Snow

5.20.2011

Sabar itu Indah

Benarlah kata orang, sekadar memberi nasihat dengan mengalami sendiri sesuatu keperitan tidak sama. Jauh sekali perbezaannya. Menyebut bersabarlah dengan menangani sendiri hidup dengan kesabaran, dua perkara yang jauh. Bukanlah bermaksud ungkapan sabar itu tidak harus dilontarkan atau diguna pakai tatkala resah, marah dan gelisah menguasai diri. Kerana itulah perkataan yang seharusnya diguna untuk ditenteramkan dan menenteramkan. Allah juga berpesan dengan kalimah itu dalam kalam-Nya, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Hati manusia, secara fitrahnya mahukan sesuatu yang memberi kedamaian di jiwa. Apabila berlaku sesuatu yang mengganggu jiwa, hati menjadi kacau dan mahu segera keluar dari segala permasalahan. Contohnya, situasi dituduh melulu dan ditindas tanpa usul periksa sememangnya mengganggu gugat perasaan positif dari dalam diri. Secara tidak langsung, aura negatif pula yang datang, lantas lahirlah perasaan buruk sangka atau kata lainnya tidak suka dengan insan yang melakukan perkara tersebut kepadanya.

Seorang manusia mengingatkan tentang sabar lagi. Saya lihat dia seorang perempuan “berkasut merah”. Berkasut merah itu tandanya penuh wawasan dan keyakinan dalam jiwanya. Penuh sikap berbaik sangka menerusi tingkah lakunya. Dalam keadaan diri yang tidak betah menerima itu sebagai nasihat yang mendamaikan, kata-kata insan itu mulanya membingitkan telinga tetapi setelah duduk dan berwuduk, mengingatkan semula perihal isi nasihat itu, terasa seakan bernyawa semula. Bernyawa dengan motivasi yang baru. Dan kemudian motivasi itu mengecas seluruh jiwa raga.

Katanya: “Tidak suka orang adalah perkara normal. Semua orang akan merasainya. Apa boleh buat. Kita bukan sempurna untuk suka semua orang, tetapi jangan diikut sangat rasa itu sebab ada yang lebih kejam untuk kita fikir berbanding berfikir orang yang kita tidak suka itu. Kekejaman itu apa lagi kalau tidak berpunca daripada syaitan. Mesti kuat lawan dan jangan fikir tentang orang yang kamu tidak suka itu. Adalah lebih baik kamu buang masa dengan benda yang kamu suka.”

Sekalipun kata sabar itu tidak tertulis secara nyata, tetapi ia jelas meminta kita bersabar. Bolehkah kuat melawan syaitan dan nafsu itu dilakukan tanpa berbekalkan kesabaran? Ternyata tidak!

Lalu,sedikit rasa itu saya nukilkan di sini. Sebagai santapan mata dan jiwa supaya lebih reda menghadapi ketentuan Dia. Siapakah kita untuk diberi penghormatan setiap masa? Langsung tidak salah andai sehari kita berada di roda yang bawah lantaran hidup itu memang seperti roda. Lalu, saya memohon ampun kepada Allah sekali lagi kerana gagal berfikir sebagai seorang hamba. Itulah manusia. Astagfirullahal ‘azim.



3 comments:

  1. Orang yang bijak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan hidup sepertimana air mengikut bentuk balang air :-)

    ReplyDelete
  2. Sabar itu ganjarannya syurga. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di syurga. Sesungguhnya sabar itu indah.

    ReplyDelete
  3. ganjaran sabar itu tidak terduga..moga kesabaran hari ini pulangan yang indah untuk hari esok

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails