Snow

12.04.2009

Solat Semai Budaya Kerja Cemerlang


Elemen dalam ibadat agama contoh terbaik ke arah mempertingkatkan prestasi dan produktiviti organisasi. Jika ditelusuri kewajipan dan amalan dalam agama islam pasti kita akan temui keindahannya. Sebagai contoh, ramai yang membicarakan soal kesihatan yang baik, ketenangkan jiwa dan ibadat 'terapi malam' apabila tibanya bulan Ramadhan. Ini terbukti apabila ada di kalangan yang bukan beragama islam turut berpuasa untuk mengambil sedikit sebanyak manfaat apabila berpuasa. Berbeza dengan puasa, solat adalah tuntutan harian. Sudah pastinya bagi yang melakukan dan menjiwai solatnya akan temui kelebihan yang sangat luar biasa. Dan salah satu daripadanya adalah menyemai budaya kerja cemerlang.

Mengikut perintah
Antara kefardhuan yang kerap diulang di dalam Al-Quran adalah solat. Bahkan Rasulullah juga mengingatkan umatnya supaya tidak meninggalkan solat di saat-saat hujung nyawanya. Mukmin yang berjaya adalah yang khusu' dalam solat. Dan celaan terhadap mereka yang meninggalkannya. Menunaikan perintah Allah seperti solat ini melahirkan hamba yang taat sekaligus melahirkan pekerja yang mengikut arahan ketua di tempat kerja selagimana tidak disuruh berbuat maksiat.

Menurut garis panduan
Ada hadis Nabi yang bermaksud solatlah kamu sebagaimana kamu lihat Baginda melakukannya. Mukmin yang mengambil berat mengenai solat sedaya upaya mencapai martabat itu dan bukan solat seperti melepaskan batok di tangga. Mengikut panduan yang ditetapkan, budaya kerja yang baik akan melahirkan hasil kerja yang sistematik dan memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh organisasi.

Menanam azam dan objektif
Salah satu syarat sah solat adalah niat. Pentingnya mengqasadkan niat pada awal solat menunjukkan setiap kerja perlu bermula dengan apakah yang ingin dilakukan sebenarnya. Niat bekerja dengan baik sebenarnya untuk mencari keredhaan Allah.

Menghormati ketua dan pekerja lain
Apabila kita solat berjemaah, makmum tidak boleh melebihkan suaranya sehingga menganggu makmum di sebelah apatah lagi suaranya kedengaran sampai kepada imam. Budaya memperlahankan bacaan dengan niat tidak mengganggu makmum yang lain amat sesuai diterapkan dalam kehidupan bekerja dalam satu pejabat yang saling hormat menghormati dan menjaga hak pekerja lain.

Kerja berpasukan
Allah merahmati mereka yang melakukan kerja secara berjemaah. Bahkan mereka yang solat berjemaah mendapat pahala 27 darjat berbanding mereka yang solat bersendirian. Kecemerlangan kerja berpasukan adalah moto yang sering diwar-warkan dan sukar dinafikan

Tepati masa
Indahnya Islam mengajar kita solat mengikut waktunya. Sentiasa peka dengan masuk waktu dan habis waktu kerana walau lewat seminit kita solat dari masanya yang sebenar,solat tetap dikira tidak sah. Ini mengajar kita masa adalah perlu diurus dengan bijak. Hari ini pasti berbeza dengan hari esok. Mukmin yang berdisiplin pasti tiada masalah dengan pengurusan waktu di pejabat.

Memberi pandangan
Apabila imam terlupa bacaan atau perbuatan dalam solat, menjadi tanggungjawab makmum memberi teguran seperti zikir (subhanallah) supaya kesilapan dapat dibetulkan . Konsep ini seperti memberi pandangan dalam organisasi. Pendekatan berdiam diri dan menyimpan maklumat untuk diri sendiri di saat organisasi memerlukan sumbangan idea bukan ajaran dituntut islam.

Memangku tugas
Menjadi kebiasaan pada organisasi jika ketuanya tidak dapat melakukan tugas kerana sesuatu hal, maka tugas dia akan dipangku oleh orang kepercayaan jabatan tersebut. Sama juga halnya dalam solat, sekiranya imam perlu keluar, makmum di belakang perlu memangku tugas imam. Makmum akan kucar kacir tanpa imam. Begitu juga dalam kehidupan kerja tanpa ketua.

Mengganti masa
Dalam kes makmum masbuk, wajib melengkapkan solat dengan cara mengganti rakaat yang tertingggal. Ketika bekerja, ada masa kita masuk lewat (punch card merah) atau keluar awal. Seeloknya diganti masa yang ditinggal. Mungkin ia tidak ditulis dalam rekod. Tetapi ia pasti ditulis oleh Malaikat Rakib dan 'Atid. Jika ini yang diterapkan, kerja pejabat dapat disiapkan dalam waktunya dan tidak perlu pada kerja lebih masa yang keterlaluan.

Mengambil inisiatif
Kita diajar untuk memperelokkan solat dengan cara melakukan sunat ab'ad dan hai'ah. Selain itu aspek kebersihan, ketenangan di tempat solat, dan keselamatan perlu juga diambil kira. Hal ini penting bagi menghasilkan mutu solat yang baik. Begitu juga dengan kerja seharian, boleh disiapkan pada masa ditetapkan dan 'asal siap'. Tetapi bukan ini yang diajar dalam islam. Mukmin profesional perlu mengambil insiatif melakukan tugasan sebaik mungkin untuk memaksimumkan hasil kerja.

Indahnya Islam pada segenap gerak laku dan patah bicara. Inilah agama yang bersifat menyeluruh, mencakupi segenap keperluan dan kehendak manusia. Wallahu'alam.

Ustaz Haji ShahRizan Bin Haji Ibrahim,
Kuliah mingguan Pejabat Pembangunan Negeri.

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails