seseorang pakaiannya tidak cukup kain, atau kain tudungnya hidup segan mati tak mahu, terus saya mensifatkan mereka kurang didikan serta pengetahuan tentang agama. Maka, pilihan saya adalah jauhkan diri dari mereka. Hampir seminggu bekerja dengan buku sedikit sebanyak mengubah persepsi saya tentang pilihan. Ada tambahan tentang memilih pilihan. Pilihan sifatnya sentiasa dan terbuka. Ia tidak tetap dan bergantung juga pada hidayah Tuhan. Menarik bukan! Semuanya kerana pelanggan yang berkunjung ke Kedai Buku BACHA. Wanita itu, rambutnya perang. Bersemangat mahu membeli sebuah buku bertajuk"Hebatnya Kuasa Istihkarah". Cakapnya lembut. Meminta disimpankan dahulu kerana tidak membawa wang. Sebuah keluarga, melihat pada si ibu pakaiannya seperti sudah luntur warna (saya maksudkan jarang), datang bersama anak-anaknya. Susah mahu mengenali jantina seorang dari mereka. Pakaian mereka ala-ala rap! MasyaAllah. Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila buku "Jejak Bisnes Cara Rasul" jadi pilihan.


Bercakap tentang pilihan, manusia bebas memilih dan ia sudah pasti berkaitan dengan penghidupan yang abadi kerana itulah teratak terakhir semua makhlukNya. Ya, itulah akhirat. Pilihan terletak di tangan sendiri. Walau siapa pun kita sekarang ia tidak menjamin siapa kita di negeri abadi. Tugas kita adalah terus memilih jalan yang terbaik dan tetapkan kaki melalui jalan yang betul. Saya doakan mereka yang memilih untuk mengikut cara Islam, (tidak kira siapa pun mereka sekarang) supaya diberikan hidayah yang tidak putus-putus oleh Allah. Amin



Read more...
Related Posts with Thumbnails