Snow

5.06.2011

Salam Hari Sabtu

Hari ini hari Sabtu. Berlalunya penghulu segala hari semalam, serasa cepatnya bertemu minggu yang baru. Ibarat air di daun mulai kering tatkala sinar mentari pagi gah menunjukkan kelebihan diri. Esok pagi, basah lagi kerana embun yang membasahi. Atau tidak sempat menemui hari yang baru kerana gugurnya daun walaupun itu bukan kehendak diri.  
Begitu juga manusia. Yang muda menjadi tua. Yang bujang menjadi pasangan bahagia, yang berdua menjadi seramainya. Yang sihat menjadi sakit dan yang kaya sekelip mata menjadi miskin. Walau kita tidak menyukai setiap yang berlaku, tetapi realiti hidup memang begitu. Allah berbicara menerusi kalam-Nya yang bermaksud: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Ingatlah, Allah jua yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah 2: 216)
Waktu semakin pantas berlalu. Meninggalkan manusia yang tidak endah soal mengisinya dengan perkara yang memberi manfaat pada diri dan orang lain. Pantaskah kita bertindak menghentikan waktu andai kita hanya hamba? Justeru, mahu mengubah sesuatu yang kita tidak berhak, maka lebih baik pasrah pada yang hak.
Kita mampu mengubah diri kita sendiri. Maka mengubah diri yang mempunyai matlamat hidup adalah lebih baik daripada mengubah masa daripada meninggalkan kita.  Mencari keberkatan masa adalah lebih baik daripada meminta Tuhan mengundurkan masa agar diberi kesempatan memohon keampunan pada-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. "  (Surah al-Asr 103: 2-3)
Maka, apabila tiba hari yang baru, senyumlah semanisnya kerana kita masih bertemu hari yang baru. Walau sakit, walau ada duka, walau ada hambarnya, yakinlah itu ujian untuk meninggikan tahap iman kita. Salam penuh ceria pada hari Sabtu! ^_________^

1 comment:

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails