Snow

5.15.2012

Resume Akhirat dan Temu Duga Munkar Nakir


Saban tahun, Malaysia mengeluarkan jumlah graduan pelbagai bidang daripada institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara. Kelompok ibu bapa yang sedar akan kepentingan ilmu kepada anak-anak semakin meningkat apatah lagi sejak kecil pasangan ibu bapa selalu memberikan semangat dan galakan supaya anak-anak mereka berjaya sebagai seorang doktor, jurutera, akauntan ataupun apa jua karier yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.
Lambakan jumlah graduan saban tahun di Malaysia menyebabkan bakal graduan yang berada pada tahun akhir di universiti cemas memikirkan peluang kerjaya mereka. Entahkan terus bekerja atau terpaksa menganggur dalam tempoh yang lama. Entahkan di institusi kerajaan mahupun swasta mereka berjaya ditempatkan.

Persediaan Rapi
            Resume merupakan perkara penting yang perlu dibawa ketika menghadiri sesi temu duga. Di situlah letaknya maklumat yang menerangkan tentang diri. Pihak syarikat menilai kebolehan dan potensi serta perkara apa yang boleh calon tersebut berikan kepada syarikat sekiranya dia diterima bekerja. Mencari pekerja bukan sekadar memenuhi jawatan kosong yang tersedia, tetapi juga mencari kelebihan daripada calon yang syarikat tidak punyai; dengan harapan, melalui kelebihan tersebut, syarikat mampu menambah baik pada sesuatu bidang dan jabatan khususnya dan keseluruhan syarikat amnya.
            Kerana itu, calon-calon temu duga akan terus bersaing bagi membuktikan kebolehan diri dan bakat yang mereka ada. Atas sebab itu, persediaan yang rapi adalah terlebih perlu. Mahu dipanggil temu duga pun bukan senang, apatah lagi mahu diterima bekerja. Segala-galanya memerlukan usaha sejak daripada mula.
           
Resume Akhirat dan Temu duga Munkar Nakir
            Sedarkah kita kehidupan di dunia juga merupakan persiapan dan persediaan untuk ditemu duga? Sama ada kita berjaya atau gagal ditentukan melalui “resume” yang bakal kita berikan di alam kubur kelak. Panel temu duga Munkar dan Nakir juga menyoal tanpa belas. Ketika itu segala-galanya bergantung pada “resume” amalan yang sudah direkodkan segala pencapaian kita sepanjang di dunia.
Walaupun hakikatnya segala soalan Munkar dan Nakir merupakan soalan bocor; siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan sebagainya, tetapi bukan hafalan pada jawapan yang menjadi sebab kita berjaya. Sebaliknya bergantung pada amalan yang dilakukan di dunia. Adakah sudah cukup segala persiapan kita untuk ditemu duga di alam sana?

Jabatan Syurga ataupun Jabatan Neraka
            Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Muka (orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana berasa hina. Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah. Mereka tetap menderita dengan neraka yang amat panas (membakar). Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain daripada pokok-pokok yang berduri, yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. (Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia). (Surah al-Ghasyiah 88: 2-9)
            Keadaan di syurga dan neraka jauh berbeza. Allah mencipta dunia sebagai tempat untuk menguji hamba-Nya. Baik miskin ataupun yang kaya, yang tua mahupun yang masih muda. Hanya dengan ujian itu, manusia akan “menulis” pencapaian mereka di atas “resume”. Daripada pencapaian itu juga, malaikat Munkar dan Nakir akan menetapkan di mana pula pengakhirannya. jabatan syurga ataupun neraka.    

Berusaha daripada Mula
Mati, sesuatu yang pasti dan temu duga itu semua manusia akan tempuhi. Jadi, persoalannya bukan bagaimana mahu lari daripada ditemu duga tetapi bagaimana menambah baik persediaan untuk bertemu dengan penemu duga.
Berjaya diterima bekerja di sesebuah syarikat setelah berjaya pada sesi temu duga merupakan hadiah terbaik untuk diri sendiri. Seolah-olah pelaburan yang dibuat semasa pembelajaran di universiti telah mendapat untungnya. Kegembiraan lebih dirasai apabila menerima gaji pertama. Dengan duit itu, kita mampu memberikan hadiah kepada ibu bapa terutamanya. Andai di dunia begitu gembira, di akhirat pembalasannya tidak terbayang dek mata.
Hidup merupakan perjuangan. Untuk mendapat kejayaan memerlukan pengorbanan. Begitulah bukti keadilan Tuhan. Siapa berusaha dia pasti berjaya. Siapa mujahadah dia yang mendapat kepuasannya. Jadi pilihlah untuk membuat persediaan pada awal waktu kerana yang pasti kita semua tidak akan terlepas daripada menjadi calon temu duga itu! Moga kita berjaya dunia dan akhirat. Amin. 

2 comments:

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails