Snow

12.04.2010

Berhijrahlah! Kerana Itu Kehendak Fitrahmu


Alhamdulillahi Robbil 'Alamin. Itu jua kalimah yang boleh saya lantunkan atas dasar kasih sayang Tuhan buat hambaNya. Peluang bersama generasi baru ghuraba itu saya garap semahunya. Bukanlah saya yang terbaik untuk bersama mereka. Atas nama Tuhan, atas dasar keterikatan dengan ukhuwah yang bermula di bumi Arau satu tika dahulu, memungkinkan seringkali saya mahu bersama mengetahui perkembangan tarbiyah, dakwah, siasah dan ukhuwah.

Saya mulakan perkongsian kami dengan hijrah. Tajuk yang sedang rancak dibincangkan tatkala bulan Muharram itu semakin mendekat. Ya, Hijrah! Penghijrahan memerlukan kepada pembelajaran kerana setiap perkara yang kita lakukan lebih-lebih berhijrah kepada perkara yang baik memandang pada soal ilmu. Dengan berilmu sahaja kita boleh memimpin diri untuk berhijrah. Mengapa saya katakan begitu? Kita biasa dengan perkataan yang mahsyur ini "When you stop learning, you stop leading". Ya. Apabila kita berhenti belajar, maka bermaksud kita berhenti untuk memimpin. Paling tidak kita memimpin diri sendiri. Ya, konklusinya kita semua adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin itu adalah mereka yang terus-terusan belajar. Berhenti belajar, bermaksud berhenti untuk memimpin dan membimbing. Kita semua tahu bukan andai manusia itu berhenti untuk memimpin diri sendiri?

Berbekalkan buku tulisan penulis kegemaran saya, Ustaz Pahrol Muhammad Juoi, saya jelakan sedikit kisah hijrah itu tentang ciri-ciri mukmin yang mahu berhijrah. Mereka adalah Mukmin Profesional!

Firman Allah yang membawa maksud: Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
(Surah Al-Qasas:26)

Kisah di atas berlaku tatkala anak-anak Nabi Syu'aib terpegun melihat pemuda gagah, yakni, Nabi Musa menolong mengangkat penutup sumber air untuk kambing-kambing peliharaan mereka. Atas pertolongan itu, Nabi Musa ditawarkan kerja kerana akhlak dan kegagahan baginda.

Inilah yang menjadi dasar ke atas ciri-ciri insan yang mahu berhijrah. Mukmin itu ditafsirkan sebagai mereka yang memiliki nilai atau sifat mahmudah (jujur, amanah, berintegriti). Manakala profesional pula dikaitkan dengan kepakaran. Kepakaran dan kecekapan dalam bidang pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan sebagainya, Setiap dari kita mahukan penghijrahan yang sebegini! Kaya Iman, juga Kaya Ketrampilan!

Sebenarnya, mencari mereka yang pakar dalam bidang tertentu juga hebat dalam iman tidak perlu melihat ke arah barat terlebih dahulu. Sebaliknya, lihat sahaja contoh pada Nabi-nabi terdahulu yang punya sifat sebegitu. Lihat sahaja Rasulullah yang menjadi ketua dalam masa Perang Badar. Baginda merancang untuk datang ke medan perang lebih awal supaya mereka boleh menguasai sumber air. Nabi Nuh pula diamanahkan dalam membuat bahtera yang boleh menahan banjir yang besar. Nabi Yusuf pula pakar dalam bidang ekonomi dan pentadbiran. Itu dan banyak lagi contoh yang menunjukkan betapa mukmin profesionalnya para nabi yang perlu kita jadikan contoh ikutan!

Perlu dingatkan selalu khusus untuk diri saya sendiri. Kita boleh membeli buku, tetapi bukan semudah itu untuk membeli ilmu. Ilmu itu perlu mujahadah dalam memperolehnya dan ia akan berguna sekiranya diamalkan dan disampaikan kepada orang yang lain.

Sekali tahun baru itu menjengah, sekali itu kita memikirkan azam yang terbaik yang ingin dicapai. Maka, berusahalah. Jangan biarkan yang ingin itu menjadi dingin.

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails