Snow

3.21.2011

Lagi-Lagi Temuduga

Assalamualaikum dan selamat bertamu kawan-kawan. 

Baik, saya masih dalam mood temuduga. Maka di sinilah saya mahu bercerita semahu-mahunya!

Usai bersiap dengan pakaian bewarna coklat yang patuh syariah, saya bergegas ke stesyen komuter Seremban. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam saya lalui dengan hati yang tidak menentu tetapi dipaksa bertenang. Ditemani dengan butir-butir selawat, banyak membantu. Hampir jam 10.45 pagi saya sampai di destinasi dan mula memikirkan cara ke tempat temuduga. Kepala dipusing kiri dan kanan, mata juga melilau mencari sebuah teksi malangnya langsung tidak kelihatan.



Di stesyen Kepong Sentral, keadaan agak lengang. Waktu sebegitu bukan waktu pekerja berpusu-pusu mahu pulang dari bekerja atau mahu ke kedai makan untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong. Saya berjumpa dengan seorang perempuan. Saya bertanya di mana mahu dapatkan teksi. Jadi, dia jawab begini, " Akak mahu ke sana? Mari naik dengan saya. Naik prebet sapu. Naik teksi dia tipu kaw kaw punya!

Saya kerling jam. Kurang 5 minit lagi jam 11.00 pagi. Waktu yang harus saya berada di Telaga Biru. Saya tersenyum lalu berkata. "Baik, okey juga". Entah apa kuasa saya boleh berkata begitu walaupun prebet sapu itu entahkan dalam perjalanan atau sedang sibuk menjemput mereka yang mahu berjimat ataupun mereka yang tidak mahu ditipu kaw kaw oleh pemandu teksi. Semasa menunggu, kami mendengar khabar pemandu kereta yang kami tunggu ditimpa kemalangan dalam perjalanan menjemput kami. Allahu Akbar. Hati bertambah galau.

Menanti lagi 10 minit, mujur ada juga pemandu prebet sapu yang boleh mengambil kami. Terlewat beberapa minit di destinasi. Mujur saya tidak ditanya soalan "Mengapa terlewat?" Saya isi borang dan terus dibawa ke bilik temuduga. Terus terang, Telaga Biru cukup cantik dan suasananya menenangkan. Kini, saya berhadapan dengan 3 orang manusia. Wajah mereka nampak budiman, berwajah akademik dalam bidang pengajian islam. Saya tertunduk malu. Baik, saya sudah bersedia. Di hadapan saya kini Ustaz Mohd Wahid, Encik Azam dan Cik Husna yang mana mereka semua adalah editor bagi majalah Solusi. Majalah dikenali ramai!



Perkara pertama ditanya mengapa memilih jawatan editor majalah agama sedangkan saya bukan pelajar bidang tersebut. Untuk pengetahuan kalian, calon temuduga yang memohon jawatan ini semuanya berlatar belakangkan bidang pengajian islam. Baik, saya sudah hafal jawapan apa yang akan diberi. Mahu tahu? Ia lebih kurang sama seperti apa yang dinasihatkan Tuan Bahruddin Bekri (rujuk surat misteri beliau dalam entri sebelum ini) dan saya tambah mahu berada dalam biah solehah. Saya juga diminta membaca ayat Al-Quran yang dihafal dan hadis yang saya masih ingat. Saya cuba menyelam kembali zaman dahulu. Saya meneguk air liur, mengenang kembali kali terakhir saya belajar mendalam subjek Syariah Islamiah dan Al-Quran dan Sunnah. Pelajar sekolah agama harian biasa, kemudian ke universiti dan belajar perkara sekular. Oh...... T______T

Tiba-tiba saya teringat hadis yang saya suka hafal dahulu dan masih ingat sedikit. Ya, ia tentang bersugi. Entah mengapa dalam banyak-banyak hadis, yang itu yang suka dihafal. Mungkin sebab saya suka menggosok gigi! Ya. Itu jawapan yang tepat sekali. Sebab itu saya telah berpesan pada sahabat yang menunaikan umrah supaya membeli kayu sugi dari sana untuk saya. Barulah dinamakan saya bersugi dan mengikut sunnah Nabi. Oh, maaf. Saya agak melalut dan keluar topik. Ustaz Wahid minta saya baca pula hadis tentang niat. Syukur saya masih ingat hasil dari program di universiti di mana kami perlu menghafal hadis pertama Imam Nawawi dalam Hadis 40. Jadi saya baca sekali dengan maksudnya.

Setengah jam di dalam bilik yang nyaman dengan penghawa dingin yang berfungsi dengan baik,saya diberikan pula petikan artikel agama untuk disunting. 10 minit kemudian, saya hantar dan bersiap-siap mahu kembali ke Seremban. Sempat juga saya terserempak dengan Ustaz Haji Zahazan dan Tuan Haji Muhammad Zakaria, orang-orang kuat Telaga Biru. Terasa teruja melihat mereka dari dekat. Mujur tidak bertemu dengan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Entah apa reaksi luar biasa saya bila berjumpa dengan penulis terbaik pilihan itu!

Perjalanan ke stesyen Kepong Sentral semula ditemani dengan pak cik teksi yang ramah. Mulutnya tidak habis bercerita Telaga Biru yang terbaik!!!! Mahu tahu? Antaranya Telaga Biru sentiasa menyarankan pekerja solat Zohor secara berjemaah, solat Dhuha juga ditekankan, makan tengah hari diberi percuma dan pelbagai lagi. Pendek kata saya juga telah jatuh cinta dengan Telaga Biru. Oh....

Baiklah entri kali ini agak terbabas dari objektif sebenar penubuhan blog. Walaubagaimanapun, saya puas mencurahkan perasaan malu, kelakar, dan gembira sepanjang hari saya ke temuduga dan di Telaga Biru. Oh ya, abang prebet sapu yang kemalangan tidak mengalami kecederaan. Cuma tayar vannya bengkok dan sudah dihantar ke bengkel.

Dalam perjalanan saya tersenyum sendiri. Teringat pula penuh hadis yang saya baca tersekat-sekat tadi. Temuduga memang menyebabkan debaran yang melampau lantas menyebabkan kita panik dan lupa apa yang sepatutnya kita ingat. Dalam hati saya berdoa, "Tuhan, berikan aku jawatan itu sekiranya ia baik untuk kehidupan aku yang akan datang" Amin...

8 comments:

  1. allamdulillah..tahniah berjaya dpt jawatan tu ya..mdh2an diberi kebahagiaan n dipermudahkan rezeki..doakan y terbaik utk tini juga

    ReplyDelete
  2. Terima kasih ya Tini. Ia berkat pertolongan dan doa sahabat-sahabat juga. Amin untuk doa itu. InsyaAllah Tini juga akan dapat yang terbaik. Allah itu ada. Rezeki juga ada di mana-mana. Moga terus sukses Tini! :D

    ReplyDelete
  3. Allhu yubarik fik!

    Akak doakan adik cemerlang dalam kehidupan muslimah dan biah yang mendamaikan itu.

    Sentiasa memperbaharui nawaitu ya.

    Tentu banyak kisah hebat yang akan dinantikan selepas ini.

    Ingat, setahun sahaja lagi masa yang akak ingin dengar khabar bahagia itu.

    Walau jauh mana pun, yang utamanya qarib dengan jamaah ya dik.

    Sudi-sudilah mengutus khabar walau telah di persekitaran tenang dan damai itu.

    Fie amanillah.

    ReplyDelete
  4. Akak,

    Terima kasih atas pengorbanan akak selama ini. Peringatan dan pesanan akak sebagai sahabat jamaah.

    InsyaAllah, saya tidak lupa utuskan khabarnya. Mohon doanya supaya saya boleh istiqomah.

    Em, setahun lagi apakah? ;p

    ReplyDelete
  5. La ba`sa. la syukran alal wajieb ya ukht fillah. Tentu ada detik yang sentiasa dikenang! Moga sentiasa diredhaiNya.

    Barakallahu fik. Insya`allah, Allah sentiasa memperkenankan permintaan baik dan indah hamba-hamba yang sentiasa ingat akanNya dan menapaki hidup dengan istilah, diri yang sedar juga sedar diri. Doakan diri ini juga wahai sahabat, Amin Ya Allah.

    Suatu waktu, telah diberitahu olehmu
    dunia ini sementara cuma
    aku,
    mengangguk setuju
    sapaanku satu mengenai 'melengkapkan jalan dakwahmu'
    dan kau membalas indah
    Dengan izinNya, 2 tahun lagi
    fie amanillah, ujarku

    (Masih ingat dialog ini)
    Waktu itu tahun 2010.

    Salam rindu untukmu dik.

    ReplyDelete
  6. Amin ,amin, amin... InsyaAllah...

    Ya, saya juga masih ingat tika itu. Segalanya perlu usaha. Perlu wang dan kerjaya, perlu ilmu bagi menggalas tanggungjawab yang bertambah dan sedia ada.

    InsyaAllah 2 tahun lagi seperti yang diberitahu pada 2010 sedang dalam perancangan dan tindakannya. Tuhan, permudahkan segalanya :)

    ReplyDelete
  7. Tahniah... semoga tsabat dalam perjuangan dan tugas yang diberikan, percayalah... hanya mereka yang Allah pilih sahaja boleh buat kerja-kerja berat di belakang tabir gedung ilmu.

    ReplyDelete
  8. Terima kasih ustaz kerana sudi berkunjung. InsyaAllah. Ini merupakan tugas yang menuntut tumpuan yang bersungguh-sungguh. Mohon doanya.

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails