Snow

11.11.2009

Selamat Memberi dan Menerima Peringatan


“Usrah alumni di rumah ustaz pada minggu ini insyaAllah ada..”

Maklumat yang diterima tersebut benar-benar melonjakkan hati. Girang benar hati untuk berjumpa dengan insan yang sangat dihormati itu. Didikan dan pesanan ustaz sentiasa segar dalam ingatan walaupun sudah lama tidak bersua. Lantas diatur masa sebaik mungkin untuk bertemu juga dengan ustaz itu.

Begitulah kebanyakan dari sikap dan perangai manusia. Mudah menerima sesuatu nasihat dan teguran dari insan yang dihormati. Asal ada sesuatu yang menarik perhatian tentang seseorang itu seperti baik akhlaknya, tinggi ilmunya dan wara’ lakuya, maka hormat itu mudah terbina.
Apakata kita kaji semula perspektif kita? Mana lebih utama? orang yang memberi nasihat atau nasihat yang diterima untuk memperbaiki diri? Sebagai contoh, bila seorang budak kecil yang belum cukup umur 12 tahun menegur kita kerana terlalu asyik menghadap internet sehingga melewatkan waktu solat tetapi tidak kita endahkan. Kemudian, datang pula si ayah yang merangkap imam masjid. Orang yang kita hormat dan patuh, datang menegur perkara yang sama. Situasi yang sama, perkara yang ditegur juga sama. Solat hukumnya wajib. Melengah-lengahkannya adalah perkara yang Allah tidak suka. Cuma orang yang menegur berbeza keperibadian dan umur.

Sebenarnya, keimanan, rasa takut, ketundukan dan mengikuti redha Allah yang kita miliki akan mewajibkan kita untuk mengambil manfaat setiap teguran, nasihat dan peringatan. Betapa bahayanya orang yang tidak terpengaruh dan tidak mengambil manfaat dari peringatan walau siapa pun yang memberi nasihat dan peringatan. Lebih-lebih yang berhubungkait dengan agama. Sebab, dikhuatirkan hal ini menafikan keimanan. Sungguh kerugian dan malapetaka besar ketika seseorang mengaku beriman, tetapi tidak dianggap beriman kerana tidak mahu mengambil pengajaran dari setiap peringatan.

Janganlah dipandang pada siapa yang menegur, tetapi pandanglah pada apa yang ditegurnya. Begitulah secara ringkasnya. Walaubagaimanapun, setiap umat islam yang dilahirkan di muka bumi berperanan sebagai pendakwah. Tidak perlu menunggu diri betul-betul “baik” untuk menegur dan menasihat sesama kita. Yang penting adalah meyampaikan secara berhikmah. Dalam masa yang sama memperbaiki amal ibadah supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang Allah murka yakni tidak perbuat atas apa yang diperkatakan. Wallahu’alam..

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” [QS51:55].

No comments:

Post a Comment

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails