Snow

7.07.2011

Ayuh Menjadi Manusia Hebat!

Rutin harian saya, menjelajah ke laman Facebook. Jika tidak update status, pasti ada "lawatan" ke wall teman-teman yang tertentu. yang banyak memberi inspirasi. Entah mengapa malam itu, semua rakan-rakan Facebook benar-benar memberi inspirasi buat saya, lantas menimbulkan rasa "aku mahu jadi hebat seperti itu". Ia nampak seperti hasad dan dengki, nauzubillah... Hasad itu berpotensi suka melihat orang yang didengki itu jatuh selepas segala nikmat dan kelebihan itu hilang. Ya, betapa buruknya sikap hasad dan dengki itu. Moga saya dijauhkan. Amin.

Perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya ketika melihat mereka adalah "hebatnya dia". Saya tidak pasti sama ada faktor usia dan pengalaman itu menyebabkan saya melihat mereka begitu. Atau saya sendiri memandang hanya orang tertentu sahaja boleh jadi seperti itu atas sebab dia ada kelebihan yang Allah kurniakan kepada dia. Baiklah, saya ambil contoh yang mudah. Seorang kenalan dilihat mempunyai pencapaian yang baik sepanjang tahun, malah ada setiap hari! Mengapa kita nilai begitu? Kerana ada sahaja kerja buat yang dilakukan mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada orang lain. Buktinya? lihat sahaja di wall dan foto mereka.

Lantas saya berfikir, benarkah hanya yang tertentu sahaja boleh mendapat gelaran "hebat" itu? Ya, memang benar. Seorang penulis dilihat hebat oleh peminat dan pembaca tegar bukunya. Seorang ustaz dan ilmuwan agama dilihat hebat kerana zuhud dan alim dalam ilmunya dan seorang kartunis dilihat hebat kerana lukisannya bukan sahaja bagus, malah benar-benar memberi impak kepada mata yang memandang. Benar bukan? Hanya mereka yang tertentu sahaja mampu mendapat gelaran itu.

Lalu, saya berfikir lagi bagaimana si ibu yang membesarkan anaknya yang sudah berusia 20-an, bagaimana seorang tukang jahit yang menjahit telekung untuk pelanggannya, dan bagaimana seorang editor membaiki tulisan dan seorang designer memberikan sentuhan pada susun letak dan memilih gambar yang sesuai dengan tajuk cerita di majalah ataupun buku? Ya, saya sudah jumpa jawapannya.Bagaimana sudut pandang kita tentang hebat itu? Kita adalah hebat jika kita fikir kita begitu!

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik-baik orang yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh dengan makruf dan menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah ." 

Mahu menjadi hebat? Boleh, dengan syarat jadilah hebat daripada kalangan manusia tetapi utamakan pandangan Dia. Moga kita semua menjadi manusia hebat yang ada manfaat buat ummat. Moga hati saya lebih terinspirasi untuk menjadi hebat apabila tiba hari yang baru muncul. Ayuh, kawan-kawan, betulkan niat. Mari semua menjadi manusia hebat!

 

3 comments:

  1. insyaAllah..................

    ReplyDelete
  2. wahhh gaya penulisan orang hebat,menambahkan rasa ingin hebat dikalangan orang yang membaca

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails