Snow

3.20.2011

Kisah Di Sebalik Temuduga

Assalamualaikum, hari ini saya suka bercerita kisah temuduga. 2 hari yang lepas, selepas menerima berita saya akan ditemuduga, maka saya terlonjak girang. Hati dan jasad. Gembira kerana saya ada peluang untuk bekerja luar dari rumah dan mempunyai gaji yang tetap. Setiap bulan masuk dan paling penting saya suka karier itu. Saya sedang bergembira dengan kerja yang sekarang cuma keadaan mendesak supaya mencari sumber kewangan lebih dari sedia ada atas beberapa tuntutan. Tidak perlulah saya hurai lebih panjang tuntutan apakah itu. T_______T



Baiklah, laman Telaga Biru sudah lebih 5 kali saya kunjung hari ini. Saya ambil semua konten yang agak penting. Saya perlu hafal dan faham kerana kemungkinannya besar untuk ditanya. Tidak mahulah jika ditanya siapa pengasas Telaga Biru, maka saya tersengih-sengih dan menjawab "Maafkan saya, saya kurang pasti pula". Oh...itu jawapan yang sadis!

Baju, ya! Saya sedang fikir baju apa yang sesuai.  Eh, sebenarnya warna apa yang paling berpengaruh. Sudah pasti saya memilih baju kurung dengan warna yang tidak terlalu cerah dan kelam. Yang pasti saya cuba tampil dengan sederhana dan tampak mesra. Saya teringat. Ada seorang berpesan kepada saya semasa temuduga perkara yang paling penting adalah niat. Kerana apa kita mahu bekerja? Bila sudah diniatkan kerana Tuhan dan mahu memberi manfaat pada ummah, sudah pasti kita terdorong dengan nilai positif yang sudah diaktifkan. Sebagai contoh, saya ingin mendapat jawatan sebagai editor kerana mahu membantu masyarakat faham apa yang ditulis oleh penulis. Saya memudahkan urusan mereka (pembaca) untuk belajar agama. Dan bila mana saya berniat kerana Allah juga, saya sudah pasti berharap Allah sahaja yang dapat membantu saya semasa saya ditemuduga dan semasa saya bekerja (sekiranya dapat). Ya, saya sudah jelas sekarang bila saya menulis semuanya.


Baru-baru ini, saya bertanya dengan seorang penulis merangkap editor kesayangan saya. Tuan Bahruddin Bekri. Saya maksudkan sayang (baca;bukan kepada penulis tetapi kerana penulisan) kerana ayatnya  menyentuh soal kehidupan yang dingin dan sederhana. Saya doakan supaya beliau menjadi penulis yang disayang Tuhan dan saya dapat mengikut jejak langkahnya.. Amin. Baiklah, saya terus kepada soalan saya kepada Tuan Bahruddin. Saya bertanya soal bidang pekerjaan yang tidak sama dengan bidang pengajian. Jadi ini, jawapan beliau yang saya ambil dari mesej Facebook;

"Waalaikumussalam.

Saya diberikan pesan, insya-Allah kita akan berjaya dengan cemerlang sekiranya bekerja dalam bidang yang kita minati.

Itu yang saya usahakan sekarang bagi berjaya dengan cemerlang dan perjalanan masih jauh. Atas sebab itu jugalah saya tidak ralat bagi bekerja di luar bidang pengajian.

Tidak ada masalah sekiranya cikpuan mahu bekerja di luar bidang cikpuan. Masalah yang wujud mungkin hanya daripada perpeksi negatif keluarga dan rakan-rakan. Perpeksi negatif itu akan berubah apabila kita sudah berjaya dalam kerjaya kita ataupun setidak-tidaknya, kerjaya yang kita minati itu tidak memberi kerugian kepada diri.

Sekiranya kita bekerja dalam bidang pengajian kita, ia adalah bonus besar. Malah digalakkan sebenarnya bagi bekerja dalam bidang pengajian kita dulu sebelum berpindah bidang. Ini bagi meluaskan cara fikir dan pandang kita.

Apapun, saya yakin Cikpuan tahu apa yang terbaik untuk diri dan masa hadapan. Berusaha dan usah hilang sabar dan terlalu cepat kasihan kepada diri sendiri apabila gagal. Kasihan kepada diri sendiri apabila gagal adalah perkara yang melemahkan kita dalam diam.

Selamat berjaya."

Yang Benar,
Tuan BB

Saya rasa bersemangat walaupun hakikat 'dup dap dup dap' di dada semakin galak. Saya mahu terus ingat dan simpan ini sebagai semangat. Andai saya lupa, tolong ingatkan saya tentang mesej ini. Terima kasih. Saya mengira sudah lebih 8 kali saya ditemuduga. Rupanya banyaknya bilangan temuduga tidak menjamin kita tidak mendapat penyakit berdebar itu. Entahlah...

 Baiklah, banyak lagi yang perlu saya pastikan sempurna sebelum hari yang bakal muncul esok. Bercakap di hadapan cermin, semak semula sijil-sijil di fail, seterika baju. Oh ya, telefon juga perlu di topup dan baterinya perlu dicas sampai penuh lebih-lebih lagi kedudukan pusat temuduga tersebut tidak pernah saya jejak sebelum ini.

Kepada kawan-kawan yang membaca entri ini, setiap doa kalian amat diharapkan. Setiap sokongan dan nasihat amat dialu-alukan. Okey, saya harus keluar dahulu. Tidak sabar menanti hari-hari mendatang dengan senyum ^_________^

Assalamualaikum.



6 comments:

  1. kter pon x sbr nk keje...huhuhu..tp awal2 ag, ad halangan..hope lepas gred nie..nk keje, nk amek lesen, nk bayar pt, nk buat simpanan sndri..

    ReplyDelete
  2. Oh. Bagus-bagus. Sudah ada perancangan duit itu mahu ke mana. Teruskan langkahmu, akak doakan yang terbaik ya :D

    ReplyDelete
  3. salam...
    insya Allah versi melayu...try dengar ye...
    kerja itu pasti perjuangan itu perlu...
    YA...

    ReplyDelete
  4. InsyaAllah... Terima kasih. Tapi tidak boleh dengar. Hanya boleh baca.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum sis...boleh tak sy nak dptkan nasihat sis tentang editor? kalau boleh scara personal

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung

Related Posts with Thumbnails