Snow

3.30.2011

Aduhai, Takutnya...


Semua insan mempunyai rasa takut apabila bertukar atau berubah ke situasi yang baru. Bayangkan seorang anak yang diberi keselesaan tinggal bersama keluarga sebelum menyambung pelajaran ke peringkat menengah dan sekolah yang baru, seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menginjakkan kaki ke alam universiti sebelum berada di sekolah menengah, seorang graduan yang diberi jawatan dalam sesuatu kerjaya yang akan dipikulnya dan pelbagai lagi perubahan situasi, pasti ia mengundang perasaan kurang selesa. Di fikiran mereka terbayangkan guru besar yang garang, pensyarah yang tidak ada rupa belas kasihan atau majikan yang mahu menaikkan target jualan setiap suku tahun.

Saya diberikan pesan oleh seorang sahabat. "Jangan risau. Tenang sahaja. Apa yang penting ikhlaskan niat dan tunaikan amanah sebaik mungkin. Sama ada kita pelajar atau pekerja itu bukan masalahnya. Hakikatnya kita belajar, bekerja untuk Allah jua." Benar sekali. Seluruhnya saya bersetuju dengan pendapat beliau. Perasaan takut semua akan lalui. Bayangkan jika perasaan takut tidak ada, manusia tidak ada disiplin. Manusia tidak menjadi perancang hidup yang baik untuk dirinya. Manusia juga akan buat kerja sambil lewa. 

Manusia diberikan amanah dalam setiap hari dalam hidupnya. Tanggungjawab isteri kepada suaminya, tanggungjawab anak murid kepada anak guruya, tanggungjawab pekerja kepada majikannya. Nah, jika semua ini kita mampu sebaik mungkin dari pengawasan Allah, apalagi yang perlu ditakutkan? Takut pada guru besar, takut pada rakan sekelas, takut pada pensyarah atau takut pada majikan sudah boleh dilunturkan kerana meletakkan takut pada yang selayaknya.

Ingatlah, kita mampu tenang dalam setiap perubahan yang kita hadapi. Jangan gopoh apabila mengharung badai. Jangan cemas ketika menongkah gelombang di lautan. Tempuh ia dengan baik dan sandarkan hanya pada Tuhan, pengawas manusia yang paling baik. Jika Allah itu menjadi pengawasnya, maka adakah makhluk lain yang perlu ditakutkan?

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 40, Wahai Bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

2 comments:

  1. assalamualaikum...
    tak ada "like" macam kat FB pulak (^_^)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Terima kasih atas hasrat untuk "like" itu. Sangat menghargai (^_^)v

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails