Snow

11.30.2009

Wanita Lebih Pintar Daripada Lelaki??


Benarkah wanita sekarang lebih pintar? Ternyata di mana-mana kampus, wanita yang mendominasi. Hampir 80% tempat di universiti dipenuhi oleh wanita. Di tempat kerja sekalipun (terutama di tempat kerja saya sendiri) pegawai-pegawai dilihat lebih ramai di kalangan wanita. Dari sudut kepimpinan dalam negara, wanita dilihat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan 'Yang Berhormat' yang lelaki.. Masing-masing mampu menyumbang pada negara sekalipun dia seorang wanita. Walhal kalau dilihat pada calon-calon terbaik SPM khususnya, hampir setiap tahun, pasti dia seorang wanita.

Bijak belajar, luas pengetahuan, berani berhujah secara logik dan mantik serta terkehadapan.. Adakah ini dikatakan pintar?? Saya persoalkan sekali lagi untuk kita sama-sama fikirkan...Benarkah wanita sekarang lebih pintar??

Pintar itu merujuk pada suatu perkara yang berharga dan bernilai. Maka di sini boleh kita kategorikan orang yang pintar itu adalah aset pada sesebuah organisasi atau institusi. Sayang kalau hanya disimpan dan tidak diguna. Beruntung bagi orang yang memiliki mereka. Dalam penciptaan manusia itu, Allah lengkapkan dengan unsur-unsur tertentu. Ia merangkumi roh, qalb, emosi, akal, dan jasad. Mereka yang berjaya membangunkan kompenan-kompenan ini sepanjang hidup mereka, maka dialah yang pintar!

Amar makruf nahi munkar berkait rapat dengan roh seseorang. Roh yang hidup dan 'bangun' sentiasa waspada dengan tuntutan syariatullah. Takut dengan dosa dan seronok beramal ibadah. Amal yang syubhah atau ragu-ragu sedaya upaya akan dihindarkan. Bagi hukum-hukum syarak seperti wajib, haram, sunat,makruh dan harus juga dijaga rapi. Kalaulah dia seorang majikan lagaknya tawaduk, menghormati orang bawahan. Rasuah jijik dipandang apatah lagi melakukan. Seboleh-bolehnya pandangan pekerja bawahan adalah sebab penghormatan bukan kerana ketakutan.

Elemen kedua adalah qalb. Selalu kita dengar bicara orang. Renunglah dengan mata hati tiap peringatan yang kita perolehi. Itulah qalb. Selepas mendengar dan melihat, qalb lebih berpotensi untuk memberikan pilihan yang terbaik, membuat penilaian dengan lebih tepat. Bagi elemen emosi, ia terbina dari nafsu. Manusia bukan seperti malaikat yang bersih dari nafsu. Adanya nafsu membuatkan kehidupan manusia lebih teratur dan sesuai dengan kehidupan manusia di dunia. Kita boleh makan dan kuat beramal ibadat, berkahwin dan punya anak, tidur dan sihat tubuh badan, mengumpul harta dan bersedekah. Walaubagaimanapun, nafsu perlu disalurkan kena pada tempatnya. Pengurusan nafsu bagi seseorang, membolehkan dia terlepas dari bertuhankan nafsu yang keji.

Kompenan seterusnya merupakan akal. Akal menyebabkan manusia boleh bertindak mengurus alam dengan adil. Manusia yang menggunakan akal, akan sentiasa rasional dengan keputusan yang dibuat. Mereka lebih cakna dalam memakmurkan bumi sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah. Seterusnya adalah jasad. Ia membawa maksud tubuh. Tubuh atau jasad yang baik hasil dari makanan yang baik. Setelah jasad telah terbina, maka ia perlu dijaga agar sentiasa dalam keadaan yang baik juga. Ini juga membawa erti jasad perlu nampak baik,sihat,wangi dan cantik. Jadi, personaliti perlu kemas, menutup aurat, tubuh sentiasa bertenaga dan badan ada wangi-wangian untuk mengelakkan bau badan.

Kelima-lima ini adalah elemen untuk menunjukkan kepintaran. Andai dibangunkan kesemua unsur ini, tidak mustahil kita boleh menjadi pintar. Kalau wanita lebih ramai masuk universiti berbanding lelaki atau kalau wanita lebih ramai berkerjaya dan berpangkat tinggi lebih dari lelaki, mungkin boleh dikatakan wanita lebih komitmen dan berdisiplin tinggi. Jadi golongan lelaki, anda seharusnya belajar lagi dari wanita.

Kepintaran pastinya milik semua. Terpulang pada anda untuk menggunakan segala apa yang anda ada untuk membuktikan anda sebenarnya adalah pintar. Tidak kira anda wanita atau lelaki. Terlalu subjektif pintar itu. Lebih-lebih lagi penciptaan manusia itu unik dan penuh seni. Dan ingatlah 'Maha Pintar' itu hanya milik Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? (Surah Al-Baqarah:140)

Read more...

11.28.2009

Nur Kasih, Taubat Nasuha dan Penjagaan Hati


Drama bersiri Nur Kasih sampai ke episod akhir jua. Penantian selama beberapa bulan terjawab jua pada malam kelmarin. Pengakhiran cerita yang rata-rata penonton harapkan terjadi juga. Nur kekal bersama Adam tanpa melukakan mana-mana pihak. Baik Aidil, ibunya apatah lagi Liya. Ramai juga blogger yang memasukkan entry berkenaan cerita 'Nur Kasih'. Tahniah kepada anda yang mengikuti cerita yang banyak mengandungi unsur positif dan 1001 pengajaran. Pasti ramai yang selepas ini men'download' cerita ini untuk menonton kembali episod yang terlepas dan tidak kurang juga yang menjadikan lagu 'Nur Kasih' nyanyian Yasin sebagai nada dering.Entry kali ini bukanlah untuk mengulas berkenaan cerita bersiri ini. Tapi mengambil sedikit intipati pengajaran di dalam perjalanan cerita tersebut.

Usai khatam menonton cerita Nur Kasih, kesempatan masa yang ada aku luangkan menonton cerita seterusnya. Bagi yang terus menerus menonton rancangan di TV3 pada malam tersebut, pasti tidak terlepas untuk menyaksikan satu lagi cerekarama yang penuh menyayat hati. Drama 'Taubat Nasuha' ini menampilkan para pelakon seperti Fauzi Nawawi, Sheila Rusly dan tiga orang kanak-kanak yang dilatih menghayati setiap watak yang dipegang. Bukan untuk memuji berlebihan. Sekadar meluahkan yang tersimpan dalam naluri hati kecilku ini.

Ujian Bagi Orang Yang BerTuhan

Baik 'Nur Kasih' mahupun 'Taubat Nasuha' kedua-duanya mempunyai kelebihan pada ciri-ciri pelakon, skrip dan penjiwaan watak yang cukup baik. Unsur-unsur positif yang cuba diketengahkan oleh pengarah cerita ternyata menjadi. Kita ketepikan dahulu soal Nur Kasih kerana apa yang penting di sini adalah moral of the story yang sama bagi kedua-dua cerita. Pengurusan hati. Ya, soalnya bagaimana watak-watak dalam kedua-dua cerita ini kembali ke Ya Robb apabila ditimpa segala musibah..

Perasaan marahku yang meluap-luap kepada Mizi (lakonan Fauzi Nawawi) ternyata menunjukkan lakonannya menjadi. Kehadiran tiga orang anak di sisi yang mempunyai keletah yang belum matang ternyata menguji kesabarannya. Apatah lagi mempunyai 'rekod' pernah didera dan dirotan oleh ayah sendiri menyebabkan barannya payah dikawal. Saban hari bila kesabarannya tercabar dengan kenakalan anaknya, kalau tidak ditarik telinga, dihantuk kepala, pasti akan keluarlah sumpah seranah yang tidak sesuai anak-anak di umur sebegitu mendengarnya. Bukan sahaja anak-anak, malah isteri sendiri turut menjadi mangsa kegurisan hati akibat tindak tanduk suami yang tidak rasional itu.

