Snow

4.28.2011

Mencari Ketenangan yang Sebenar (sambungan)


Kami mengunyah makanan sambil terus bercerita lagi. Perbincangan isu hari itu sekitar tajuk "anak-anak". Al-maklum, apabila umur-umur sebegitu, bercerita tentang anak-anak adalah topik yang hangat. Bermula kisah melahirkan sampailah keletah si anak yang comel dan mengghairahkan itu!. Memang seronok. Bagi yang belum merasa zaman itu, mendengar dengan khusyuk adalah pilihan terbaik.

Sedang kami asyik berkongsi cerita, azan dari ruang solat berkumandang. Sayup-sayup di tingkat atas. Kami menambah kelajuan menyuap makanan dan mengunyah. Bersolat jemaah pada waktu Zohor dan Asar adalah digalakkan pihak pengurusan pejabat, tetapi masing-masing memandang perkara tersebut sebagai wajib. Baik wanita, apatah lagi lelaki. Kami bersegera. Mahu mendapat yang 27 itu berbanding 1. Pernah sekali saya bertanya seorang staf yang sudah beberapa tahun bekerja di sini, apa rasanya suasana di sini? Mahu tahu, jawapannya: "Seperti di syurga!" 

Terpegun seketika mendengar jawapan itu. Bayangkan keadaan syurga. Tenang tanpa derita. Gembira tiada duka. Tersenyum tanpa nestapa. Indahnya saat bertemu dengan mereka yang sedang bergembira dengan keadaan itu. Kita gembira dan mereka juga sama. Tetapi di dunia syurga yang dirasa jauh sekali bandingannya dengan keindahan syurga di sana. Di dunia, syurganya tidak kekal lama. Kita mencari syurga dunia yang mana sasaran dan matlamat akhirnya syurga akhirat. Menagih syurga, pasti ada mujahadahnya. Bayangkan memenuhi keperluan solat berjemaah berbanding solat biasa juga ada cabaran. Cabaran masa itulah biasanya alasan kita. Walaupun hakikatnya hati yang tidak melawan nafsunya.

Itu adalah sedikit hadiah kegembiraan dan ketenangan. Bagi kita yang separuh masanya di tempat kerja, tidak boleh tidak, mencari ketenangan di sana juga perlu dimasukkan dalam agenda. Solat jemaah, ada majlis ilmu, suasana islamik, di mana batasan aurat terjaga dan hubungan yang terjaga dari segi adab Islamnya. Bergembira dan bersyukurlah andai kita terpilih bekerja di situ. Istiqamah dan bekerja bersungguh-sungguhlah kerana menjaga iman di hati perlu konsisten. Jangan pula di tempat kerja mendapat tarbiah, balik rumah buat tak kisah!

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails