
Bijak belajar, luas pengetahuan, berani berhujah secara logik dan mantik serta terkehadapan.. Adakah ini dikatakan pintar?? Saya persoalkan sekali lagi untuk kita sama-sama fikirkan...Benarkah wanita sekarang lebih pintar??
Pintar itu merujuk pada suatu perkara yang berharga dan bernilai. Maka di sini boleh kita kategorikan orang yang pintar itu adalah aset pada sesebuah organisasi atau institusi. Sayang kalau hanya disimpan dan tidak diguna. Beruntung bagi orang yang memiliki mereka. Dalam penciptaan manusia itu, Allah lengkapkan dengan unsur-unsur tertentu. Ia merangkumi roh, qalb, emosi, akal, dan jasad. Mereka yang berjaya membangunkan kompenan-kompenan ini sepanjang hidup mereka, maka dialah yang pintar!
Amar makruf nahi munkar berkait rapat dengan roh seseorang. Roh yang hidup dan 'bangun' sentiasa waspada dengan tuntutan syariatullah. Takut dengan dosa dan seronok beramal ibadah. Amal yang syubhah atau ragu-ragu sedaya upaya akan dihindarkan. Bagi hukum-hukum syarak seperti wajib, haram, sunat,makruh dan harus juga dijaga rapi. Kalaulah dia seorang majikan lagaknya tawaduk, menghormati orang bawahan. Rasuah jijik dipandang apatah lagi melakukan. Seboleh-bolehnya pandangan pekerja bawahan adalah sebab penghormatan bukan kerana ketakutan.
Elemen kedua adalah qalb. Selalu kita dengar bicara orang. Renunglah dengan mata hati tiap peringatan yang kita perolehi. Itulah qalb. Selepas mendengar dan melihat, qalb lebih berpotensi untuk memberikan pilihan yang terbaik, membuat penilaian dengan lebih tepat. Bagi elemen emosi, ia terbina dari nafsu. Manusia bukan seperti malaikat yang bersih dari nafsu. Adanya nafsu membuatkan kehidupan manusia lebih teratur dan sesuai dengan kehidupan manusia di dunia. Kita boleh makan dan kuat beramal ibadat, berkahwin dan punya anak, tidur dan sihat tubuh badan, mengumpul harta dan bersedekah. Walaubagaimanapun, nafsu perlu disalurkan kena pada tempatnya. Pengurusan nafsu bagi seseorang, membolehkan dia terlepas dari bertuhankan nafsu yang keji.
Kompenan seterusnya merupakan akal. Akal menyebabkan manusia boleh bertindak mengurus alam dengan adil. Manusia yang menggunakan akal, akan sentiasa rasional dengan keputusan yang dibuat. Mereka lebih cakna dalam memakmurkan bumi sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah. Seterusnya adalah jasad. Ia membawa maksud tubuh. Tubuh atau jasad yang baik hasil dari makanan yang baik. Setelah jasad telah terbina, maka ia perlu dijaga agar sentiasa dalam keadaan yang baik juga. Ini juga membawa erti jasad perlu nampak baik,sihat,wangi dan cantik. Jadi, personaliti perlu kemas, menutup aurat, tubuh sentiasa bertenaga dan badan ada wangi-wangian untuk mengelakkan bau badan.
Kelima-lima ini adalah elemen untuk menunjukkan kepintaran. Andai dibangunkan kesemua unsur ini, tidak mustahil kita boleh menjadi pintar. Kalau wanita lebih ramai masuk universiti berbanding lelaki atau kalau wanita lebih ramai berkerjaya dan berpangkat tinggi lebih dari lelaki, mungkin boleh dikatakan wanita lebih komitmen dan berdisiplin tinggi. Jadi golongan lelaki, anda seharusnya belajar lagi dari wanita.
Kepintaran pastinya milik semua. Terpulang pada anda untuk menggunakan segala apa yang anda ada untuk membuktikan anda sebenarnya adalah pintar. Tidak kira anda wanita atau lelaki. Terlalu subjektif pintar itu. Lebih-lebih lagi penciptaan manusia itu unik dan penuh seni. Dan ingatlah 'Maha Pintar' itu hanya milik Allah.
Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? (Surah Al-Baqarah:140)
Read more...