Snow

9.12.2010

Hidayah Di Balik Syawal (Part 1)


Wajah Tok Chik yang ada iras-iras seperti foto di atas.

Cuti masih berbaki sehari, sebelum kembali ke daerah lain untuk mencari rezeki. Cuti sempena Syawal 1431 Hijrah kali ini cuba dimanfaatkan sebaik mungkin. Kami ke Pahang, menjejaki dan bersama saudara yang hampir tidak dikenali mereka itulah saudaraku!

Ayah saya seorang anak yatim piatu sejak umurnya 15 tahun. Tidak pernah sekali saya melihat rupa ayah dan ibu ayah saya walaupun di dalam foto. Keluarga ayah tidak besar. Ayah hanya sempat mempunyai 2 beradik. Arwah datuk dan nenek umurnya tidak panjang. Muda lagi tika dijemput Tuhan. Kemudian ayah merantau ke luar dari negeri Pahang lalu berjumpa jodohnya di Negeri Sembilan. Tika itu umurnya sekitar 26 tahun. Lalu terus-terusan menjadi orang Negeri Sembilan. Begitulah kisah ayah yang membuatkan kami adik-beradik tidak berapa mengenali keluarga sebelah ayah.

Bukan kisah silam ayah yang ingin saya kongsikan. Cuma sedikit kisah pertemuan dengan adik kepada arwah datuk sebelah ayah yang baru beberapa kali bertemu. Tok Chik, adik yang paling bongsu. Umurnya sudah banyak. 70 dan 4 tahun. Cakapnya masih jelas. Jalannya juga masih tegap. Sebab itu tidak mustahil amanah sebagai Imam Masjid Simpang Pelangai masih lagi digalas. Giginya masih ada. Cuma ada beberapa ruang kosong menandakan beberapa batang sudah luruh. Suka dengan warna putih. Kopiah, serban dan jubah putihnya terus menampakkan tokohnya ala-ala Menteri Besar Kelantan. Cuma yang berbeza datuk ini kelihatan cergas dan sihat. Ada janggut putih sejemput terhias di wajah. Rupanya juga masih ada. Pertama kali saya melihat wajah itu, hati saya berkata ‘Segaknya datuk ini!’

‘Zaman Tok dahulu, payah betul hendak belajar Al-Quran. Sempat belajar mengaji 3 bulan di rumah ustaz. Kemudian dapat perintah berkurung sebab darurat. Hati Tok rindu nak baca Al-Quran. Baca dan tahu terjemahannya. Tambah lagi Al-Quran memang tiada. Ada seorang Pak Arab datang berjualan Al-Quran. Harganya RM75. Mana tok mampu. Hajat itu terkubur sahaja’. Tok Chik memulakan perbualannya. Nampak ramah sekali di hadapan anak buah dan cucunya walaupun jarang sekali berjumpa.

Tok chik berhenti sebentar, menelan air liur kemudian menyambung. ‘ Tengok zaman Nabi di mana datang kekuatan untuk berperang? 313 orang kalahkan 1,000 orang, 3,000 orang mengalahkan 10,000 orang, dan 200,000 orang dikalahkan oleh 3,000 orang.’ Kepala saya ligat berfikir perang yang dimaksudkan. Ah, zaman belajar dahulu biasa dihafal. Sekarang? Hati menyalahkan diri sendiri fakta islam yang sudah hampir dilupakan. Mengapakah?

Firman Allah yang bermaksud:

Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. (Surah At-Taubah: 26)

‘Itulah kekuatan Al-Quran yang Allah turunkan. Ia kata-kata Allah, bukan kata-kata Mahathir Mohd’, Tok Chik pandai sekali mewujudkan suasana agar nampak tidak bosan. ‘Ayat-ayat Allah terus meresap di hati mereka. Lalu timbulkan kekuatan untuk berjihad di jalan Allah tanpa rasa gerun. Al-Quran juga penyembuh. Ayat Kursi, Ayat Seribu Dinar boleh dibuat ubat. Kalau demam panas, sudah berjumpa doktor tetapi masih tidak sembuh, ayat-ayat Al-Quran sesuai sekali dijadikan ikhtiar. Bukanlah bermaksud Al-Quran dijadikan pilihan yang kedua. Tetapi bermaksud jangan dikesampingkan perubatan melalui ayat-ayat Allah’ , Tok Chik menyambung sambil matanya melirik pada kakakku yang juga seorang doktor perubatan.

Saya tersenyum. Tekun memerhati dan mendengar bait-bait kata seorang yang bergelar datuk yang bercucu lebih 40 orang itu. Cakapnya berilmu. Walaupun beliau bukan seorang yang berpelajaran tinggi, mahupun bukan ahli politik yang berwibawa tapi pemikirannya tampak seperti mahir dan tahu banyak perkara. Hari ini saya berjaya diusrahkan oleh seorang datuk. Tidak pernah saya terfikirkan saya mempunyai seseorang seperti Tok Chik dalam keluarga sebelah ayah. Kuih raya yang dihidang saya jamah sambil telinga terus diasak untuk mendengar cheritera Tok Chik seterusnya. Bersambung…

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails