Snow

7.16.2010

Mereka Sudah Kita Bila Pula



"Salah seorang sahabat kita telah mengalami kebakaran rumahnya di Kelantan. minta sahabat-sahabat dapat memberi sedikit sumbangan dan kata-kata semangat untuk beliau"..mesej yang saya terima saya sudahi dengan bisikan kata kasihannya dia...

Tidak lama selepas perkara itu, maklumat baru pula yang saya terima berkenaan seorang sahabat seperjuangan dijemput Ilahi. Luluh hati mendengar walau tidak pernah bersua muka, walau nama itu pertama kali didengar saya. tapi disebabkan kita bersaudara dalam agama, saya bersimpati atas kehilangan jasadnya di bumi ini. Tersentak dan menangisi kehilangan mereka yang menyumbang untuk agama. Bukan tidak redha tapi jiwa hamba yang perlu untuk bersedih itu meronta untuk ditunaikan haknya.

Kehidupan tidak selalunya indah.Ada surut dan pasangnya. Sama seperti air di lautan. Bila sampai masa air pasang, ombak bergulung menerkam tanah berpasir datang bersama ribuan buih di lautan dan sampai masa air surut, maka berlarianlah sang pengail ikan menggali pasir di tepi pantai mencari umpan buat ikan. Hilanglah kegagahan sang ombak dalam menakluki lautan. Manusia berpangkat, kaya harta, cantik rupa atau bijak akalnya tidak mampu menghalang kerja tuhan.

Lihat pada uniknya ciptaan Tuhan pada jari manusia. Setiap satu berbeza. Lebar dan panjang, kegunaan dan kelebihan. Begitu juga kehidupan dan takdir. Tidak selalu untuk kita berada di jalan atau zon yang selesa. Kehidupan pasti berbeza.Kadang-kadang perlu berduka, bersedih untuk mengenal erti kehidupan. Falsafah 5 jari memungkinkan kita menilai kehidupan dari sudut hamba kepada yang Maha Hebat. Tiada manusia sempurna. Kita sekadar melakonkan watak dalam slot dan plot sebuah kisah kehidupan. Apa yang pasti kita semua 'dipandu' sekiranya ingin 'dipandu'. Ya Al-Quran dan As-Sunnah sudah ditinggalkan Rasulullah S.A.W. Ulama juga sudah ada buat jadi pewaris nabi. Bukan silapnya orang lain kalau hati masih tuli dari menerima peringatan Ilahi.

Buat mereka yang menjadi insan terpilih, maka syukurilah atas segala nikmatmu sebelum sampai masa diuji. Hitunglah banyak mana kesyukuranmu bersama mereka sebelum mereka diambil kembali. Perbaikilah amalan dan betulkan niat kerja buat kita. Moga ia diterima Allah sebelum nyawa ditarik kembali. Hati ini umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap seseorang. Jadi sekiranya hati manusia gelap maka pudar dan samar jugalah pada kelakuan manusia tersebut. Mudahnya, hati boleh jadi gelap, terang ataupun samar. Tetapi gelap, terang dan samarnya bulan bukan kerana cahaya bulan tersebut tetapi kerana cahaya matahari. Begitu juga hati yang gelap, samar atau terangnya bukan kerana hati kita sendiri tetapi kerana apa yang kita niatkan. Jadi berhati-hatilah dengan apa yang diniatkan..moga Allah terima segala amal kita dan mereka di sana yang mendahului kita.Al-Fatihah..


No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails