Snow

11.28.2009

Nur Kasih, Taubat Nasuha dan Penjagaan Hati


Drama bersiri Nur Kasih sampai ke episod akhir jua. Penantian selama beberapa bulan terjawab jua pada malam kelmarin. Pengakhiran cerita yang rata-rata penonton harapkan terjadi juga. Nur kekal bersama Adam tanpa melukakan mana-mana pihak. Baik Aidil, ibunya apatah lagi Liya. Ramai juga blogger yang memasukkan entry berkenaan cerita 'Nur Kasih'. Tahniah kepada anda yang mengikuti cerita yang banyak mengandungi unsur positif dan 1001 pengajaran. Pasti ramai yang selepas ini men'download' cerita ini untuk menonton kembali episod yang terlepas dan tidak kurang juga yang menjadikan lagu 'Nur Kasih' nyanyian Yasin sebagai nada dering.Entry kali ini bukanlah untuk mengulas berkenaan cerita bersiri ini. Tapi mengambil sedikit intipati pengajaran di dalam perjalanan cerita tersebut.

Usai khatam menonton cerita Nur Kasih, kesempatan masa yang ada aku luangkan menonton cerita seterusnya. Bagi yang terus menerus menonton rancangan di TV3 pada malam tersebut, pasti tidak terlepas untuk menyaksikan satu lagi cerekarama yang penuh menyayat hati. Drama 'Taubat Nasuha' ini menampilkan para pelakon seperti Fauzi Nawawi, Sheila Rusly dan tiga orang kanak-kanak yang dilatih menghayati setiap watak yang dipegang. Bukan untuk memuji berlebihan. Sekadar meluahkan yang tersimpan dalam naluri hati kecilku ini.

Ujian Bagi Orang Yang BerTuhan

Baik 'Nur Kasih' mahupun 'Taubat Nasuha' kedua-duanya mempunyai kelebihan pada ciri-ciri pelakon, skrip dan penjiwaan watak yang cukup baik. Unsur-unsur positif yang cuba diketengahkan oleh pengarah cerita ternyata menjadi. Kita ketepikan dahulu soal Nur Kasih kerana apa yang penting di sini adalah moral of the story yang sama bagi kedua-dua cerita. Pengurusan hati. Ya, soalnya bagaimana watak-watak dalam kedua-dua cerita ini kembali ke Ya Robb apabila ditimpa segala musibah..

Perasaan marahku yang meluap-luap kepada Mizi (lakonan Fauzi Nawawi) ternyata menunjukkan lakonannya menjadi. Kehadiran tiga orang anak di sisi yang mempunyai keletah yang belum matang ternyata menguji kesabarannya. Apatah lagi mempunyai 'rekod' pernah didera dan dirotan oleh ayah sendiri menyebabkan barannya payah dikawal. Saban hari bila kesabarannya tercabar dengan kenakalan anaknya, kalau tidak ditarik telinga, dihantuk kepala, pasti akan keluarlah sumpah seranah yang tidak sesuai anak-anak di umur sebegitu mendengarnya. Bukan sahaja anak-anak, malah isteri sendiri turut menjadi mangsa kegurisan hati akibat tindak tanduk suami yang tidak rasional itu.

Pengakhiran cerita ini Mizi kehilangan insan-insan yang dirasakan menyusahkan hidupnya. Mizi akhirnya bertaubat dengan taubat nasuha. Walaubagaimanpun, insan-insan tersebut tidak mampu kembali lagi. Apa yang menarik hatiku, ujian Allah yang datang tidak bersapa itu, membuatkan kita perlu berfikir. Manusia perlu bertuhan untuk mereka mengadu segala sesuatu. Malangnya tidak ramai mencariNya tika dalam kesenangan. Memang benar, menilai susah senang seseorang perlu dengan mata hati. Bukan logik akal semata-mata. Apabila ujian datang bertimpa, segalanya perlu dipandang dalam sudut positif sebenarnya. Apabila Allah mendatangkan ujian, mengambil sesuatu yang kita sayang maka pasti Dia sebenarnya ingin menggantikan sesuatu itu dengan yang lebih baik. Kisah Mizi yang kehilangan isteri dan anak-anak akibat dibunuh, bukan bermakna Mizi kehilangan semuanya. Tetapi Allah menggantikan dengan hidayah Allah dan sifat sabar dalam dirinya. Siapa sangka Mizi yang dahulunya garang dan baran boleh berubah menjadi lembut hati dan penyabar selepas apa yang berlaku pada dirinya.

Pandanglah Dengan Mata Hati

Rasa kecewa, sedih keterlaluan, sakit hati apabila diuji menunjukkan kebergantungan dan keyakinan kita kepada Allah masih belum ampuh. Retak dan bila-bila boleh runtuh. Sebaiknya bagi orang yang beriman apabila mendapat ujian maka dia yakin bahawa Allah menimpakan sesuatu ujian untuk menguji tahap keimanan. Tidak layak bagi kita sebagai hamba mempertikaikan aturan kehidupan yang Allah tetapkan kerana kita hanya hamba. Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Pandanglah dengan mata hati setiap musibah itu. Ia pasti terselit pengajaran atau kebaikan yang ingin disampaikan. Terpulang pada kita untuk menilai dan mentafsir. Kiranya sabar itu menjadi ramuan, pasti resepi kehidupan kan terasa lazatnya bagi setiap hamba yang diuji. Selamilah hati anda, ketenangan dan kebahagiaan kan terasa apabila hati mampu bersabar, redha dan tawakal dengan Tuhannya.

Cerita dan Pengajaran

Cerita Nur Kasih mahupun Taubat Nasuha sudah berlabuh. Entah bila lagi watak dalam cerita tersebut boleh wujud kembali lantas membantu kita dalam menghidupkan perasaan kebergantungan kita pada Pencipta. Hati manusia perlu sentiasa ditazkirah. Ibarat kasut sekolah bukan sahaja perlu dibasuh bahkan dikapur biar nampak putih dan bersih. Akal juga perlu selalu diasah untuk selalu memikirkan berkenaan Pencipta kita. Ambillah pengajaran atas apa yang berlaku melalui cerita, pembacaan, mahupun nyanyian atau apa sahaja yang ada di bumi. Pasti terselit hikmah yang membuatkan kita terus untuk mengenali Yang Maha Agong..

Firman Allah yang bermaksud: Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang itu melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu (Surah Al-Taghabun:11)

13 comments:

  1. waaaaaahhhh ~

    cik merah semangat berceloteh nur kasih dan drama melayu..hehe (terkena sy yg tgh guna ring tone nur kasih nih)..

    apa pun..semoga terus memberi kritikan bernas untuk memajukan lagi karya melayu..(patut dipanjatkan lagi sinopsis kat atas tu bersama kritikan ke meja pengarah-pengarah filem..ehehe

    ape pun..keep up the good work in giving and lecturing us on humanity value in search of God's love.

    ReplyDelete
  2. wah hebat betul a.sharx bermain kata..teruja..hehe..untuk mereka yang berminat untuk mengetahui sinopsis dan pengajaran cerita nur kasih, boleh la melawat ke blog ni.. http://my-2010.blogspot.com/ dalam entry the end..selamat membaca..=)

    ReplyDelete
  3. salam...
    apa yang bestnya cerita nurkasih ni ek?
    sampai setiap forum yang saya jadi ahli...semua cerita pasal drama ni...

    ReplyDelete
  4. wsalam, pada saya, para pelakon yang menghayati watak masing-masing.. kalau dia seorang anak yang soleh (Aidil dan Nur) dia benar-benar menurut kata ibu dan ayah. kalau dia seorang penghasut dan batu api (sarah) hidup dia sentiasa berusaha menjatuhkan orang lain dan sebtiasa mahukan yang terbaik untuknya. dan macam-macam watak yang lain.. sebenarnya saya bukanlah mengikuti setiap episod. Cuma bila hampir sampai ke episod akhir, inkuiri itu makin tinggi..jadi tontonlah sampai ke akhirnya..kesimpulannya banyak pengajaran pada cerita ni..
    tak pernah tengok ye??

    ReplyDelete
  5. salam...
    tak pernah tengok....tapi pernah tengok selingan/iklan.....pertamanya walaupun ada tv kat rumah...jarang dibuka...kalau dulu setakat buat main ps2 je...hehehe...
    yang keduanya...para pelakon...ntah la...bila tengok keadaan pelakon tu sendiri...lain dalam lakonan lain dalam dunia nyata...alahai...baik tengok spongebob atau wonderpets...hehehe...
    kenapa ye...dalam hal mengetengahkan drama2 yang bercorakkan keislaman...perlu diselitkan sifat mazmumah?hasad dengki?

    ReplyDelete
  6. drama melayu yg berkualiti sangat susah untuk kita jumpa di ruang tv kita..kalau ada pun..hasil karya beberapa pengarah dan penulis skrip yang kita tahu..bahawa hidup mereka memang cuba memperjuangkan dakwah melalui drama bercorak pop islami..

    spt guru sy..cikgu Abu Hasan Morad yg sehingga kini menerbitkan cereka pop islami sebagai caranya berdakwah melalui saluran tv dan novel..(Julia, Cinta Madinah..Sayangku puteri)..anaknya juga sahabat sy Ummu Hani Abu hasan..yang usai menyiapkan skrip drama Nur Iman (bakal ditayangkan di tv3 hasil kerjasama dgn GBSB..

    mereka-mereka ini adalah antara penggerak dakwah melalui saluran hiburan.dan bukan kerja mudah untuk mereka menyampaikan mesej dakwah dengan kerenah pelakon yang lain di TV dan lain di luar..itu adalah cabaran dan medan dakwah mereka..

    fardhu kifayah melaksanakan dakwah melalui tv..kalau bukan kita(yg hanya tau komen dan kritik itu dan ini langsung tiada sumbangan)..maka semoga kita menyumbang melalui menyokong karya-karya mereka agar sampai mesej mereka kepada audience..

    soal pelakon..itu adalah antara mereka dengan Allah..malah mereka sendiri terdedah dengan hikmah dan i watak yang dipegang..pengajaran dari tugas mereka berlakon..soal hidayah..hanya Allah yang berhak memberi..bukan kerja kita untuk menilai bagaimana hati mereka menerima dakwah yang di depan mata mereka sendiri..(malah krew drama sendiri ada yang tak tahu solat)..itu adalah realiti yang pahit yang perlu kita akui..malangnya..kita yang mengaku pendakwah..menolak mereka..bukan mendekati mereka..

    saluran drama tv adalah antara medium dakwah yang berkesan untuk menyampai mesej Islam dalam karya pop Islami..tugas ini sepatutnya memdapat sokongan..bukan kritikan yang melemahkan golongan-golongan yang cuba menyampaikan keindahan Islam..

    kita adalah di kalangan mereka yang berpelajaran dan ada antara kita mempunyai pendidikan agama yang lebih dari yang lain..jangan kita menghukum sesuatu tindakan..dengan label yang melemahkan dakwah Islam sendiri..

    wallahu'alam..

    p/s: cik merah..ane de sy pandai main kata-kata..hehe..menumpang di ruang sempit ni jap jer..hehe

    ReplyDelete
  7. salam...
    hehehe...jangan terlalu fanatik tuan...
    maaf tuan...saya sekadar memberi pendapat...
    melihat pada bahasa tulisan yang seolah olah bermain emosi....sekali lagi saya memohon maaf..
    saya tidak memperlekehkan hasil kerja orang lain...hasil dakwah orang lain...
    tapi bagi saya...kalau sesebuah cerita tu berkonsepkan islami...maka adalah baik jika diambil juga para pelakon yang menerapkan nilai2 islam dalam diri....bukankah negara kita ramai penasyid?baik lelaki mahupun perempuan....
    1-boleh dikatakan dengan pengetahuan mereka,mereka akan lebih menghayati watak...lihat sahaja filem syukur 21 lakonan raihan atau CUDIPT lakonan UNIC atau teman sejati lakonan yasin...saya puji cara mereka berlakon...walaupun sebelum tu tak pernah pun mereka berlakon...
    2-dalam masa yang sama kita memberi sedikit pengukuhan ekonomi mereka...dalam keadaan bergantung pada jualan album dan konsert...boleh ke dibandingkan dengan para pelakon nur kasih yang melimpah ruah panggilan berlakon?

    bagi saya emas yang telah dicampurkan tembaga...
    tidak akan menghasilkan sebentuk cincin yang amat berharga....begitu juga kerja2 yang kita katakan DAKWAH takkan berjaya jika dicampuraduk antara berlian dan kaca...namun ini hanyalah pendapat saya...
    pendapat saya betul...boleh jadi ianya salah...
    pendapat tuan salah...boleh jadi juga ianya betul...

    saya berlapang dada menerima pendapat orang lain..kerana manusia dijadikan berlainan watak hatinya...

    'Dan ini jalanKu yang lurus maka hendaklah kamu semua mengikutinya dan jangan kamu ikut jalan-jalan lain maka ia menyebabkan kamu berpecah belah'.(AL AN'AM 153)

    -WAALHUA'LAM-

    ReplyDelete
  8. diskusi ilmiah tidak meletakkan siapa yang betul mahu siapa yang salah..bukan pegangan saya mencari siapa yang salah..langsung tidak bermain emosi..

    sekadarnya..cuma mahu bertanya diri sendiri dan yang alim-alim belaka..andai kita hanya mencari yang baik-baik belaka..siapa pula yang nak betulkan yang tersasar jauh ke lubuk hiburan..??

    benar sekali mengambil penyanyi nasyid mampu membawa pengukuhan ekonomi mereka..namum penyanyi nasyid pun mampu jadi sehebat faizal tahir!..jadi ini melibatkan hidayah..dan sy serah kembali segala kuasa berkaitan hidayah ini di tangan Allah..bukan kerja kita nak memberi hidayah..tugas kita hanya menyampaikan dakwah..

    adakah tidak ada dakwah yang terkesan di hati artis malaysia?..wardina sudah membuktikan penghijrahannya(sekadar memberi contoh)..pada saya itu satu permata telah berjaya digilap dari lubuk yang berlumpur..malah..trend tudung wardina..membuka ruang fesyen busana muslimah..diterima masyarakat awam..

