Snow

4.28.2011

Mencari Ketenangan yang Sebenar (sambungan)


Kami mengunyah makanan sambil terus bercerita lagi. Perbincangan isu hari itu sekitar tajuk "anak-anak". Al-maklum, apabila umur-umur sebegitu, bercerita tentang anak-anak adalah topik yang hangat. Bermula kisah melahirkan sampailah keletah si anak yang comel dan mengghairahkan itu!. Memang seronok. Bagi yang belum merasa zaman itu, mendengar dengan khusyuk adalah pilihan terbaik.

Sedang kami asyik berkongsi cerita, azan dari ruang solat berkumandang. Sayup-sayup di tingkat atas. Kami menambah kelajuan menyuap makanan dan mengunyah. Bersolat jemaah pada waktu Zohor dan Asar adalah digalakkan pihak pengurusan pejabat, tetapi masing-masing memandang perkara tersebut sebagai wajib. Baik wanita, apatah lagi lelaki. Kami bersegera. Mahu mendapat yang 27 itu berbanding 1. Pernah sekali saya bertanya seorang staf yang sudah beberapa tahun bekerja di sini, apa rasanya suasana di sini? Mahu tahu, jawapannya: "Seperti di syurga!" 

Terpegun seketika mendengar jawapan itu. Bayangkan keadaan syurga. Tenang tanpa derita. Gembira tiada duka. Tersenyum tanpa nestapa. Indahnya saat bertemu dengan mereka yang sedang bergembira dengan keadaan itu. Kita gembira dan mereka juga sama. Tetapi di dunia syurga yang dirasa jauh sekali bandingannya dengan keindahan syurga di sana. Di dunia, syurganya tidak kekal lama. Kita mencari syurga dunia yang mana sasaran dan matlamat akhirnya syurga akhirat. Menagih syurga, pasti ada mujahadahnya. Bayangkan memenuhi keperluan solat berjemaah berbanding solat biasa juga ada cabaran. Cabaran masa itulah biasanya alasan kita. Walaupun hakikatnya hati yang tidak melawan nafsunya.

Itu adalah sedikit hadiah kegembiraan dan ketenangan. Bagi kita yang separuh masanya di tempat kerja, tidak boleh tidak, mencari ketenangan di sana juga perlu dimasukkan dalam agenda. Solat jemaah, ada majlis ilmu, suasana islamik, di mana batasan aurat terjaga dan hubungan yang terjaga dari segi adab Islamnya. Bergembira dan bersyukurlah andai kita terpilih bekerja di situ. Istiqamah dan bekerja bersungguh-sungguhlah kerana menjaga iman di hati perlu konsisten. Jangan pula di tempat kerja mendapat tarbiah, balik rumah buat tak kisah!


Read more...

4.24.2011

Mencari Ketenangan yang Sebenar

Kami sedang makan ketika itu. Seakan seperti sebuah keluarga yang berkumpul dengan cerita yang pelbagai. Tiba-tiba seorang yang berusia lebih beberapa tahun daripada saya mengajukan soalan. “Bagaimana kerja setakat ini?” Saya diam seketika, menelan saki-baki kunyahan makanan yang masih di dalam mulut. Tidak terkejut mendengar soalan yang hampir sama setiap hari. Saya balas dengan senyuman dahulu, menunjukkan saya senang dengan persoalan itu, “Alhamdulillah, akak. Saya suka suasana di sini,” ringkas jawapan balas saya.

Semua manusia mencari ketenangan dalam hari-hari mereka. Ketenangan zahir dan batin. Melihat orang lain beroleh pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan, naik pangkat dan menerima bonus, ada rumah dan kereta yang megah menjalar di jalan raya, apatah lagi merancang berkahwin pada umur yang muda, malah mempunyai perancangan untuk melancong juga! Kita terasa seakan mereka beroleh kegembiraan dan ketenangan dalam hidup khususnya soal pekerjaan mereka, boleh buat apa sahaja! Begitukah kebahagiaan dan ketenangan? Apakah maksud ketenangan yang sebenar? Bolehkah diganti dengan emas yang nilainya saban hari semakin meningkat? 

"Ya Allah, aku memohon daripada-Mu jiwa yang tenang, yang beriman dengan pertemuan dengan-Mu, redha dengan ketentuan-Mu, dan berasa cukup dengan pemberian-Mu."

Read more...

4.07.2011

Uniknya Tugas Seorang Editor

Assalamualaikum pengunjung Harirujihadah,

Setelah hampir seminggu saya melalui kehidupan sebagai seorang editor, hari ini saya ingin berkongsi sesuatu.

Permulaan sebelum menyunting atau mengedit itu, adalah kerana kita diamanahkan dengan tugas tersebut. Jadi tidak boleh tidak, kita gagahi juga. Dalam kalangan editor itu kebanyakannya adalah graduan yang mengkhusus dalam bidang pengajian komunikasi massa atau pengajian islam. Tetapi itu permulaannya. Kita layak kerana kita mempunyai akademik yang baik yang mengkhusus dalam bidang yang berkaitan untuk menjadi seorang editor. Tetapi ia berubah apabila kita sedang menjalankan tugas sebagai editor. Kemahiran insaniah meletakkan diri di tangga yang pertama melepasi akademik. Sikap kita menyumbang 97 peratus sementara hanya 3 peratus disumbang oleh akademik dan kelayakan kita dalam bidang editorial.

Menjadi editor memerlukan kita mempunyai sifat ikhlas yang tidak pernah berhenti. Mengapa saya berkata begitu adalah kerana kita turut menyumbang kepada hasil sesuatu artikel yang disunting. Menarikkah isinya? Sampaikah mesejnya? Atau yang lebih mencabar lagi, mampukah para pembaca itu faham dan amalkan yang sepatutnya? Di situlah ikhlas diperlukan. Editor ialah mereka yang tidak kelihatan. Mereka menjadi seseorang di balik tabir pembikinan majalah atau buku. Editor ibarat penulis lirik lagu. Popularnya seorang penulis lirik itu, tidak sepopular penyanyinya. Lebih malang, peminat lagu tersebut langsung tidak mengetahui penulis liriknya. Penyanyi biasa diangkat tinggi darjatnya dan selalu disebut-sebut namanya berbanding seorang penulis lirik. Jadi, mari kita tanya pada diri kita sendiri termasuk saya, sukakah menjadi editor? Bersediakah mahu menjadi editor yang ikhlas hatinya?

Antara ciri penting seorang editor ialah mempunyai sikap berani. Berani menyunting di mana yang kita rasakan betul untuk dibetulkan, cantik untuk ditambah perkataan atau buang perkataan yang tidak diperlukan. Andai kata kita tersalah selepas proses menyunting mohonlah maaf kepada penulis. Kesalahan itu adalah perkara yang tidak boleh dielak. Jangan takut jika kita tersalah. Yang penting adalah tidak melakukan kesalahan kali kedua. Pesan Ketua Editor sepanjang bekerja buanglah sikap ambil hati sebaliknya buat sepenuh hati dan dari hati. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik.

Menjadi editor juga memerlukan ketelitian yang tinggi. Perkara pertama apabila mendapat manuskrip asal yang perlu disunting adalah "zoom out to "zoom in". Kita perlu melihat mesej yang mahu disampaikan oleh penulis. Adakah isinya menepati kehendak tajuk dan objektif yang ingin disampaikan. Baca berkali-kali artikel tersebut sehingga kita boleh menjiwai. Ini adalah peringkat "zoom out" iaitu melihat secara luaran dahulu. Kemudian, ketelitian seorang editor diuji lagi dengan melihat dengan lebih dekat dari sudut ejaan, tanda baca, tatabahasa, susunan dan kelancaran ayat dan perkataan. Proses ini dipanggil "zoom in".

Berpuluh-puluh tajuk, beribu-ribu perkataan, beribu-ribu ayat juga perlu diteliti. Mana mungkin seorang editor boleh lari daripada mempunyai sifat sabar! Meletakkan di minda kerja adalah kerja boleh menyebabkan tekanan. Sebaliknya meletakkan di minda kerja adalah ibadah yang memberi ruang untuk ke syurga, itu lebih merangsangkan. Renungilah kata-kata hikmah ini: "Siapa kita 5 tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca sekarang dan dengan siapa kita berkawan". Maka letakkan di hati, setiap kalimah yang dibaca dan disunting merupakan ilmu yang dapat mencorakkan kita pada masa akan datang. Wallahu'alam.







Read more...
Related Posts with Thumbnails