Pengakhiran cerita ini Mizi kehilangan insan-insan yang dirasakan menyusahkan hidupnya. Mizi akhirnya bertaubat dengan taubat nasuha. Walaubagaimanpun, insan-insan tersebut tidak mampu kembali lagi. Apa yang menarik hatiku, ujian Allah yang datang tidak bersapa itu, membuatkan kita perlu berfikir. Manusia perlu bertuhan untuk mereka mengadu segala sesuatu. Malangnya tidak ramai mencariNya tika dalam kesenangan. Memang benar, menilai susah senang seseorang perlu dengan mata hati. Bukan logik akal semata-mata. Apabila ujian datang bertimpa, segalanya perlu dipandang dalam sudut positif sebenarnya. Apabila Allah mendatangkan ujian, mengambil sesuatu yang kita sayang maka pasti Dia sebenarnya ingin menggantikan sesuatu itu dengan yang lebih baik. Kisah Mizi yang kehilangan isteri dan anak-anak akibat dibunuh, bukan bermakna Mizi kehilangan semuanya. Tetapi Allah menggantikan dengan hidayah Allah dan sifat sabar dalam dirinya. Siapa sangka Mizi yang dahulunya garang dan baran boleh berubah menjadi lembut hati dan penyabar selepas apa yang berlaku pada dirinya.

Pandanglah Dengan Mata Hati

Rasa kecewa, sedih keterlaluan, sakit hati apabila diuji menunjukkan kebergantungan dan keyakinan kita kepada Allah masih belum ampuh. Retak dan bila-bila boleh runtuh. Sebaiknya bagi orang yang beriman apabila mendapat ujian maka dia yakin bahawa Allah menimpakan sesuatu ujian untuk menguji tahap keimanan. Tidak layak bagi kita sebagai hamba mempertikaikan aturan kehidupan yang Allah tetapkan kerana kita hanya hamba. Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Pandanglah dengan mata hati setiap musibah itu. Ia pasti terselit pengajaran atau kebaikan yang ingin disampaikan. Terpulang pada kita untuk menilai dan mentafsir. Kiranya sabar itu menjadi ramuan, pasti resepi kehidupan kan terasa lazatnya bagi setiap hamba yang diuji. Selamilah hati anda, ketenangan dan kebahagiaan kan terasa apabila hati mampu bersabar, redha dan tawakal dengan Tuhannya.

Cerita dan Pengajaran

Cerita Nur Kasih mahupun Taubat Nasuha sudah berlabuh. Entah bila lagi watak dalam cerita tersebut boleh wujud kembali lantas membantu kita dalam menghidupkan perasaan kebergantungan kita pada Pencipta. Hati manusia perlu sentiasa ditazkirah. Ibarat kasut sekolah bukan sahaja perlu dibasuh bahkan dikapur biar nampak putih dan bersih. Akal juga perlu selalu diasah untuk selalu memikirkan berkenaan Pencipta kita. Ambillah pengajaran atas apa yang berlaku melalui cerita, pembacaan, mahupun nyanyian atau apa sahaja yang ada di bumi. Pasti terselit hikmah yang membuatkan kita terus untuk mengenali Yang Maha Agong..

Firman Allah yang bermaksud: Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang itu melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu (Surah Al-Taghabun:11)


Read more...

11.21.2009

Cepatnya Masa Berlalu


Jam di dinding ofis berdenting lagu seperti biasa tepat jam 4.3o petang. Kawan-kawan lelaki sepejabat yang duduk berdekatan aku mencipta lagu sendiri mengikut irama lagu tersebut. Lawak dan mencuitkan hati dengan perangai mereka. Girang barangkali hendak balik ke rumah masing-masing. "Wah, cepat betul masa berlalu. Sudah hendak balik.. Baru sebentar tadi rasanya aku bersarapan bersama Kak Izi dan Ika.."

Teringat aku dengan hadith Rasulullah S.A.W yang cukup mahsyur yang bermaksud salah satu tanda kecil dekatnya dengan hari Kiamat adalah waktu yang berlalu terasa singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari dan sehari bagaikan sejam.

Jumhur ulama' tidak menafsirkan singkatnya waktu dengan kecepatan bumi ini bergerak di atas paksinya. Atau bermaksud bumi bergerak dengan kadar waktu lebih cepat seperti 20 jam sehari contohnya. Bukan.. tetapi para ulama' hadith berpendapat bahawa sesuatu itu telah dicabut keberkatannya oleh Allah. Termasuklah keberkatan waktu dan ini adalah merupakan salah satu tanda dekatnya dengan hari kiamat

Emm.. apa maksud berkat??.. biasa dengar perkataan hari yang penuh berkat, malam yang dipenuhi dengan keberkatan.. rezeki yang diberkati Allah..biasa bukan?? berkat bermaksud kebaikan yang banyak. Dalam konteks keberkatan waktu, seseorang akan merasakan kuantiti masanya berbaloi dengan kerja atau ibadah yang dilakukan (tidak tertumpu pada ibadah khusus sahaja) ataupun kualiti kerjanya berkembang sehingga melampaui kuntiti masa yang dia ada.

Bagi orang yang beriman pada Allah, keberkatan waktu itu datang kerana setiap masa, mereka merasakan taklifan sebagai hamba Allah untuk beribadah pada Nya tidak pernah berhenti. Sebab itu, ramai di kalangan sahabat Nabi dan orang-orang terdahulu akan terasa sangat menyesal apabila waktunya berlalu tanpa apa-apa pengorbanan yang dibuat untuk agama tercinta. Berbeza dengan orang zaman sekarang.. sedih dan menyesal bila kehilangan duit atau barang berharga yang lain.

Kalau dilihat pada Sultan Muhammad Al-Fateh dipilih menjadi Sultan Kota Konstantinopel pada usia 19 tahun. Kalau difikir secara logik, pada usia semuda itu, mampukah beliau memimpin. Melainkan dengan usaha beliau menggunakan waktu dengan belajar memanah, menunggang kuda, kemahiran menggunakan 7 bahasa dalam bertutur, serta persiapan-persiapan ilmu peperangan yang lain. Maka umur bukan halangan. Keberkatan waktu yang diperolehinya memungkinkan dia menjadi seorang pemimpin terulung. Sesuatu yang tidak mustahil.

Ketahuilah bahawa kita diciptakan dengan suatu tugas yang amat penting dan waktu adalah "modal" untuk kita mengembangkan "perniagaan" untuk mengaut keuntungan di akhirat kelak. Tugas-tugas kita tidak boleh dilaksanakan dengan baik andai waktu tidak digunakan dengan baik. Jauh sekali hendak mendapat keberkatan dalam waktu. Kata-kata Imam Hassan Al-Banna yang popular di kalangan kita.. Tanggungjawab yang kita pikul melebihi dari masa yang kita ada..

"Mira.. tak nak balik ke?? Pukul 5 dah ni.." emm..nak balik dah ni.."aku menyahut. Setengah jam yang berlalu singkat sahaja pada aku.. Aku bangun.. terus mencapai kunci buorqku.cepat betul masa berlalu..alhamdulillah..petang ini tidak hujan dapatlah aku balik dengan tenang. Kalau tidak habis basahlah aku dan buroqku..

P/S: berhasrat membeli tunggangan beroda 4. Doakan aku..


Read more...

11.19.2009

Anda Sebenarnya Berpotensi !!

Apabila tangan mula bermain di papan kekunci, hati terdetik elok sudahkah penulisan aku ini?? ada ke orang yang hendak membaca dan terus membaca dalam laman blog ini?? Persoalan seperti ini biasa aku rasakan dalam diri. Ramai lagi blogger yang berbakat dan hebat. Mampu menulis yang lebih baik dan mantap. Apabila perkara seperti ini yang bermain dalam fikiran, kadang-kadang aku padam semula frasa-frasa ayat yang baru aku bina. Bimbang isinya tidak menepati pilihan pembaca untuk terus membaca..

