Snow

8.10.2010

Dan Engkau Hadir Jua


Malam itu bukan malam yang biasa. Ada riuh di luar sana. Sepertinya banyak perkara yang dibual bicarakan. Mereka yang muda berkumpul di hadapan kotak televisyen. Menanti dengan penuh minat siaran dari kotak yang bercahaya itu . Kelihatan di sebuah bilik seorang muslimat lengkap dengan telekung putih bersihnya, menekuni setiap bait bacaan Al-Quran. Sesekali bacaannya terhenti menandakan tempat waqaf. Nafas ditarik kembali bagi meneruskan ayat seterusnya. Tenang dan damainya dirasa.

12 tahun yang lalu begitu keadaannya dan saya bersama mereka yang berada di hadapan kotak televisyen. Mendengar dengan penuh teliti pengumuman yang akan disampaikan. Selepas tarikh diumumkan suasana bising. Gamat suara kami. Entah suka entah kecewa. Ah! Budak yang masih belum mengerti. Sejurus, ayah bingkas memanggil semua anak-anaknya. Emak yang tekun membaca Al-Quran tadi sudah lama berhenti. "Semua ke masjid!" Keras suara ayah, membuatkan kami bingkas ke kereta.

Itu perkara berbelas tahun dahulu. Dia hadir di saat diri kurang pengertian tentangNya. Terumbang ambing dibawa ombak kejahilan. Lalu tersadai di tengah lautan yang penuh ujian. Dan hari ini Dia masih lagi sudi menjengah hidup. Lambaiannya kian hampir. Syukur padaMU Tuhan.. mengurniakan Dia yang masih sama cuma kuharap natijahnya berbeza!

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Moga hadirnya Dia tahun ini memberi banyak perubahan yang positif dan keranaNya. Biarkan yang lalu sebagai pengalaman berharga. Tiada dahulu tiadalah proses pembelajaran kerana ia tiada mula. Sambutlah salam ramadhan dengan penuh syukur dan tawadhuk. Syukur kerana terpilih bersama, tawadhuk kerana ibadah yang dilakukan hanya untuk mendapat redha Allah. InsyaAllah.

Ramadhan Kareem!







2 comments:

  1. Subhanallah!

    Semakin mantap penulisanmu adikku. teruskan!

    كل عام وانتم بخير

    ReplyDelete
  2. Tidaklah sebagus akak. Saya masih merangkak barangkali. Terima kasih sudi bertandang akak :)

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails