Snow

12.28.2009

Kisah Baca dan Tulis..


Sedari kecil kita digalakkan untuk membaca. Ibu bapa juga melabur untuk kepentingan anak-anak untuk masa hadapan dengan menghantar ke sekolah dan membeli bahan bacaan di rumah. Semakin kerap kita membaca, semakin tajam pemikiran kita. Salah sekiranya semakin banyak membaca, semakin tepu pemikiran. Apabila banyak membaca, sel dalam otak menjadi aktif. Lalu mencetuslah sinaps. Sel dalam otak menjadi kurang aktif dan hanya duduk diam sekiranya jika ia tidak diguna untuk membaca dan berfikir.Tetapi semuanya mesti betul pada perlaksanaan. Membaca pada masa yang betul. Tidak mengabaikan kerja dan tanggungjawab yang lain akibat terlalu asyik membaca..

Apabila membaca, otak akan berusaha memahamkan dan menyimpan maklumat. Itu sekiranya kita yang arahkan demikian. Sekiranya kita tidak berusaha mengingatkan, maka ia akan lupus dari ingatan. Sebab itulah ada sesetengah perkara yang kita baca, tidak semua mampu kita ingat. Semuanya perlu pada arahan. Nampak seperti rumit. Sudahlah perlu dibaca, hendak diingat pula..

Sebenarnya, kita hanya perlu banyak membaca. Kerap membaca, membuatkan otak semakin ligat berfikir, aktif berfungsi. Kerja kita hanya perlu membaca, kemudian serahkan pada otak untuk bekerja. Kalau tidak percaya, cubalah untuk tidak membaca dalam masa sebulan. Otak pasti jadi semakin lembap, semakin tepu dan sebagainya.

Teringat pesanan seorang penulis terkenal, saudara Pahrol Mohd Juoi, ingin jadi seorang penulis perlu banyakkan membaca lebih dari menulis. Kemudian selebihnya, tulislah apa yang kita rasai, yakini, dan jangan jadi orang lain!!


Read more...

12.11.2009

Kerja Ikhlas Lillahi Ta'ala


Situasi 1:
Alamak, sudah jam 5.00 petang. Menyelak helaian kertas tebal yang perlu di 'key in' maklumat di PC, menyebabkannya mendengus kecil. Alahai, balik lambat lagi hari ini. Seminggu dua ini, kehidupan hariannya banyak tertumpu pada kerja. Balik sahaja dari rumah, pasti masa bersama keluarga semakin kurang. Mana tidaknya jam 7.00 malam, sampai sahaja di rumah, badan mula letih dan mata minta direhatkan. Meting dan meting yang berterusan membuatkan segala kerja perlu dibereskan dengan kadar segera. Almaklum bila menjadi anak buah, arahan dari pihak atasan harus diturut sehabis baik. Terasa rugi apabila terpaksa mengambil 'overtime' memandangkan masa tamat kontrak kerja pada bulan in juga. Maka 'burn' sahaja 'overtime' yang dibuat itu. Aduhai, rugi-rugi..

Situasi 2:
Hari Jumaat tiba juga. Apabila sampai ke hari Jumaat, hati ini pasti melonjak-lonjak gembira. Almaklum, hendak cuti lah katakan. Seperti biasa hari jumaat 'menghidangkan' saya dengan pakaian pekerja lelaki yang nampak sedikit 'alim'. Berbaju melayu.. Mungkin tidak ramai tetapi ada. Waktu tengahari, saya ke kantin. Mencari-cari makanan buat isi perut yang mula berbunyi minta diisi. Sedih melihat ada di kalangan orang lelaki yang sengaja meninggalkan solat Jumaat. Tanpa segan silu melepak sambil makan bersama kawan-kawan. Jam 3.00 petang, seorang anak buah diajak bosnya ke tapak projek. Ada seorang yang menegur. sudah tahu hendak ke tempat projek, kenapa pakai baju melayu. Rasanya lebih baik teguran buat yang meninggalkan solat Jumaat daripada teguran pada pakaian yang tidak membuka aurat. Aduhai, manusia-manusia..

Situasi 3:
Antara amalan yang paling baik adalah solat pada waktunya. Begitu yang dipesan Nabi. Dunia dan akhirat perlu seiring. Kita tanam benih tika hidup ini, buat bercucuk tanam di akhirat kelak. Kehidupan sebagai pekerja, kadangkala apabila kerja 'overload' bagai tidak cukup tangan dibuatnya. Ramai pada kita memandang enteng solat pada awal waktu. Asal solat. Cepat atau lambat, tidak diambil kira kerana kerja juga perlu dibereskan segera. Penghayatan tentang konsep ubudiyyah malah hikmah pensyariatan solat masih ramai yang tidak mengetahui (rujuk entry saya sebelum ini: Solat Semai Budaya Kerja Cemerlang). Akhirnya solat yang wajib terasa terlalu berat untuk dibuat. Solat sunat Dhuha di awal pagi di waktu pejabat apatah lagi. Yang pastinya, ibadah apabila biasa ditinggalkan, maka untuk memulakan kembali pasti susah. Aduhai hati oh hati..

Kesimpulan
Kerja Lillahi Taala meletakkan segala apa yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah. Kebanyakan orang yang sentiasa bersungut membuat kerja, meletakkan pujian dan habuan daripada manusia sebagai matlamat. Sebaliknya manusia yang bersungguh dan banyak bersabar, menganggap kerja adalah tanggungjawab, amanah yang perlu dilakukan sehabis baik. kerana setiap kerja dan masa yang dilakukan dan dihabiskan akan disoal di akhirat nanti. Saidina Ali ada mengatakan, bahawa orang yang ikhlas itu sama ada orang memujinya atau mengejinya, sama ada di belakang atau di hadapannya, ibadah atau kerjanya tetap sama. Penat adalah perkara biasa. Asal kita bekerja dengan hati terbuka dan berlapang dada dengan semua pekerja termasuk bos kita yang memberi arahan kerja pasti penat kita berbaloi dan hanya seketika.

Apabila bekerja kerana Allah juga, dalam erti kata yang lain, redha Allah yang diutamakan. (selain daripada ingin mencapai objektif syarikat seperti keuntungan, peningkatan prestasi dan mutu kerja) Sambil lewa dalam melakukan suruhan Allah apatah lagi meninggalkan solat dengan sengaja pasti mengundang kemarahan Allah. Maka membuatkan kita semakin jauh dengan redha Allah. Ikhlas bekerja kerana Allah sebenarnya perlu dipupuk. Perlu diajar. Ibarat budak usia setahun jagung yang baru belajar solat. Dipukul jika ditinggalkan solat. Di usia itu, sudah pasti takut dipukul oleh sang ayah lebih mengatasi daripada solat ikhlas kerana Allah. Keikhlasan diberi Allah pada mereka yang solihin dan mukminin. Ianya kurniaan yang paling berharga. Dan sudah pasti Allah berikan keikhlasan bekerja pada mereka.

Read more...

12.04.2009

Solat Semai Budaya Kerja Cemerlang


Elemen dalam ibadat agama contoh terbaik ke arah mempertingkatkan prestasi dan produktiviti organisasi. Jika ditelusuri kewajipan dan amalan dalam agama islam pasti kita akan temui keindahannya. Sebagai contoh, ramai yang membicarakan soal kesihatan yang baik, ketenangkan jiwa dan ibadat 'terapi malam' apabila tibanya bulan Ramadhan. Ini terbukti apabila ada di kalangan yang bukan beragama islam turut berpuasa untuk mengambil sedikit sebanyak manfaat apabila berpuasa. Berbeza dengan puasa, solat adalah tuntutan harian. Sudah pastinya bagi yang melakukan dan menjiwai solatnya akan temui kelebihan yang sangat luar biasa. Dan salah satu daripadanya adalah menyemai budaya kerja cemerlang.

Mengikut perintah
Antara kefardhuan yang kerap diulang di dalam Al-Quran adalah solat. Bahkan Rasulullah juga mengingatkan umatnya supaya tidak meninggalkan solat di saat-saat hujung nyawanya. Mukmin yang berjaya adalah yang khusu' dalam solat. Dan celaan terhadap mereka yang meninggalkannya. Menunaikan perintah Allah seperti solat ini melahirkan hamba yang taat sekaligus melahirkan pekerja yang mengikut arahan ketua di tempat kerja selagimana tidak disuruh berbuat maksiat.

Menurut garis panduan
Ada hadis Nabi yang bermaksud solatlah kamu sebagaimana kamu lihat Baginda melakukannya. Mukmin yang mengambil berat mengenai solat sedaya upaya mencapai martabat itu dan bukan solat seperti melepaskan batok di tangga. Mengikut panduan yang ditetapkan, budaya kerja yang baik akan melahirkan hasil kerja yang sistematik dan memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh organisasi.

Menanam azam dan objektif
Salah satu syarat sah solat adalah niat. Pentingnya mengqasadkan niat pada awal solat menunjukkan setiap kerja perlu bermula dengan apakah yang ingin dilakukan sebenarnya. Niat bekerja dengan baik sebenarnya untuk mencari keredhaan Allah.

Menghormati ketua dan pekerja lain
Apabila kita solat berjemaah, makmum tidak boleh melebihkan suaranya sehingga menganggu makmum di sebelah apatah lagi suaranya kedengaran sampai kepada imam. Budaya memperlahankan bacaan dengan niat tidak mengganggu makmum yang lain amat sesuai diterapkan dalam kehidupan bekerja dalam satu pejabat yang saling hormat menghormati dan menjaga hak pekerja lain.

Kerja berpasukan
Allah merahmati mereka yang melakukan kerja secara berjemaah. Bahkan mereka yang solat berjemaah mendapat pahala 27 darjat berbanding mereka yang solat bersendirian. Kecemerlangan kerja berpasukan adalah moto yang sering diwar-warkan dan sukar dinafikan

Tepati masa
Indahnya Islam mengajar kita solat mengikut waktunya. Sentiasa peka dengan masuk waktu dan habis waktu kerana walau lewat seminit kita solat dari masanya yang sebenar,solat tetap dikira tidak sah. Ini mengajar kita masa adalah perlu diurus dengan bijak. Hari ini pasti berbeza dengan hari esok. Mukmin yang berdisiplin pasti tiada masalah dengan pengurusan waktu di pejabat.

Memberi pandangan
Apabila imam terlupa bacaan atau perbuatan dalam solat, menjadi tanggungjawab makmum memberi teguran seperti zikir (subhanallah) supaya kesilapan dapat dibetulkan . Konsep ini seperti memberi pandangan dalam organisasi. Pendekatan berdiam diri dan menyimpan maklumat untuk diri sendiri di saat organisasi memerlukan sumbangan idea bukan ajaran dituntut islam.

Memangku tugas
Menjadi kebiasaan pada organisasi jika ketuanya tidak dapat melakukan tugas kerana sesuatu hal, maka tugas dia akan dipangku oleh orang kepercayaan jabatan tersebut. Sama juga halnya dalam solat, sekiranya imam perlu keluar, makmum di belakang perlu memangku tugas imam. Makmum akan kucar kacir tanpa imam. Begitu juga dalam kehidupan kerja tanpa ketua.

Mengganti masa
Dalam kes makmum masbuk, wajib melengkapkan solat dengan cara mengganti rakaat yang tertingggal. Ketika bekerja, ada masa kita masuk lewat (punch card merah) atau keluar awal. Seeloknya diganti masa yang ditinggal. Mungkin ia tidak ditulis dalam rekod. Tetapi ia pasti ditulis oleh Malaikat Rakib dan 'Atid. Jika ini yang diterapkan, kerja pejabat dapat disiapkan dalam waktunya dan tidak perlu pada kerja lebih masa yang keterlaluan.

Mengambil inisiatif
Kita diajar untuk memperelokkan solat dengan cara melakukan sunat ab'ad dan hai'ah. Selain itu aspek kebersihan, ketenangan di tempat solat, dan keselamatan perlu juga diambil kira. Hal ini penting bagi menghasilkan mutu solat yang baik. Begitu juga dengan kerja seharian, boleh disiapkan pada masa ditetapkan dan 'asal siap'. Tetapi bukan ini yang diajar dalam islam. Mukmin profesional perlu mengambil insiatif melakukan tugasan sebaik mungkin untuk memaksimumkan hasil kerja.

Indahnya Islam pada segenap gerak laku dan patah bicara. Inilah agama yang bersifat menyeluruh, mencakupi segenap keperluan dan kehendak manusia. Wallahu'alam.

Ustaz Haji ShahRizan Bin Haji Ibrahim,
Kuliah mingguan Pejabat Pembangunan Negeri.