Menurut sebuah buku yang bertajuk "Apa Bakat Saya" terbitan PTS Millenia, penulis menimbulkan persoalan seperti tahukah kalian, kita semua mempunyai bakat semulajadi?? Tahukah sekiranya bakat semulajadi tersebut tidak kita bangunkan secara sedar, mungkin ia akan terpendam pada diri kita sampai bila-bila?? dan tahukah kita bahawa sekiranya bakat semulajadi tersebut dapat kita bangunkan dalam diri, ia bukan sahaja dapat memberi suatu keseronokan atau kepuasan malah boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan??

Apakah itu bakat?? Menulis, memasak, menyanyi, mengukir, melawak, bersukan, berpolitik.. ini semua adalah bakat. Bagaimana pula dengan sikap negatif seperti degil dan gementar. Sebenarnya ia juga adalah bakat jika dilihat dari sudut positif. Sikap degil menyebabkan sseorang terus gigih dan 'degil' untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sikap gementar menyebabakan seseorang sentiasa bersedia sekiranya diminta untuk memberi ceramah atau berpidato.

Bakat perlu disekalikan dengan ilmu dan kemahiran. Bagi seorang penulis blog, jika kita mempunyai kemampuan mempengaruhi seseorang untuk setia membaca penulisan kita, maka itu adalah bakat. Tetapi kita juga perlu ilmu. Ilmu adalah fakta, pengajaran dan pengalaman yang kita alami. Ini semua boleh kita jadikan topik perbincangan dalam blog kita. Mana mungkin pembaca akan terus membaca jika topik perbincangannnya asyik berkisar benda yang sama. Ilmu perlu sentiasa di'update' seperti berita gosip yang sentiasa kita dengar di kaca-kaca televisyen.. Terkini dan 'panas'. Pembacaan juga perlu meluas. Supaya penulisan mengikut isu-isu yang menarik minat golongan pembaca.

Kemahiran pula dapat dipelajari melalui ilmu. Ia membantu kita dalam melakukan sesuatu perkara dengan baik tetapi bukan bermaksud menjadikan kita terbaik dalam perkara itu. Kemahiran untuk menarik minat pembaca blog seperti penggunaan warna dalam blog, gambar-gambar dan grafik berwarna, kemahiran kita untuk menghebahkan blog kepada orang ramai dan sebagainya juga perkara penting. Dalam erti kata lain, dengan kemahiran seperti ini, kita boleh mempengaruhi pembaca tetapi tidak semestinya kita boleh membuatkan semua orang boleh menyukai penulisan kita.

Bakat perlu dibangunkan..contohnya bagi anda penulis blog (termasuk diri sendiri) beranilah untuk menulis dan terus menulis. Gunakan ruangan maya sebagai tempat untuk mengasah bakat anda sendiri. Biar sedikit tapi menyumbang. Biar dilihat lekeh pada pandangan kita., tapi tidak semestinya sama pada pandangan orang ramai. Lama kelamaan tidak mustahil kita mampu menulis lebih baik lagi dari sekarang. Cubalah!!


Read more...

11.18.2009

Persoalan Cinta


Akak pernah bercinta?? Macamana akak salurkan perasaan cinta itu??
Suatu hari aku ditanya seorang adik. Riak wajahnya benar-benar perlu pada jawapan yang pasti
Terdiam seketika…memikirkan jawapan paling mudah difahami,dan jawapan yang ayatnya mampu menusuk ke jiwa remaja itu..

Teringat zaman dahulu..zaman mula berjinak-jinak dengan kerja dakwah. Pada waktu itu akulah adik. Dikelillingi oleh kakak-kakak yang banyak berkecimpung dalam dakwah jua. Soalan itu kerap aku tanyakan pada mereka.

”Cinta itukan fitrah. Cuma bergantung sejauh mana kita mangawal dalam diri. Kalau yang kita mujahadahkan itu baik, baik jugalah hasilnya. “Jawapan seperti itu kadang-kadang terlalu subjektif bagi aku. Selalu aku meminta penjelasan yang lebih lagi.. Bagi mengubat hati yang bergelojak ini.