    soalnya..kesan dakwah tidak mampu dilihat sekelip mata..25 tahun..50 tahun..kesannya akan dilihat suatu masa nanti..tugas kita..adalah terus berdakwah..menyampaikan yg wajib disampaikan..

    dalam menuju dakwah akhir zaman..kita tidak boleh melaksanakan pendakwahan terpilih..hanya selesa di zon dakwah yang selamat..imam hasan al-banna sanggup masuk ke disko..membawa dakwah Islam di zamannya..bagaimana dgn zaman kita?

    syukur 21?..pada pendapat sy..kritikan sy agak pedas pada filem itu..walaupun membaris pelakon dr artis nasyid..(yang fungsi mereka hanya menyebut kalimah alhamdulilah..masyaa'Allah..subhanallah)..adakah Islam yang cuba diketengahkan sekadar itu sahaja?..memang betul mereka diberi peluang..tapi bagaimana sambutan audience??..bagaimana penerimaan mad'u?..kita hanya 'syok sendiri' namum mesejnya tidak sampai untuk membawa perubahan dalam dalam hati penonton..

    sekali lagi sy mohon maaf..tiada langsung niat mencari kesalahan..dan bukan dalam nada emosi..ini adalah realiti dakwah akhir zaman..kolaborasi dakwah..bergantung kepada fiqh waq'e..fiqh muazaanat dan seterusnya bagaimana kita menggunakan musoleh mursalah dalam pembangunan dakwah interaktif..tujuan kita adalah sama..melihat Islam subur di semua institusi masyarakat..walaupun kaedah dan pendekatan berbeza..

    seperti kata saudara..

    mungkin saudara betul..dan saya mungkin salah..yang penting..kesatuan hati kita..merujuk kepada matlamat yang sama..:-) semuanya diniatkan untuk Allah..dan tulisan ini..hanya saluran sy berkongsi sekelumit ilmu yang ada..andai bermanfaat..

    wallahu'alam.

    p/s:mohon maaf pada tuan punya blog..diskusi ilmiah memakan ruang yang agak banyak..

    ReplyDelete
  9. Salam..pertamanya alhamdulillah and thank you Allah kerana menggerakkan hati saya menulis entry seperti ini. Memang saya harapkan komen yang membina dan membuka fikiran pembaca terutama diri penulis sendiri. Komen mencecah ke 2 angka dengan dalam post kali ini! Satu angka yang tidak pernah lagi saya capai sebelum ini.

    Keduanya, terima kasih pada akhi rahman dan akhi shaq atas komen-komen yang tertulis di sini. Matang dan hidup! Kalian adalah sumber inspirasi saya untuk menulis isu-isu yang terkini dan menarik minat orang kebanyakan. Bukan sekadar syok sendiri. Saya yang 'separuh matang' dalam penulisan amat mengharapakan tunjuk ajar orang seperti kalian.

    3. Ketiganya, saya berpegang pada prinsip debitkan kebaikan kreditkan kejahatan (guna istilah kewangan sikit..hehe) atau kata lain terima semua pandangan orang lain. tetapi apabila kita yang bertindak gunakanlah akal dan wahyu sebaik-baiknya. Sebabnya kenapa?? sebabnya kita adalah diri kita sendiri.Orang hanya mampu berkata tetapi hasilnya kita yang merasa..
    Mungkin lepas ini boleh buka kitab berkaitan. Kita bincang lebih mendalam. boleh ke a.shaq atau a.rahman jadi naqib?? hehe

    p/s: to a.shaq, tiada ruginya pada saya.. beruntung lagi ada. Tulislah untuk peringatan kita bersama..moga cetusan dari minda seorang penulis mampu membuatkan insan-insan berfikir dan terus berfikir..insyaAllah..

    ReplyDelete
  10. baru sempat menjengah ruang ini..
    shaq ni bukanlah penulis..hehe..hanya meminati dunia penulisan..apa pun..kita adalah kalangan minda terpelajar..menulis adalah sebahagian dari diri kita..

    apa yang penting..menulis dan terus menulis..kita tak akan tahu..bila karya yang ditulis..menempa kesan di hati yang membaca..

    best of luck!

    ReplyDelete
  11. wah!! a.shaq anda penulis komen kesepuluh..Tahniah!! hehe

    ReplyDelete
  12. salam...
    jadi naqib?
    subhanallah....
    maaf...saya tak layak...ilmu saya tak banyak....sekolah takat tingkatan 3 je...
    belajar agama pun setakat surau2,masjid2 je...
    :-)

    ReplyDelete
  13. waalaikumussalam,orang yang 'hebat' payah mengaku bagus =)

    ReplyDelete

Komen bernas pengunjung


Related Posts with Thumbnails