Read more...

12.02.2009

Kehidupan Yang Lebih Bermanfaat


Detik-detik masa yang berjalan pantas kadang-kadang membuatkan saya berfikir tentang sumbangan. Bermanfaatkah kehidupan saya yang selama 23 tahun dan 6 bulan ini. Hadith nabi S.A.W ada menyebut, manusia yang baik di antara kamu adalah yang bermanfaat pada orang lain. Peluang untuk belajar,bekerja dan bersama-sama dengan masyarakat malah ruangan seluas ini untuk menulis sesuatu juga sebenarnya saluran untuk kita memberi manfaat pada orang lain.

Perihal Minda

Saya ada terbaca satu madah golongan korporat “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Maksudnya, mereka yang berminda kecil bercakap tentang manusia, yang berminda sederhana bercakap mengenai isu dan bagi yang berjiwa besar bercakap tentang idea. Benarkah begitu? Mungkin ada kebenarannya..

Mengenal golongan yang berminda kecil ini cukup mudah. Kehidupan mereka tidak ubah seperti robotic. Bangun tidur, masuk kerja jam 8 pagi, rehat pada tengahari, bersiap-siap untuk balik ke rumah apabila jam hendak sampai ke pukul 5 petang. Balik sahaja ke rumah, sudah pasti perut dan badannya dijaga rapi. Bersantai di ruang televisyen kemudian menunggu ‘panggilan’ dari bilik tidur. Mata akan direhatkan secukupnya untuk memulakan kehidupan hari esok yang tiada beza pun dari kehidupan hari sebelumnya. Tabiat mereka tidak berubah kalau berubah pun, waktu bercuti Sabtu dan Ahad sahaja. Dengan rehat yang lebih lama! Pertuturan mereka hanya yang basi-basi sahaja. Isu yang lapuk dan sembangan orang kebanyakan.

Bagi yang berjiwa sederhana mereka seringkali duduk dalam kumpulan.Berbincang mengenai isu-isu terkini. Politik tanah air dan luar negara, bencana alam di luar negara khususnya, peperangan yang entah bila hentinya. Penghayatan mereka lebih dari orang yang merasa. Rasa prihatin, simpati, kurang senang dan lain-lain menyinggah di setiap ruang di hati mereka. Hidup mereka dalam berkelompok yang sering berkongsi maklumat, dan dalam masa yang sama memotivasi diri sendiri. Kalau salah seorang di dalam kumpulan itu memulakan bicara, yang lain-lain punya rasa untuk mengetahui dan mencari lebih info. Makna di sini, pengetahuan yang ‘berjangkit’.Dan di sini ada positifnya. Malangnya golongan ini hanya pandai berbicara tetapi lebih suka goyang kaki daripada yang bertindak.

Sikap golongan yang berminda besar pula, sentiasa bercakap dengan mengeluarkan idea. Golongan ini ada, tetapi tidak ramai. Ramai yang boleh bercakap tentang masalah remaja yang terjebak dengan isu social, tetapi berapa ramai yang boleh bercakap tentang bagaimana untuk mengatasi masalah social itu. Ramai yang boleh bercakap tentang masalah perkauman. Tetapi berapa ramai boleh memberi idea berkesan untuk menyatukan manusia yang berbilang kaum ini.

Jiwa Besar Dan Minda Besar

Siapa sebenarnya yang berminda besar ini? Maka jawapannya adalah mereka yang berjiwa besar untuk memberi manfaat pada orang lain. Hati mereka hidup untuk memberi sumbangan. Semangat mereka membara bila melibatkan hak keadilan dan kebaikan lebih-lebih berkenaan agama. Bagi mereka yang berjiwa besar mereka mencari ruang untuk berubah ke arah yang lebih baik di samping cuba memperbaiki orang lain. Hanya kerana mentality kita yang rigid dan jumud, kita jadi manusia ikut-ikutan dan sterotaip. Jangan kerana malu tidak bertempat atau takut pandangan kita ditolak, lalu kita takut untuk memberi idea. Maka jadilah kita semua manusia yang sentiasa berlumba-lumba memberi idea, mensejahterakan ummah supaya hidup kita bermanfaat pada orang lain. InsyaAllah..






Read more...
Related Posts with Thumbnails