Beberapa tahun selepas itu, bila kakak-kakak mula pergi meninggalkan alam kampus, maka aku pula yang menjadi kakak kepada adik-adik. Dalam umur seusia ini, sudah banyak yang aku belajar. Belajar dari pengalaman. Benarlah kata senior-senior aku, ada sesetengah perkara perlu dilalui sendiri. Baru kesannya boleh meresap ke dalam diri dan kita akan lebih faham.

Suatu ketika dulu juga aku pernah berdiskusi dengan seorang teman..
Tersentuh dengan cerita keyakinannya yang terlalu tinggi pada Allah. Perasaan untuk melamar orang yang dicintai terpaksa dikawal. Di saat kerja dakwah terlau banyak dan tidak akan terhenti, kekangan kewangan ,dan masih belajar lagi, niat itu terpaksa ditangguhnya. Mana mungkin boleh ber’couple’. Dirinya pasti menjadi fitnah orang sekeliling dan fitnah yang besar dalam agama.

“Biarlah.. aku redha..andai ada jodoh pasti tidak ke mana. Ya Allah, kau berikanlah aku piihan yang terbaik pada pandanganMu..bukan yang tercantik pada pandanganku. Aku redha Ya Allah dengan ketentuanMu. Aku letakkan sepenuh keyakinan hanya padaMu”
5 tahun berlalu. Allah tunjukkan yang terbaik buatnya . Setelah tamat belajar dan mempunyai pekerjaan tetap Allah temukan kembali dengan gadis impiannya.. Adil sungguh Allah..Semuanya perlu dengan baik sangka pada Allah, pengatur urusan terbaik..

“Akak, oo.. akak..”
Panngilan itu mematikan lamunan. Lama juga aku mengelamun. Mencari point untuk berdiskusi dengan adik yang seorang ini.

“Jawapan akak.. awak letakkan sepenuh keyakinan pada Allah. Simple word kan tapi tidak semua orang mampu aplikasikan”

Alah kak.. saya tanya lain tadi.. itu sahaja jawapan akak??
Aku tersenyum..lantas mengajak dia menyambung diskusi..muka bertatap muka. Lutut bertemu lutut..

Biasa.. aku dahulu seperti itu juga..=)

~Cinta itu perlu dikawal bukan ditahan~

Read more...

11.11.2009

Selamat Memberi dan Menerima Peringatan


“Usrah alumni di rumah ustaz pada minggu ini insyaAllah ada..”

Maklumat yang diterima tersebut benar-benar melonjakkan hati. Girang benar hati untuk berjumpa dengan insan yang sangat dihormati itu. Didikan dan pesanan ustaz sentiasa segar dalam ingatan walaupun sudah lama tidak bersua. Lantas diatur masa sebaik mungkin untuk bertemu juga dengan ustaz itu.

Begitulah kebanyakan dari sikap dan perangai manusia. Mudah menerima sesuatu nasihat dan teguran dari insan yang dihormati. Asal ada sesuatu yang menarik perhatian tentang seseorang itu seperti baik akhlaknya, tinggi ilmunya dan wara’ lakuya, maka hormat itu mudah terbina.
Apakata kita kaji semula perspektif kita? Mana lebih utama? orang yang memberi nasihat atau nasihat yang diterima untuk memperbaiki diri? Sebagai contoh, bila seorang budak kecil yang belum cukup umur 12 tahun menegur kita kerana terlalu asyik menghadap internet sehingga melewatkan waktu solat tetapi tidak kita endahkan. Kemudian, datang pula si ayah yang merangkap imam masjid. Orang yang kita hormat dan patuh, datang menegur perkara yang sama. Situasi yang sama, perkara yang ditegur juga sama. Solat hukumnya wajib. Melengah-lengahkannya adalah perkara yang Allah tidak suka. Cuma orang yang menegur berbeza keperibadian dan umur.

Sebenarnya, keimanan, rasa takut, ketundukan dan mengikuti redha Allah yang kita miliki akan mewajibkan kita untuk mengambil manfaat setiap teguran, nasihat dan peringatan. Betapa bahayanya orang yang tidak terpengaruh dan tidak mengambil manfaat dari peringatan walau siapa pun yang memberi nasihat dan peringatan. Lebih-lebih yang berhubungkait dengan agama. Sebab, dikhuatirkan hal ini menafikan keimanan. Sungguh kerugian dan malapetaka besar ketika seseorang mengaku beriman, tetapi tidak dianggap beriman kerana tidak mahu mengambil pengajaran dari setiap peringatan.

Janganlah dipandang pada siapa yang menegur, tetapi pandanglah pada apa yang ditegurnya. Begitulah secara ringkasnya. Walaubagaimanapun, setiap umat islam yang dilahirkan di muka bumi berperanan sebagai pendakwah. Tidak perlu menunggu diri betul-betul “baik” untuk menegur dan menasihat sesama kita. Yang penting adalah meyampaikan secara berhikmah. Dalam masa yang sama memperbaiki amal ibadah supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang Allah murka yakni tidak perbuat atas apa yang diperkatakan. Wallahu’alam..

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” [QS51:55].


Read more...

11.10.2009

Pembaziran...


Pembaziran ilmu pengetahuan: Membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan


Pembaziran amalan: Membazir jika tidak dilakukan dengan ikhlas


Pembaziran kekayaan: Membazir jika tidak dibelanjakan pada perkara yang bermanfaat dan tidak diredhai Allah


Pembaziran hati: Membazir jika hati kosong daripada kasih Allah


Pembaziran tubuh badan: Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah


Pembaziran cinta: Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepadaNya


Pembaziran masa: Membazir jika tidak diurus sebaiknya


Pembaziran akal: Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna untuk Agama


Pembaziran zikir: Membazir jika tidak member kesan pada hati


MEMBAZIR ITUKAN SAUDARA SYAITAN???


Read more...

Sesudah Kesusahan Pasti Ada Kesenangan

Bismillahirrohmannirohim..
Assalamualaikum wbth..

Kita merancang tetapi Allah yang menentukan. Begitu ketetapan Allah dalam kehidupan. Manusia tidak betah hanya menyerahkan 100 peratus melalui doa tanpa usaha. Atau hanya berusaha tetapi lupa memohon dan berserah pada Dia.

Umat islam disuruh berikthiar tetapi yang menentukan masa depan adalah Allah. Selepas berikhtiar, merancang dan berusaha sehabis baik maka umat islam disuruh berserah pada Allah. Inilah dinamakan tawakal.

Walaubagaimanapun, perancangan perlu rapi, usaha perlu bersungguh sebelum tawakal pada Allah. Lihat sahaja peribadi baginda Rasulullah S.A.W yang amat mementingkan perancangan rapi sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Misalnya, sebaik tiba di Madinah, baginda segera membina masjid bersama sahabat. Fungsinya sebagai tempat beribadat, bermesyuarat, tempat pertemuan seluruh umat islam selain menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda turut mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi dengan meletakkan dasar perundangan dalam kota Madinah supaya golongan bukan islam ini tahu hak dan kedudukan mereka dalam masyarakat berbilang kaum itu.

Sama juga halnya yang berlaku pada malam hijrahnya Rasulullah dan pertemuan usrah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam bersama umat islam yang baru memeluk islam..Semuanya, berlaku di atas perancangan rapi Rasulullah S.A.W dan berdasarkan petunjuk Allah kepada baginda.

Begitu, yang dianjurkan dalam islam. Islam bukan mengajar umatnya berfikir membuta tuli atau tawakal tanpa berusaha terlebih dahulu (berserah sepenuhnya pada Allah tanpa ada usaha). Tetapi islam mengajar manusia memerhati, mempelajari dengan teliti terutama perkara yang melibatkan hak agama, harta, keturunan, nyawa dan sebagainya.

Usaha tanpa tawakal sombong, tawakal tanpa usaha sia-sia. Di hadapan kita terhampar kejayaan, Cuma masih terhijab dek kejayaan yang sekadar angan-angan Mat Jenin atau gian belajar sehingga terabai tawakal dan redha pada Penentu segalanya


Read more...
Related Posts with Thumbnails