Snow

3.12.2011

Pesan dan Span

Hari ini, seorang sahabat memberikan pandangannya tentang pesanan. Pesanan itu sepatutnya seperti air yang diserap span. Kerana pesanan itu sifatnya baik. Tambah-tambah lagi bila ia diselitkan aturan dan syariat yang diajar dalam islam. Malangnya tidak semua pesanan itu mendatangkan kesan yang baik pada yang mendengar dan menerima. Adakala ia dianggap sebagai leteran biasa dan kata-kata kosong. Ada juga yang membalas pesanan itu di hati, "Macam bagus sahaja!"


Adakah salah sang pemberi kerana tidak ikhlas dalam menyampaikan pesan atau hati si penerima yang tidak menerima dengan pandangan yang baik? Bukanlah saya menyalahkan pemberi atau penerima. Tidak, tiada siapa yang salah.

Hati yang bersih itu bukan semua yang memiliki. Mari kita cuba sesuatu. Ambil sehelai kertas kosong yang putih bersih dan juga kertas yang berwarna. Minta seorang rakan buatkan satu titik dengan pen dakwat hitam. Kemudian kita cari di mana titik tersebut. Mana lebih mudah? Apabila hati yang bersih itu tertitik dengan noda, ia lebih mudah disedari lantas mudah mahu dipadamkan dengan zikrullah. Bayangkan hati yang sudah sebati dengan dosa dan noda, pasti sukar mahu menerima hakikat sedang atau telah melakukan dosa.


Begitulah perkaitannya dengan pesanan. Pesanan yang baik hanya akan diberi dan menembusi hati yang bersih. Ia dimainkan oleh dua watak. Penerima dan pemberi pesan. Kerana itu janganlah memilih untuk tidak memberi pesan kerana bimbang akan hati yang tidak bersih atau kurang bersih. Atau lebih malang kita memilih untuk menolak segala pesanan kerana masih dengan monolog :Eh, dia macam bagus!"

Selagi ada ruang, memberilah. Selagi ada masa, berkongsilah, selagi ada tenaga, gunakanlah. Medan kita luas, cara kita tentu pelbagai. Mari bersama kita memberi dengan harapan hati kita dan mereka bersih dan menerima seperti span yang menyerap air. Pohonlah supaya hati kita bersih sebelum memberi pesan. Pesan dahulu pada diri, tangan yang memberi dan menulis pesan itu biar menaip atas nama Allah. Biar hati yang ikhlas itu bertemu Allah sebagai saksi kita sudah ada usaha memberi pesan dan peringatan.

Berkata Imam Nawawi, Orang yang memerintah dan melarang tidak semestinya orang yang sempurna. Dia tidak harus melakukan setiap apa yang diperintahkan dan meninggalkan setiap apa yang dilarang. Namun, wajib bagi siapa sahaja untuk menyuruh kepada kebaikan walaupun dia sendiri tidak melakukannya. Wajib juga baginya mencegah keburukan walaupun dia sendiri melakukannya. Oleh itu, seorang wajib melakukan dua hal, iaitu mereka memerintahkan diri sendiri dan orang lain serta mencegah diri sendiri dan orang lain. Apabila salah satunya mereka lalaikan, bagaimana mungkin mereka boleh melalaikan yang lainnya?

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails