Snow

12.02.2009

Kehidupan Yang Lebih Bermanfaat


Detik-detik masa yang berjalan pantas kadang-kadang membuatkan saya berfikir tentang sumbangan. Bermanfaatkah kehidupan saya yang selama 23 tahun dan 6 bulan ini. Hadith nabi S.A.W ada menyebut, manusia yang baik di antara kamu adalah yang bermanfaat pada orang lain. Peluang untuk belajar,bekerja dan bersama-sama dengan masyarakat malah ruangan seluas ini untuk menulis sesuatu juga sebenarnya saluran untuk kita memberi manfaat pada orang lain.

Perihal Minda

Saya ada terbaca satu madah golongan korporat “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Maksudnya, mereka yang berminda kecil bercakap tentang manusia, yang berminda sederhana bercakap mengenai isu dan bagi yang berjiwa besar bercakap tentang idea. Benarkah begitu? Mungkin ada kebenarannya..

Mengenal golongan yang berminda kecil ini cukup mudah. Kehidupan mereka tidak ubah seperti robotic. Bangun tidur, masuk kerja jam 8 pagi, rehat pada tengahari, bersiap-siap untuk balik ke rumah apabila jam hendak sampai ke pukul 5 petang. Balik sahaja ke rumah, sudah pasti perut dan badannya dijaga rapi. Bersantai di ruang televisyen kemudian menunggu ‘panggilan’ dari bilik tidur. Mata akan direhatkan secukupnya untuk memulakan kehidupan hari esok yang tiada beza pun dari kehidupan hari sebelumnya. Tabiat mereka tidak berubah kalau berubah pun, waktu bercuti Sabtu dan Ahad sahaja. Dengan rehat yang lebih lama! Pertuturan mereka hanya yang basi-basi sahaja. Isu yang lapuk dan sembangan orang kebanyakan.

Bagi yang berjiwa sederhana mereka seringkali duduk dalam kumpulan.Berbincang mengenai isu-isu terkini. Politik tanah air dan luar negara, bencana alam di luar negara khususnya, peperangan yang entah bila hentinya. Penghayatan mereka lebih dari orang yang merasa. Rasa prihatin, simpati, kurang senang dan lain-lain menyinggah di setiap ruang di hati mereka. Hidup mereka dalam berkelompok yang sering berkongsi maklumat, dan dalam masa yang sama memotivasi diri sendiri. Kalau salah seorang di dalam kumpulan itu memulakan bicara, yang lain-lain punya rasa untuk mengetahui dan mencari lebih info. Makna di sini, pengetahuan yang ‘berjangkit’.Dan di sini ada positifnya. Malangnya golongan ini hanya pandai berbicara tetapi lebih suka goyang kaki daripada yang bertindak.

Sikap golongan yang berminda besar pula, sentiasa bercakap dengan mengeluarkan idea. Golongan ini ada, tetapi tidak ramai. Ramai yang boleh bercakap tentang masalah remaja yang terjebak dengan isu social, tetapi berapa ramai yang boleh bercakap tentang bagaimana untuk mengatasi masalah social itu. Ramai yang boleh bercakap tentang masalah perkauman. Tetapi berapa ramai boleh memberi idea berkesan untuk menyatukan manusia yang berbilang kaum ini.

Jiwa Besar Dan Minda Besar

Siapa sebenarnya yang berminda besar ini? Maka jawapannya adalah mereka yang berjiwa besar untuk memberi manfaat pada orang lain. Hati mereka hidup untuk memberi sumbangan. Semangat mereka membara bila melibatkan hak keadilan dan kebaikan lebih-lebih berkenaan agama. Bagi mereka yang berjiwa besar mereka mencari ruang untuk berubah ke arah yang lebih baik di samping cuba memperbaiki orang lain. Hanya kerana mentality kita yang rigid dan jumud, kita jadi manusia ikut-ikutan dan sterotaip. Jangan kerana malu tidak bertempat atau takut pandangan kita ditolak, lalu kita takut untuk memberi idea. Maka jadilah kita semua manusia yang sentiasa berlumba-lumba memberi idea, mensejahterakan ummah supaya hidup kita bermanfaat pada orang lain. InsyaAllah..





1 comment:

  1. Salam, RALAT!!
    Di perenggan 2 ..."bagi yang berjiwa besar bercakap tentang idea. Benarkah begitu? Mungkin ada kebenarannya.."
    *Sepatutnya perkataan berjiwa besar diganti dengan berminda besar

    Di Perenggan 4,"Bagi yang berjiwa sederhana mereka seringkali duduk dalam kumpulan.Berbincang mengenai isu-isu terkini. Politik tanah air dan luar negara, bencana alam di luar negara khususnya, peperangan yang entah bila hentinya"
    *Perkataan 'berjiwa sederhana' sepatutnya diganti dengan berminda sederhana..
    Harap maklum. Maaf di atas kesilapan penulisan..

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails