Snow

3.28.2011

Surat Untuk Si Merah Humaira. Cabarlah Diri Sendiri!

Assalamualaikum Merah Humaira,

Moga surat yang dinanti olehmu ini sedikit memberikan warna dalam corak hidupmu hari ini. Didoakan juga supaya kamu sihat iman dan jasad ketika membaca surat ini. Sudah bersedia? Baiklah, mari kita mulakan dengan kalimah pembuka yang cukup luar biasa fadhilatnya Bismillahirrohmannirrohim. Moga titipan saya memberi makna dan dapat dihadamkan pada yang membacanya. Amin.

Merah Humaira,

Tujuan surat ini dilayangkan buat kamu adalah ingin mengisi hari-hari dalam hidupmu yang hanya tinggal kurang seminggu sebelum menjadi warga dan pekerja di Kuala Lumpur. Ia bukan sekadar suka-suka untuk kamu simpan dan dibuat pekasam tetapi dihadamkan dan dilumatkan supaya ia sebati dalam diri kamu sebelum kamu menempuh alam yang lebih mencabar pada masa akan datang. Saya tahu kamu sedang berdebar-debar menanti hari itu, tetapi pastikan kamu khatamkan dahulu bait-bait kalimah ini.

Kamu tentu percaya kejayaan yang manis menuntut perjuangan yang panjang dan jauh. Kerana itu tidak ramai yang terpilih menjadi orang yang berjaya walaupun pilihan mereka mahu berjaya. Dunia lebih memerlukan para pejuang kebenaran berbanding penyorak dan pemerhati. Oleh itu, saat kakimu jejak di negeri paling sibuk di Malaysia itu nanti, kuatkan azammu ingin menjadi orang yang kuat semangat, tidak malu bertanya dan cekal hatinya, yang tidak pantas mengkasihankan diri sebelum berusaha habis-habisan. Maka, cabarlah diri sendiri!

Merah Humaira,

Kamu pasti masih ingat saat kamu bermonolog satu masa dahulu. Kamu terus-terusan berkata pada diri "Aku mahu keluar dari zon yang selesa. Aku mahu jadi sebaik-baik ketua dan pemimpin paling tidak kepada diri sendiri. Aku mahu jadi orang yang berjiwa besar". Maka inilah jalannya untuk semua itu. Ia berbeza dengan sebelum ini. Pulang dari bekerja makanan terhidang di atas meja, baju pula mesin basuh punya kerja, menatap wajah ayah bonda untuk berkongsi cerita dan pelbagai lagi nikmat seperti syurga yang terbentang di depan mata. Maka apalagi, cabarlah diri sendiri!

Sehingga kini, saya pasti kamu masih terfikir sendiri. Benarkah kamu sudah diterima menjadi editor di sebuah syarikat yang semakin mencipta nama di Malaysia. Setelah beberapa hari baru kamu ke alam realiti. Ya. Benarlah, percaturan Allah jarang-jarang orang mengerti hikmahnya. Ini soal rezeki. Tuhan itu ada, jangan risau soal rezeki. Dan sudah pasti sifat Allah yang kekal itu membuatkan kita semua perlu yakin. Berulang kali saya dinasihatkan dan menasihatkan kamu. Jangan takut soal rezeki walaupun dahulu pointer kamu tidak tinggi.

Merah Humaira,

Kehidupan adalah ibarat kepingan-kepingan puzzle yang perlu dicantumkan. Soal bagaimana dan bentuk apa jadinya nanti, bergantung pada sikap dan diri. Andai kamu mahukan kepingan membentuk puzzle yang cantik dan besar, pasti kamu perlu masa dan tenaga yang lebih bagi menghasilkannya. Apalagi, cabarlah diri sendiri!

Warkah ini hampir sampai ke hujungnya. Sebelum saya akhiri dengan titik-titik dakwat yang semakin menyurut, suka saya tuliskan perkongsian penuh hikmah ini. Saya baca dari buku Di Mana Terangnya Bulan karya Tuan Bahruddin Bekri. Ayatnya lebih kurang begini; Hati umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap kita. Jadi sekiranya hati gelap dan samar, ia juga akan dilihat pada sikap kita. Mudahnya hati boleh menjadi gelap, boleh samar dan boleh terang. 

Tetapi gelap, samar, dan terangnya bulan bukan kerana cahayanya sendiri tetapi daripada cahaya matahari. Hati kita juga begitu. Samar, gelap atau terangnya hati bukan kerana hati itu sendiri tetapi akibat daripada apa yang kita niatkan. Niat itu yang memancarkan pada hati seterusnya memberikan sama ada gelap, samar atau terangnya hati kita.

Merah Humaira, 

Bagaimana rasa sekarang? Sudah lebih tenang? Pokok pangkal hatimu. Jaga iman dan hatimu baik-baik walau di mana sahaja kamu berada. Moga kamu dapat mencipta nama suatu hari nanti. Saya akan sentiasa berdoa dari sini. Teruskan berusaha dengan gigih! p(^___^)q

Cabarlah, diri sendiri!

Kembarmu,
Nurul Amirah Bt Abdul Rahim 。◕ ◕。


3 comments:

  1. tempoh 3 bulan yang pertama ini adalah tempoh penilaian prestasi...selamat berjaya ya.. gambatte merah-chan.. (^__^)

    ReplyDelete
  2. Fuh~ Masa untuk mencabar diri sendiri. Fuh lagi, (^__^;) Terima kasih akak 。◕ ‿ ◕。

    ReplyDelete
  3. selamat berjaya kepada si kembarnya itu...
    siru 'ala barokatillah.....
    jgn lupa meletakkan dri pd tempatnya...
    tempatnya???fhmkan....kan...

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails