Snow

2.06.2010

Gelora Iman Di Kala Usia Muda


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah di bawah teduhan RahmatNya pada hari (Kiamat) yang tiada sebarang lindungan melainkan lindungan RahmatNya adalah pemimpin yang adil, pemuda yang menggunakan masa remajanya beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah (mereka bertemu dan berpisah kerana Allah), lelaki yang digodai wanita bangsawan yang jelita kemudian dia berkata ‘sesungguhnya aku takutkan Allah’ , seseorang yang memberi sedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah S.W.T berseorangan sehingga berlinangan air matanya” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan selain daripada keduanya)

Menurut hadith ini, Allah telah mengurniakan sebaik-baik pertolongan kepada golongan terpilih yang mana pada masa yang ditawarkan itu, tidak ada lain yang boleh memberi pertolongan dan rahmat kepada manusia melainkan Allah jua.

Salah satu golongan yang dipilih oleh Allah adalah pemuda yang menggunakan masa remajanya untuk memperbesarkan dan beribadah hanya kepada Allah. Dalam keadaan manusia kini khususnya remaja yang semakin mengabaikan tarbiyah, masih ada yang yang diberi peluang menarik nafas dalam suasana menggalakkan untuk mendapat tarbiyah lantas faham dan menghayati akan makna beribadah hanya kepada Allah..

Mari kita soroti kisah golongan terdahulu, para sahabat nabi dan golongan selepasnya yang menjadi penyambung agama Allah. Dalam satu kisah dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Saad Bin Abi Waqqas r.a. katanya: “Rasulullah S.A.W mengembalikan adikku ‘Umair Bin Abi Waqqas kepadaku dari medan peperangan Badar kerana dia masih kecil”. Lalu Umair menangis memohon supaya dia boleh turut serta bersama-sama tentera islam yang lain. Lalu Rasulullah pun mengizinkan. (Kata Saad), “maka aku pun mengikatkan sarung pedang kepada tubuhnya. Dia telah menyertai peperangan Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku” dan akhirnya ‘Umair terpilih sebagai syuhada di medan peperangan Badar.. dan ketika itu umurnya baru sahaja 16 tahun!!



Hayati pula kisah Sultan Muhamad Al-Fateh yang menjadi Sultan Kota Konstantinopel seawal usia 19 tahun. Beliau cekap memanah, menunggang kuda, mahir menggunakan 7 bahasa dalam bertutur, serta mempunyai persiapan-persiapan ilmu peperangan yang lain. Dan masih segar dalam ingatan kita barangkali kisah di malam hijrah tatkala Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah dan pada itu umurnya antara 9-12 tahun!!! Kehebatan aliran iman yang mengalir dalam jiwa anak muda remaja dahulu boleh menyebabkan orang dewasa zaman kita tertunduk malu.

Ketahuilah bahawa kita diciptakan dengan suatu tugas yang amat penting dan waktu adalah "modal" untuk kita mengembangkan "perniagaan" untuk mengaut keuntungan di akhirat kelak. Rebutlah masa muda sebelum masa tua. Masa bujang sebelum berkahwin, masa mempunyai seorang anak sebelum sampai masa kita mengembangkan lagi zuriat. InsyaAllah.. Dan mungkin masih segar lagi dalam hati-hati kita…

“ Tanggungjawab yang kita pikul melebihi dari masa yang kita ada”

Diedit semula dari tulisan Ust Mohd Gunawan Che Abd Aziz

Kolumnis Majalah Solusi terbitan Telaga Biru

Dalam ruangan Fadhail ‘Amal (Kelebihan Beramal)

Majalah Solusi bulan Jan 2010


No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails